Wednesday, 11 February 2015

Black' Smith: Let Us Just Love _Part 21



Bab 20


Masa sekarang.....
Kereta dipandu perlahan melalui laluan selekoh masuk ke lorong taman perumahan itu. Awal pagi begini rasanya lebih patut dia datang bertandang ke rumah orang. Siapa suruh cari masalah. Orang itu tidak buat salah apa-apapun terhadapnya. Tapi kerana tindakkan bodohnya itu hatinya jadi tidak tenteram sepanjang malam. Enn sejak tadi menjadi tukang penunjuk arah masuk ke kawasan itu.
“Kau rasa betul ke laluan yang aku masuk ni?” Kim ingin mendapatkan kepastian daripada Enn di sebelah. Bukan apa kalau tersalah alamat susah pula dia mahu memusingkan kereta di laluan yang nampak sempit itu. Diapun tidak berani memandu laju di kawasan ini.
Silap hari bulan boleh terbabas keretanya masuk ke dalam kawasan rumah orang di sana. Kim memandu dalam keadaan perlahan sambil mengikut saja arahan daripada Enn yang menjadi pemandu arah sejak tadi.
Kawasan perumahan ini jauh lebih sempit berbanding dengan kawasan perumahan yang dihuni olehnya. Laluan ini hanya membenarkan sebiji kereta saja melaluinya dalam satu-satu masa. Macam manalah pekerjanya Arya boleh tinggal di tempat yang nampak sempit begini.
Dia pernah melihat orang lain hidup susah tapi kawasan di sini agak luar biasa sempitnya. Sebuah motor ditunggang perlahan menuju ke arah kereta yang dipandu oleh Kim. Motor itu berganjak ke tepi memberi laluan kepada kereta Kim. Kim angkat tangan ketika keretanya melepasi laluan sempit itu.
Penunggang motosikal itu turut melakukan perkara yang sama. Orang sudah memberi laluan dan sebaiknya dia membalas kebaikkan itu dengan mengangkat tangan. Hal ini menampakkan kita ini masih ada budi bahasa. Kim masih memandu keretanya pada laluan itu sehinggalah Enn memintanya memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah.
Mereka berdua ke luar dari kereta ketika kereta diparkingkan di hadapan rumah itu.Papan tanda di pintu pagar itu buat mereka tertanya-tanya. Tertulis pada papan tanda itu ‘Rumah untuk dilelong.’ Berkerut dahi Enn melihatnya.
“Kau salah rumah ke Enn?” Kim cuba menidakkan bahawa rumah di hadapan mereka ini tunggu masa untuk dilelong oleh pihak bank. Sedangkan tadi dia sendiri melihat alamat yang tertera dalam handphone Enn tadi. Kenapa dia harus menyangkalnya lagi? Enn sambut pertanyaan Kim dengan mengangkat bahu.
Diapun tidak faham kenapa rumah milik Arya harus dilelong oleh pihak bank. Teruk sangatkah dia berhutang sampai tergadai rumah akibat meminjam wang dari pihak bank?
Seorang warga di kawasan itu datang menghampiri mereka. Lagak mereka sejak tadi dia perhatikan olehnya dari tepi lorong. Susah sekali dia melihat kereta mewah seperti itu dipandu masuk ke kawasan perumahan mereka ini. Kebanyakkan kereta jenis ini datang ke lorong ini atas urusan penjualan rumah. Apa pula urusan dua orang anak muda ini berdiri di hadapan rumah itu. Seeloknya dia ambil tahu tentang gerangan mereka berdua yang terjenguk-jenguk memandang kawasan rumah itu sejak tadi.
Dia sebagai warga yang lama menetap di sana harus ambil tahu tentang kehadiran mereka di hadapan rumah yang tidak lagi berpenghuni itu. Esok-esok orang di sini akan bertanya juga padanya tentang kehadiran pemilik kereta mewah itu.
Manalah tahu jikalau mereka ini ingin menyewakan rumah itu. Dia pastinya orang paling gembira kerana dapat berjiran dengan dua orang anak muda yang nampak kaya dan kacak itu. Bolehlah juga dia kenankan salah seorang antara mereka nanti pada anak perempuannya yang masih belum berkahwin.
“Kamu buat apa dekat sini?” Mak cik yang hampir sebaya dengan ibu mereka berdua menyapa mereka dari arah belakang. Cepat-cepat mereka menoleh ke arah mak cik yang nampak ceria menyapa mereka tadi. Mereka memberi tunduk hormat pada wanita itu.
Enn dan Kim merasakan wanita yang menyapa mereka ini ialah warga di sini.Pastinya dia dapat memberikan sedikit maklumat berkenaan penghuni rumah yang dicari oleh mereka. Mak cik itu masih ceria seperti tadi. Nampak kedatangan mereka tidaklah menjadi sia-sia jika mak cik ini dapat membantu memberikan maklumat.
“Mak cik boleh tanya tak orang dekat rumah ni pindah ke mana ya?” Enn memulakan pertanyaan dahulu tanpa berlengah. Hampir setengah jam mereka mencari rumah ini di sekitar kawasan taman perumahan lama ini alih-alih orangnya sudah tiada. Ke mana pula mereka berpindah?
Fahamlah dia kenapa anak muda dua orang ini masih tercegat di hadapan rumah ini. Wanita itu melemparkan pandangan matanya yang agak kabur untuk membaca isi kandungan yang tertulis pada papan tanda yang tersangkut pada pintu pagar rumah itu. Makin dia cuba baca makin sakit pula matanya.
Tulisan yang tertulis itu agak kecil hurufnya. Pertanyaan Enn tadi lambat dijawabnya kerana dia ingin membaca tulisan di pagar itu. Dia selaku warga di lorong itu hampir tidak perasan bila papan tanda itu digantungkan di pagar rumah berkenaan. Bukan sekali dua dia lalu-lalang di sana dan baru pagi ini dia perasan papan tanda itu telah digantungkan.
Digosoknya mata yang terasa sakit akibat terlalu memaksa matanya untuk membaca tulisan yang terlalu kecil itu. Soalan daripada salah seorang anak muda itu kemudianya baru dijawab.
“Owh kamu tanya soal orang rumah ni ke. Baru seminggu dia orang pindah. Tapi mak cik tak tahulah pulak kenapa. Ke mana mereka berpindahpun mak cik tak tahu. Maaflah nak ya.” Wanita itu berterus-terang dengan perkara yang dia tidak ketahui. Setakat mengetahui mereka sudah berpindahpun hanya selepas mendengar beberapa orang jiran bercerita kepadanya.
Biasalah hidup berjiran. Bila seorang tidak tahu tentang sesuatu perkara yang terjadi di lorong mereka pasti ada yang ramah mulut hendak bercerita. Kalau tidak bergosip tidak sah. Nak pula kalau rumah itu milik keluarga yang dicari oleh mereka berdua ini. 
“Dia orang ni banyak masalah. Sebab itu mereka pindah. Ayah budak perempuan tu suka sangat berhutang judi. Itu yang mak cik tahulah.” ujar mak cik itu lagi secara jelas kenapa mereka berpindah dari sana. Mereka berdua mengangguk faham. Di mana lagi harus mereka mencari bekas pekerja mereka itu.
Baru Kim faham kenapa Arya nampak terdesak memintanya supaya membenarkan dia kembali bekerja di kafe. Rupa-rupanya rumahnya sudah dilelong oleh pihak bank. Tertanya pula Kim di mana Arya tidur sepanjang seminggu ini. Dia tidak menyangka masalah yang dihadapi Arya sangat rumit.
Kenapalah dia bertindak bodoh memarahi Arya semalam. Orang itu sedang mengalami kesusahan dan dia pula makin menyusahkan kehidupan orang itu lagi. Perasaan bersalahnya terhadap Arya makin menebal. Enn pegang bahu Kim. Dia faham jika Kim nampak tertekan.
Apa boleh mereka buat lagi. Alamat terakhirnya inilah menjadi panduan mereka mencari Arya kembali. Apabila sudah dijejaki, rumah itu tidak lagi dihuni.Kim dan Enn sama-sama meminta diri sebelum beredar dari sana. Wanita dalam lingkungan 50-an itu menyoroti kereta yang dinaiki mereka sehingga hilang dari pandangan.

Kereta yang dipandu Kim hampir dengan kawasan kafe mereka. Perlahan saja kereta itu dipandu kerana kereta di hadapan hampir berhenti sebelum laluan pejalan kaki ketika lampu isyarat merah sudah menyala. Matanya memandang ke luar cermin tingkap kereta. Lagi 60 saat lampu isyarat hijau akan menyala. Walaupun nampak sekejap masa itu tapi bagi pemandu sepertinya terasa masa yang berlalu agak panjang.
Laluan kaki lima di sebelah kirinya itu ramai orang sedang berjalan di laluan itu. Pada hujung minggu begini tidak hairanlah jika dalam kalangan mereka yang berjalan itu merupakan golongan remaja yang ingin menghabiskan masa bersiar-siar bersama-sama rakan mereka.
Lama dia melemparkan pandangan pada laluan kaki lima itu. Nostalgia lamanya seperti ingin terimbas kembali. Fikirannya kosong dan ingatannya seolah-olah menerawang entah ke mana. Masih segar dalam ingatannya tentang kisah itu. Kisah mereka berdua berjalan di laluan kaki lima tersebut.
“Zarran kau ni lembablah berjalan. Cepatlah sikit!” Budak perempuan itu memanggil Kim supaya lekas berjalan. Hujung minggu begini mereka harus cepat kalau tidak habis pula tiket menonton wayang yang mereka ingin tonton nanti.
Kim berjalan perlahan masih macam tadi. Dia rasa tak ada perkara yang hendak dikejarkan. Mereka baru turun dari dalam bas. Kawannya itu tidak sudah-sudah menyuruhnya berjalan cepat.
“Al kau tak payahlah nak cepat-cepat sangat. Tiket dah lama aku belipun.” Kim mengeluarkan tiket yang ditempah secara online melalui internet. Arya berlari anak pergi mendekati Kim. Suka pula hatinya melihat tiket itu telah dibeli.
“Kenapa tak cakap awal-awal. Buat penat aku excited ajelah.”
Tiket yang berada di dalam gengaman Kim itu Arya ingin ambil. Tapi Kim boleh pula mahu mengenakan kawan baiknya itu. Arya sudah terlompat-lompat cuba mengambil tiket yang di angkat ke atas oleh tangan Kim.
“Kalau dasar pendek tu pendek aje. Kau ni bantutlah Al. Tulah waktu kecik-kecik taknak minum susu sekarangkan dah pendek. Hahaaa...” Kim memerli ketinggian Arya yang masih terlompat-lompat mahu mengambil tiket itu. Lucu pula hatinya dengan telatah Arya yang nampak kebudak-budakkan itu.
Perliannya langsung tidak mendatangkan rasa kecil hati terhadapa Arya. Mulut Kim memang suka mengutuknya. Apa dia kisahkan sangat. Akhirnya tiket itu berjaya juga dia rampas. Pendek bukan sebarangan pendek tapi pendek ni kuat melompat. 
PONN!!!
Bunyi hon kereta dari arah belakang menyedarkan Kim dari lamunan panjangnya. Enn sejak tadi puas memanggilnya tapi dia masih memandang ke luar cermin kereta. Bunyi hon kereta sesuai menjadi ubat bagi menyedarkan orang sedang mengelamun seperti Kim ini.
Kereta dipandu seperti biasa menuju ke kawasan letak parking kereta berhadapan kafe. Enn ke luar dari dalam kereta dahulu kerana dia ada urusan yang penting ingin dilakukan. Selaku ketua chef di kafe peranannya agak besar. Mana boleh dia lepas tangan soal tugasnya selaku ketua pada pembantu dapur untuk menyediakan makanan tanpa bantuannya.
Kim berjalan menuju ke arah kafe sambil menoleh ke kirinya. Ramai orang yang lalu-lalang di sepanjang laluan kaki lima itu. Deretan rumah kedai memang menjadi tempat persinggahan mereka yang bersiai-siar pada hujung minggu begini. Dalam kalangan mereka yang berjalan Kim seperti terlihat kelibat seseorang.
Dia kurang pasti dengan kelibat manusia itu dari jarak yang agak jauh dari pandangannya. Tapi hati kecilnya mengatakan mereka saling kenal antara satu sama lain. Kim cuba mengingatkan kembali fikirannya siapa orang yang mendapat perhatian daripadanya itu.
Gadis itu menyelak rambutnya yang panjang ke tepi telinga ketika angin bertiup ke arahnya. Dia nampak ayu sangat pada pandangan Kim. Kim rasa dia memang tidak tersalah orang. Mana mungkin dia tidak kenal dengan kawan zaman sekolah menengah tingginya.
Bukan sehari dua mereka kenal tapi hampir bertahun lamanya. Selepas dia melanjutkan pelajarannya ke luar negara sehingga ke hari ini dia tidak menghubungi mana-mana teman rapatnya. Peristiwa yang terjadi masih berbekas dalam ingatannya.
Sebolehnya dia tidak mahu ada sebarang kaitan dengan siapa-siapa pada zaman lampaunya. Sebolehnya dia tidak mahu ingat langsung pada peristiwa itu. Tetapi sekarang berbeza. Dia kembali menjadi orang baru tanpa dihantui oleh kisah lama. Peluang ada di hadapan mata kenapa dia harus melepaskan kawannya itu pergi. Pertemuan itu tidak akan Kim biarkan berlalu begitu sahaja. Lama rasanya mereka tidak berjumpa tetapi pada pagi ini pertemuan yang tidak disangka-singka itu membuatkan Kim gembira semacam.
Rasa kecewanya tidak dapat berjumpa Arya terubat dengan kemunculan Sarra secara mengejut di hadapannya. Dia berjalan menghampiri gadis yang berpakaian kasual dengan mengenakan seluar jeans panjang dan t-shirt lengan pendek itu. Langkah dia terhenti ketika Kim berada di hadapannya.
Kenapa pula lelaki ini menghadang jalannya? Sarra pandang atas bawah lelaki yang menghalang laluannya ketika ini. Kim yang berkaca mata hitam tersenyum melihat Sarra masih seperti dahulu. Penampilannya tidak berubah langsung sama seperti dahulu. Cuma pada pandangan Kim, Sarra nampak cantik dari dulu.
“Wahh kacak gila wehh. Model antarabangsa mana pulak ni datangnya. Siap senyum dekat aku. Cair aku aku rasa dah ni...” Aura kegatalannya datang menerpa. Sarra membalas senyuman lelaki yang masih dia tidak kenali itu. Siapa tidak suka kalau lelaki super kacak menghalang laluannya. Kalau ajak pergi minumpun dia sudi.
Kim tanggal cermin matanya untuk menyedarkan Sarra siapakah dia yang sebenarnya. Dia cukup rasa geli hati dengan reaksi Sarra yang nampak tergoda terhadapnya. Cukup-cukuplah dia senyum macam itu. Dulu Sarralah orang yang paling menyampah terhadapnya. Kalau boleh semua benda dia mahu kutuk luar dalam berkaitan dirinya. Ada saja yang Sarra tidak berkenan dengan apa yang ada pada batang tubuhnya.
Reaksi Sarra yang agak luar biasa membuatkan Kim mahu menyedarkan kawannya itu cepat. Lepas ini kalau Sarra nak mengutuk kaw-kaw dirinya dia tidak ambil pusing. Mana mungkin perangainya akan berubah kalau sudah sebati dalam diri sejak azali.
“Sarra ingat aku lagi tak?” Kim menanggalkan cermin matanya ketika Sarra masih tidak henti-henti memandangnya sejak tadi sambil tersenyum manja. Boleh tahan miang juga kawan aku ni. Mata Sarra bagai tidak berkedip sesaatpun apabila menyedari siapa orang di hadapannya itu. Mana mungkin dia lupa dengan pemilik suara dan senyuman itu.
Sarra terperanjat besar. Dia betul-betul tidak menyangka akan berjumpa kawan lamanya di tempat ini. Perbuatannya yang nampak tidak senonoh memandang macam orang miang tadi buat Sarra malu sendiri.
“Kau Zarran! Haaa...” Sarra tutup mulut. Dia nampak terperanjat sangat.
“Yalah aku lah ni.” Kim menyambut rasa terkejut Sarra itu dengan senyuman. Siapa tidak suka melihat kawan yang selama ini suka mengutuknya waktu zaman remajanya dahulu akhirnya memandangnya sebagai seorang lelaki. Ya I’m a man hahaa..
Sarra masih tidak dapat percaya. Mana pernah Zarran menegurnya selama ini. Bukan sekali dua mereka bertembung tetapi baru pagi ini dia menegur Sarra dengan muka cerianya. “Memang ada yang tak kena ni. Agak-agaknya dia ni buang tebiat kut.” Siapa jadi tidak curiga. Sarra ingatkan Zarran tidak ingat padanya lagi. Yalah hampir bertahun mereka tidak berjumpa selepas Zarran membawa diri ke luar negara untuk menyambung pelajarannya.
Orang berstatus seperti Zarran masih ada hati untuk menegurnya lagi. Sungguh luar biasa tidak percayanya. Ingatkan dia ni memang jenis sombong tidak kena tempat. Maklumlah dia sudah jadi orang baru dan memiliki sebuah perniagaannya sendiri. Dia ini ada apalah sangat. Setakat lulusan universiti dalam negara langsung tidak setanding dengan orang di hadapannya ini. Orang menganggur sepertinya ini mana ada orang nak pandang.
“Kau ni over sangat terkejut nampak aku kenapa?” kelakar pula dengan reaksi terlebih Sarra itu. Kalau ya pun terkejut janganlah over sangat. Nasib orang yang dia tegur memang kawannya. Tadinya dia hanya inginmencuba untuk menegur takut juga jika tersalah orang. Tak cuba mana nak tahu betul atau tidak itu orangnya.
Sikapnya yang suka terlajak menilai orang buatkan dia mendapat malu semula. Padan muka dulu bukan main kau mengutuk dia. Sekarang dia balik kutuk kau semula. Sarra seboleh-bolehnya dia mengawal rasa malunya. Zarran masih senyum-senyum lagi.
Sarra tampar bahu Zarran. Suka sangat Zarran mengenakannya. Memanglah dia nampak terover akibat terkejut. Dia terperanjat bukan sebab Zarran menegurnya tapi disebab orang yang disangkakan model antarabangsa itu sebenarnya kawan lama zaman sekolahnya.
Dulu bukan main lagi dia siap mengutuk orang itu macam-macam. Siapa menyangka masa yang berlalu benar-benar mengubah persepsinya yang lama. Sarra tak nafikan yang Zarran jauh lebih segak dari Zarran yang dulu. Kata zaman-zaman hingusan siapapun dia bantai mengutuk walaupun orang itu kawan baiknya sendiri.
Selama ini dia pandang Zarran dari jauh saja tapi apabila bertemu dengannya secara berdepan memang mendebarkan hatinya. Bila berjumpa masing-masing sudah menjadi seorang individu yang lain bukan lagi budak hingusan seperti dulu lagi.
“Mana aku tak terkejut kau muncul tiba-tiba. Ingatkan model tengah jalan mana pulak tengah cat walk datang tegur aku tadi haa... rupanya kau. Ingatkan siapalah tadi.” Sempat lagi Sarra mengenakan Zarran dengan kutukkannya. Memang tidak berubah masih seperti dulu sikap suka mengutuknya. Orang paling banyak terima kutukkan daripadanya siapa lagi kalau bukan Zarran yang nampak merona merah mukanya.
Perasanlah tu orang cakap dia ala-ala model. Tapi ayat belakang model tu memang tak boleh blah. Zarran faham sangat dengan sikap Sarra. “Alah cakap aje kau nak cakap aku handsome sebenarnya. Suka sangat putar belit ayat.” Zarran ketawa kosong dengan sikap Sarra yang tidak pernah berubah sama sekali. Sebenarnya dia nak memuji tapi suka sangat selang selikan ayat pujiannya dengan kutukkan. Memang tak sah hidupnya jika dia tidak mengenakan Zarran.
“Banyaklah kau punya model jalanan. Ermm... sebelum tu jom lah singgah dekat kafe aku. Aku belanja. Kitakan lama tak jumpa lepas ni boleh berborak-borak. Kau tak ada urusan penting nak dibuat ke?”
Pertanyaan Zarran itu disambut dengan senyuman. Macam mana nak ada urusan penting kalau kerjapun tak ada. Dia ke luar awal beginipun sebab ingin memulangkan baju kerja kawannya Arya. Dia ikut saja Zarran masuk ke dalam kafe tanpa banyak soal. Memang tujuan asalnya tadi mahu datang singgah ke kafe Black’ Smith ini pun. Beg kertas yang dipegangnya diletakkan pada kerusi sebelah. Zarran berlalu pergi ke arah dapur kafe.
Banyak mata memandang ke arahnya. Siapa lagi kalau bukan staf kafe yang sedang sibuk membuat kerja mereka. Nama saja tengah buat kerja tapi masih ada masa mahu cari tahu siapa perempuan yang nampak mesra dengan manager mereka itu. Pelangganpun masih belum datang lagi kerana waktu beroperasi kafe hanya bermula pada jam 10:00 pagi.Kiranya Sarra merupakan pelanggan pertama bertandang ke sana. Hampir banyak kali juga dia datang ke sini ketika Arya masih bekerja di sini. Cuma Zarran saja tidak perasan dirinya. Orang busylah katakan. Nampak kawanpun nampak macam orang asing saja.
Banyak perkara tentang Zarran diceritakan oleh Arya ketika dia dalam keadaan keletihan pulang ke rumah setelah bekerja sepanjang hari di kafe ini. Sarra tarik nafas panjang mengenangkan nasib kawan baiknya itu. Terlalu banyak rahsia yang Sarra pegang selama ini. Soal siapa Arya yang masih berkawan dengannya sampai ke hari ini. Rahsia tetap rahsia. Mana mungkin dia akan membongkarkan rahsia yang hampir bertahun lamanya dia simpan.
Dari arah dapur Zarran muncul membawa dulang berisi dua gelas cawan di atasnya. Orang sudah mempelawa kenapa harus dia menolak. Cawan yang berisi air kopi panas itu diletakkan di hadapnnya. Sarra pegang cawan itu dengan kedua-dua tapak tangannya. Cuaca di luar tadi agak sejuk, setidaknya kopi yang dipeganganya ini dapat menghangatkan tangannya yang masih terasa kesejukkan semasa berada di luar tadi.
Tinggal dalam negara empat musim siapa suruh cari pasal tidak memakai pakaian yang sesuai. Ini bukan drama bersiri Korea yang nampak artisnya berpakai biasa dalam cuaca sejuk. Walhal sebenarnya apabila pengarah kata ‘cut’ masing-masing mencari pakaian tebal untuk mengelakkan rasa sejuk.
Nampak sangat bergaya tidak kena tempat. Yang menanggung badan sendiri akibat terlalu ikutkan sangat aliran fesyen yang diikutinya.
Pandangan tanpa henti mereka sejak Sarra menjejakkan kaki ke sana Sarra buat tidak perasan saja. Apalah yang mereka berminat sangat tentang kehadirannya bersama Zarran masuk ke sana. Rimas juga dia kerana asyik dipandang tanpa sebab yang dia ketahui. Dia ini bukan artispun. Zarran di hadapannya buat macam biasa saja.
“Lama kau menghilang. Mana kau pergi?” Sarra memulakan perbualan antara mereka sambil menghalakan pandangannya pada Zarran yang masih menikmati minuman yang dibawanya tadi. Sarra pandang keadaan sekeliling di kafe ini. Masih sama seperti dahulu lagi cuma yang berubah ada beberapa tempat di dalam kafe ini. Tertanya juga dia kenapa Zarran sanggup mengambil alih kafe ini daripada pemilik asal.
“Aku tak menghilang ke mana-mana. Masih ada di sini cuma kita aje yang tak jumpa. Lama jugak kita tak jumpa. Aku rasa kali terakhir aku jumpa kau lapan tahun lepas waktu kita dekat tahun akhir menengah tinggikan. Lama betul baru hari ni kita jumpa.” Zarran mengingatkan kembali bila kali terakhir mereka berjumpa.
Bukan Sarra tak mahu berjumpa Zarran sedangkan Zarran sendiri memutuskan tidak menghubungi mereka langsung termasuk dirinya. Lepas seorang-seorang teman meninggalkan Sarra pergi. Tidak terkecuali Jia yang lama menyepikan diri. Entah manalah dia berada sekarang.
“Kau tak payahlah nak cakap lama sangat kita tak jumpa. Banyak kali aku datang kafe kau ni. Baru hari ni je kau nak tegur aku. Macam nilah kawankan.” Sarra nampak merajuk dengan sikap Zarran yang seperti tidak nampak dengan kehadirannya di sana selama ini. Zarran buat muka seolah tidal percaya.
“Ya ke! Mungkin masa kau datang tu aku tengah busy sangat. Itu yang aku tak perasan kau datang. Janganlah merajuk...” Zarran cuba mengambil hati Sarra kembali. Sikap Sarra yang suka mengusik ada kalanya boleh bertukar serius. Jangan disangka orang kuat bergurau tidak reti merajuk. Sarra rasa malas memanjangkan ceritanya. Tujuannya menerima pelawaan Zarran tadipun bersebab.
Pakaian yang terdapat di dalam beg kertas itu Sarra serahkan pada Zarran. Zarran nampak tertanya-tanya dengan beg kertas yang diberikan oleh Sarra. Dia buka beg kertas itu untuk melihatkan isinya. Dahinya berkerut sedikit. Baju pekerja kafenya terdapat di dalam beg kertas itu. Di mana pula Sarra mendapatkannya?
“Mana kau dapat baju pekerja aku ni?” Soal Zarran nampak ragu-ragu dengan kewujudan baju itu. Setahu dia Sarra mana pernah bekerja di sini. Takkan lah sampai Sarra pernah bekerja di kafenya pun dia tidak perasan. Mana boleh! Zarran menolak fikiran sangsinya tadi.
“Baju tu kawan aku punya. Bukan kau ke yang berhentikan dia semalam.” Sarra mencerlung tajam matanya pada Zarran geram. Sebab Zarranlah Arya menangis teruk sangat sampai dia rasa susah hati. Kenapalah dua manusia ini masih lagi bergaduh walaupun mereka hampir bertahun tidak berjumpa.
Kata-kata Sarra buatkan dia seperti tersedar sesuatu. “Sarra berkawan dengan Arya. Biar betul!” Hatinya mula ragu. Dia lihat kembali baju yang berada di dalam beg itu dan melihat tanda namanya. Mata Zarran membulat. Nampaknya kali ini dia benar-benar terperanjat. Kenapa fikirannya sampai boleh berfikir sejauh ini. Zarran hirup lagi air dalam cawan itu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sarra buat dia jadi bertambah bingung. Selama ini Arya yang pernah disangkannya sebagai kawan zaman sekolahnya ialah kawan Sarra pada masa sekarang. Apa kaitan kedua-dua perkara yang sedang difikirkan itu.
Cukuplah bertahun dia pendam rasa sedihnya setelah kematian kawan baiknya sendiri. Tetapi kenyataan Sarra membuatkan dia mula berfikir samada Arya yang dilihat selama ini ialah Arya Juniel yang sudah lama pergi meninggalkannya. Mungkinkah orang mati boleh hidup semula atau dalam kata lain dia tak pernah mati tapi dirinya sedang bersembunyi.Gila sungguh apa yang difikirkan ini. Cukuplah dia katakan gila selama ini kerana tidak dapat menerima kenyataantentang kematian kawan baiknya itu.
Sarra nampak perubahan air muka Zarran apabila dia menyebut baju itu milik kawannya. Kenapa Zarran buat muka terkejut? Dia tersilap cakapkah? “Aku tersalah cakap ke? Atau dia masih sangka Arya dulu masih hidup!” Sarra mula rasa tidak sedap hati. Kenapalah dia gatal sangat serahkan baju itu kepada Zarran.
Selepas setahun kematian Arya, Zarran orang yang paling terpukul dengan pemergian kawan baik mereka secara mengejut itu. Sarra ingat lagi bagaimana semua orang di sekelilingnya mengatakan Zarran gila sebab Zarran pernah nampak Arya di bandar ketika mereka pergi berjalan bersama-sama teman yang lain. Sehinggakan mama Zarran, Maria nekad mengambil langkah menghantar anaknya belajar ke luar negara.
“Zarran kau jangan salah sangka. Arya yang kau kenal tu bukan Arya Juniel yang kita kenal dulu. Dulupun aku mati-mati ingat dia orang yang sama tapi sebenarnya bukan.” Sarra cuba membetulkan tanggapan yang difikirkan Zarran.
Dia hirup air kopi suam dari dalam cawan itu sehingga habis. Dahaga sungguh tekaknya. Rasa kurang berani menerpa dalam diri tidak semena-mena. Dia sedar dia telah berbohong. Sarra berdalih dari kebenaran yang sebenar dia ketahui. Dia sangat terpaksa. Dia tidak akan kisah jika Zarran bertindak memarahinya sekalipun jika satu hari nanti rahsia sebenar akan terbongkar jua. Apa patut Zarran tahu cukup sekadar sampai di sini saja.
Jika hendak bercakap perkataan menderita, Arya orang paling menderita hidupnya akibat perbuatan seseorang yang dia tak akan pernah lupa untuk seumur hidupnya. Sarra tidak sanggup lagi melihat kawan baiknya itu tidak sudah-sudah hidupnya dirudum malang. Biarkan orang lain menderita jika mahu Arya hidup aman tanpa gangguan.
Lega sedikit hatinya. Pantas saja mulutnya menidakkan dengan apa yang sedang difikirkan oleh Zarran tadi. Memang dia turut simpati terhadap Zarran tapi simpatinya terhadap Arya lagi kuat.
Rasa curiga pada wajah Zarran nampak berkurangan sedikit. Penjelasannya itu ternyata dapat mengawal keadaan. Biarlah Zarran termakan dengan pembohongannya itu.
“Zarran aku pergi dulu. Aku ada hal penting nak buat ni. Kopi ni kau belanjakan? Apa-apapun thanks ok.” Sarra cepat-cepat meminta diri untuk pergi dari sana. Makin lama dia berada di sana nanti makin banyak pula hal yang akan terbongkar. Cukuplah tadi dia hampir terkantoi dengan sikap lurusnya. Kenapalah mulut dia gatal sangat menidakkan apa yang Zarran sedang fikirkan? Dari situ sudah menampakkan dia sedang menipu Zarran.
Zarran menghantar Sarra sampai ke muka pintu sebelum Sarra beredar dengan tergesa-gesa. Setelah Sarra menjauhi kafe itu Sarra tampar beberapa kali mulutnya.
               “Yang kau bongok sangat kenapa Sarra! Kau tahu tak kau tengah cipta bala untuk Arya sekarang ni. Kau tahukan perangai Zarran tu macam mana. Selama ni mana pernah dia percaya cakap kau yang suka mengutuk dia. Sarra...” sambil berjalan pergi Sarra kerap memarahi dirinya.
Rasa curiganya masih belum terpadam lagi. Helah apa yang cuba dimainkan oleh Sarra? Cara bercakapnya yang nampak tidak yakin dengan apa yang dijelaskan padanya tadi buat Zarran bertambah curiga.
Dia boleh terima kalau Sarra tidak berkawan baik dengan bekas pekerjanya itu. Tapi apabila dia sendiri yang mengatakan mereka berkawan baik hatinya jadi semacam ragu. Adakah Sarra menipunya tadi? Arya yang dulu dan sekarang hampir mirip dia rasakan.
Bertahun lamanyadia menidakkan keraguan itu sebab mengatakan orang mati mana mungkin hidup semula. Penjelasan Sarra tadi buatkan dia sedikit yakin bahawa Arya masih hidup. Mungkin apa yang difikirkan ini memang tidak masuk akal tetapi hatinya kuat mengatakan Sarra cuba menyembunyikan sesuatu kepadanya. Sebelum dia berangkat ke luar negara hampir dua tiga kali dia terserempak dengan kelibat yang mirip kawan baiknya itu.
Apabila dia mencari, kelibat itu lesap entah ke mana. Dia bukannya sedang bermimpi waktu itu. Pada siapa mahu dia luah tentang apa yang dia nampak. Siapa-siapapun akan mengatakan dia gila.
“Enn kau jaga kafe hari ni. Aku ada hal nak selesaikan.” Zarran berjalan pantas ke luar dari kafe setelah memaklumkan pada Enn yang berada di dapur kafe. Sarra yang agak tergesa-gesa ke luar dari kafe menambahkan kesangsiannya. Dia kenal siapa itu Sarra. Orang paling tidak pandai menipu sehinggalah ke detik ini.
Zarran tidak bodoh untuk digula-gulakan oleh Sarra. Dia bukan budak kecil lagi dengan mudah termakan cakap orang tanpa berfikir panjang. Menjadi seorang dewasa membuatkan dia menjadi seorang yang jauh lebih matang dalam berfikir.Dalam perniagaan sekalipun mana boleh dia menerima bulat-bulat apa pekerjanya katakan tanpa membuat pemeriksaan atas mutu kerja mereka. Bodohlah kalau dia terlalu percaya.
Senyap-senyap Zarran mengekori Sarra yang sedang berjalan di laluan kaki lima itu. Mungkin Sarra tidak perasan ada orang sedang mengekorinya sejak tadi. Hampir lama berjalan Sarra berhenti pada sebuah kedai makanan menjual ayam goreng. Ramai pelanggan datang mengunjungi kedai itu sejak dibuka tadi.
Lama Zarran menanti di luar kedai itu. Dia tidak boleh mengalah pada keputusan yang telah dia buat tadi. Dia harus mengetahui kebenaran yang sepatutnya dia tahu sejak dulu lagi. Tidak kisahlah selepas ini samada kebenaran itu hanya bakal menyakitkan dirinya saja. Sampai bila keraguan yang selama ini dia pendam ingin disimpan seorang diri.
Hampir setengah jam dia menunggu di luar kedai itu. Sarra ke luar dari sana sambil membawa sebungkus makanan yang dibelinya dari kedai itu. Selepas ini tempat mana pula Sarra ingin singgah?“Zarran kau tak boleh mengalah. Ini peluang kau nak buktikan selama ini apa yang kau fikirkan betul. Pedulilah apa orang nak kata.”Dia mengetuk dadanya memberi semangat pada diri.
Hampir tiga jam dia mengekori Sarra hasilnya masih sama lagi. “Sarra ni tak penat ke asyik berjalan. Cakap kau berkawan baik dengan Arya tapi kenapa kau masih jalan seorang-seorang ni. Kau tahu tak kaki aku rasa macam nak longgar dah ni... ” Keluhan besar dia lepaskan ketika duduk tersadai pada sebuah bangku panjang di tepi laluan pejalan kaki itu.
“Kau banyak main-main dengan aku Sarra. Tak apa tak apa. Hari ni hari kau lain kali siap kau!” Zarran rasa geram dengan Sarra.
Entah apalah yang dia mahu cari lagi ni. Penat bukan mainan lagi. Benarlah kata orang kaum perempuan ini kalau dapat pergi membeli-belah memang semua tempat dia main redah, walaupun dia datang tempat itu semata-mata datang untuk window shopping semata-mata. Orang yang lalu di sana ada yang memandangnya ketika dia dalam keletihan.

3 comments:

  1. bila nak update lagi pasal cerita ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks sbb baca. in sya Allah ada mse sy update. Sekarang ni story sy ni sy dah publish kat penulisan melayu kreatif under tajuk Black' Smith. Dkt site tu cerita dia xbnyk bab sy masukan sbb nak tengok berapa bnyk pembaca. Sy xnk bg harapan bila sy akan msukan lg the next update. harap boleh kasi tanda sokongan dekat novel sy di site novel melayu kreatif under tajuk Black' Smith. Klu ada rezeki in sya Allah story sy jd sebuah buku novel.

      Delete
  2. http://novelmelayukreatif.com/index.php/karya-kreatif/novel/cinta/item/1288-black-smith
    ini link ke novel melayu kreatif bwh tajuk Black' Smith

    ReplyDelete