Bab 6
Sejak tadi pengawal
peribadi yang diarahkan oleh mamanya masih mengekori gerak-gerinya tidak
henti-henti. Melihatkan cara mereka menjalakan tugasan atas arahan mamanya dia
sudah tahu apa yang bakal berlaku nanti. Baik dia lekas mengelak kalau tidak
nanti pasti dia akan kena tangkap. Bukan dia tidak kenal manusia yang bergelar
‘mama’ itu. Sejak kecil lagi dia sudah diajar agar sentiasa mendengar arahan
samada suka ataupun tidak. Kalau dalam pemerintahan Mesir zaman purba pasti dia
digelar sebagai ratu yang suka memerintah. Ya ratu menjalankan pemeritahan kuku
besi tanpa bangkangan. Papanya pula bukan firaun tetapi lebih kepada mendengar
kata-kata daripada mamanya.
Dia bukan manusia zaman
purba yang semudah-mudahnya diarahkan sesuka hati. Bukan dia tidak pernah pergi
ke sekolah sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Sejak kecil lagi
dia paling kuat melawan kata-kata mamanya itu sedangkan adik-beradik yang lain
ikutkan saja kehendak mama mereka.
Kalau dia kata hitam
maka hitamlah kata mereka juga. Dia sudah naik pening dengan sikap ditaktor
mamanya. Tidak pernah langsung mahu mendengar apa yang dia ingin dan apa dia
kehendakkan selama ini. Menjadi anak yang mendengar arahan seorang ibu yang
bersikap ditaktor bukan keinginannya.
Dia sudah serik dengan
kehidupan yang penuh dengan arahan yang dia sendiri sudah naik mual untuk
mengikutnya. Kalau manusia sentiasa disuap dengan makanan yang sama pasti akan
naik muak walaupun itu makanan kegemaran mereka pada awalnya.
Begitu juga pemikiran
manusia yang sentiasa dipasak dengan arahan yang sama malah tidak boleh
diingkari pasti akan wujud penentangan. Kalau ingkar terimalah padahnya kelak.
Tidak guna duduk di rumah penuh dengan kemewahan tetapi pemikiran terkurung
dalam ke pompong sendiri.
“Jangan nak buat mama
naik marah dengan kamu Jhoon. Ini semua demi kebaikkan kamu. Apa yang tidak
kena lagi? Awak dengar atau tidak mama cakap ni.” Madam Narsya menahan rasa marahnya
dengan sikap degil anak bongsunya itu.
Karl pura-pura
melelapkan matanya ketika berbaring di atas katil. Dia malas mendengar
kata-kata yang sama lagi. Dia sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan
sendiri mengapa mamanya masih layan dia macam budak-budak. Buat ini tidak kena
buat itu tidak kena, apa lagi yang mamanya tidak puas hati?
Papanya pula hanya
berdiam sambil menemani mamanya datang ke biliknya pada waktu itu di
kediamannya. Wajahnya yang sedikit pucat itu masih melelapkan mata. Kejap-kejap
Madam Narsya mengerling kepada Tuan Andy cuba mendapatkan sedikit pertolongan.
Kalau setakat dia seorang bukan mudah untuknya menasihati Karl yang keras
kepala itu.
Karl bukan sekali dua
menentang kata-katanya. Sejak kecil sikap suka menentang sudah sebati dalam
dirinya. Tidak seperti kakak dan abangnya yang lebih mengikut arahan daripada
membangkang. Madam Narsya sudah mula angkat tangan kalau bercakap soal Karl.
Bagi dirinya itu yang
terbaik untuk mereka selagi mendengar kata-katanya. Karl sangat jauh daripada
sikap anak yang dia inginkan. Kuat menentang cukup membuatkan dia tertampar dengan
situasi tersebut. Selagi Karl Jhoon masih berstatus anak kandungnya lagi mahu
atau tidak dia harus mendengar nasihat yang lebih kepada arahan semata-mata.
Tuan Andy angkat bahu.
Dia sendiripun tidak tahu mahu mengatakan apa lagi. Sejak mengalami kemalangan
jalan raya tempoh hari dia kerap kali cuba melarikan diri dari rumah. Madam
Narsya tidak faham atas alasan apa dia ingin melarikan diri dari rumah. Doktor
yang merawat Karl mengatakan dia tidak boleh terlalu banyak bergerak kerana
kesihatannya akan terganggu. Hentakkan pada kepalanya yang terlalu kuat pada
stereng kereta pada waktu kemalangan itu membuatkan dia tidak sedarkan diri
selama dua hari di hospital.
Hati ibu mana tidak
bimbang jika anak yang seorang ini mengalami kemalangan. Demi kebaikkan Karl
dia harus bertegas samada Karl suka atau tidak. Pengawal peribadi yang
diarahkan mengawal kawasan rumah mereka sudah dikerah agar menjaga sekitar
kawasan perkarangan rumah Karl dengan lebih kerap.
“Tapi ingat sayang
kalau awak buat lagi perangai nanti mama kurung kamu dalam rumah orang sakit
jiwa. Jangan cabar mama faham!” Tegas kedengaran daripada mamanya itu. Matanya
masih tertutup rapat sambil tidur mengereng membelakangi Madam Narsya yang
sedang bercakap dengannya.
Pintu seperti baru
ditutup rapat dan masa itu juga Karl cepat-cepat berlari ke arah pintu untuk
menguncinya. Sejak dia mengalami kemalangan tempoh hari mama dan papanya sering
berkunjung ke rumahnya tidak kira masa. Paling membuatkan dia bertambah
tertekan mamanya siap mengupah pengawal peribadi khas untuk dirinya.
Rambut yang sudah
panjang mencecah ke dahi ditiup-tiup kebosanan. Langsir biliknya dibuka sedikit
untuk melihat pemandangan luar rumah. Mama dan papanya masih berada di hadapan
rumahnya itu sambil bercakap sesuatu kepada pengawal peribadi yang sedang
bertugas.
“Saya tak mahu awak
semua terlepas pandang dan buat silap. Dia boleh larikan diri bila-bila masa
saja. Kalau ada yang buat silap nahas kamu saya kerjakan. Satu perkara lagi
jangan terlalu berkasar dengan dia sebab dia baru sembuh dari kemalangan.
Faham!”
Mereka menundukkan
sedikit badan ketika Madam Narsya dan Tuan Andy berjalan meninggalkan mereka.
Dahi Karl sedikit
berkerut. Melihatkan ketegasan pada wajah mereka yang mendengar arahan daripada
mamanya dia sudah dapat mengagak buah butir percakapan itu. Langsir biliknya diselak
kasar menutup semula dinding biliknya sebelum berjalan ke luar dari bilik ke
bahagian ruang tamu rumahnya.
Apa aku patut buat ni.
Bosan sangatlah duduk dekat rumah. Karl mula mengeluh dengan kehidupan yang
sangat terkongkong walaupun duduk di rumah sendiri. Langsung tiada rasa aman
dalam dirinya. Kejap-kejap dia mengereng ke tepi sofa dan selepas itu dia
berbaring di atas lantai sambil kakinya diletakkan ke atas sofa.
Puas dia memikirkan apa
yang hendak dia lakukan. Seseorang datang ke ruang tamu ketika dia asyik
menongkat dagu sambil berbaring di atas sofa. Orang yang suka datang mengejut
itu sudah pasti sepupunya Rome yang hampir sebaya dengannya. Dia tersenyum
senang hati melihatkan Karl yang memuncungkan muka gaya orang tidak berpuas
hati.
“Kau apa hal datang ni!
Kalau tak ada apa-apa baik kau balik rumah kau semula. Aku tak ada hati nak
melayan tetamu yang tak diundang.” Karl tidak menyenangi kedatangan Rome ke
rumahnya. Lepas seorang-seorang datang mahu mengganggu ketenteraman hidupnya.
Mamanya tadi datang ke
sana semata-mata mahu memberi amaran tentang sekatan laluan ke luarnya dari
kawasan rumahnya. Hampir seminggu dia hanya duduk di rumah tanpa berbuat
apa-apa. Kesan akibat kemalangan masih berbekas pada dahinya. Nasib rambut
hadapannya panjang boleh juga menutupi bahagian luka yang masih berbekas lagi.
Rome buat muka tidak
endah sambil senyum mengejek Karl yang masih dengan sikap dinginnya. Tahu
sangat Rome kenapa Karl bermuram durja dengan wajah begitu. Muka yang tak rupa
orang itu apa lagi kalau bukan mendapat sekatan kebebasan daripada mak ciknya
Madam Narsya. Rome berjalan ke arah dapur untuk mendapatkan minuman.
Dicapainya minuman yang
akan mengundang kemarahan Karl pastinya. Bukan dia tidak kenal sikap Karl yang
tidak suka barang yang disukainya disentuh sesiapa tidak kiralah apa jenis
barang sekalipun. Terus dia meneguk air itu sambil berjalan ke luar dari dapur.
“Kau ni aku datang aje
tak ceria langsung. Tetamu harus dilayan dengan baik. Tapi kau buat muka macam
ayam berak kapur.” Rome cuba mendapatkan sedikit perhatian daripada Karl yang
masih dengan sikap dinginnya. Karl menoleh memandang air yang sedang diteguk
oleh Rome tanpa henti.
Nampak Rome sangat
dahaga ketika air dalam botol itu tidak henti-henti diteguk. Karl mengetap gigi
dan Rome buat-buat tidak faham dengan reaksi Karl yang hendak marah. Dia memang
sengaja mahu mencari pasal dengan Karl.
“Yhaaa...!!!” Karl
menempik geram kerana Rome mengambil air minuman botol kegemarannya. Sengaja
Romemenggoncangkan botol air yang sudah kering-kontang diminumnya sejak tadi
dan dia buat muka tidak bersalah langsung.
“Kau tak payahlah nak
menempik aku sangat. Aku tak pekak lagi lah.” Bengang juga Rome kerana ditempik
oleh Karl. Salah dia juga siapa suruh cari pasal.
Karl bangun dari sofa
terus merampas botol air yang diminum oleh Rome sebentar tadi. Matanya
dikecilkan kerana geram dengan sikap Rome yang suka mengambil minuman yang
disukainya. Bukan setakat minuman tetapi segala barang yang disukainya Rome
kalau boleh semahunya dia ingin merampasnya
juga.
“Dasar kedekut! Aku
bolehlah kalau nak beli minuman tu. Ingat aku hairan sangat. Kedekut tak
sudah-sudah!” Rome memerli sikap kedekut Karl itu.
Karl buat muka tidak
kisah. Dia tahu Rome sengaja mahu menaikkan kemarahan dirinya.Rome yang memulakan
dulu kenapa pula harus dia balik dipersalahkan. Nampak sangat Rome sengaja
mencari pasal dengannnya.
“Benda ini aje yang aku
minum selepas air kosong kau tahukan tapi kau sengaja buat tak tahu. Kenapa kau
ambik air yang akusuka ni? Minuman ni diimport dari luar negara tahu tak. Kau
ingat senang ke nak buat tempahan semata-mata untuk benda ini aje.” Karl
menerangkan perkara yang sepatutnya Rome ketahui tentang air tersebut.
Penjelasan tadi cukup menunjukkan sikap suka bangga dengan jenama air minumannya
itu. Kalau dasar kedekut tu memang kedekutlah jugak.
“Aku kisah apa mana
datangnya minuman kau tu. Kau ni kalau terus dengan perangai macam ni takut
nanti orang gelakkan kau tahu tak?” Rome ingin menyedarkan Karl tentang sikap
angkuh dan sikap suka bangga dengan barang yang dimilikinya. Sampai bila harus
Karl bersikap sedemikian rupa. Dia bukan budak lagi untuk berperangai begitu.
“Tak kisahlah. Kau
macam mana dah sihat sikit?” Rome menukar soalan pada pokok tujuan asal datang
ke mari. Melayankan sangat perangai Karl nanti dia pula yang sakit hati balik. Harapkan
umur saja lebih tua daripada Rome tapi sikapnya langsung tidak menggambarkan
dia layak berada dalam usia itu. Pada pandangan orang mereka nampak sebaya
hakikatnya Karl tiga tahun lebih tua daripada umur dia. Hehh... macam
budak-budak. Malas dia ingin bertekak soal perkara sekecil itu. Soalan itu yang
sepatutnya sejak tadi dia tanyakan kepada Karl.
“Apa yang kau nampak
sekaranglah. Bolehlah sikit.” Jawapan seperti orang mahu tak mahu saja menjawab
pertanyaan Rome itu. Rome dipandang lama seolah-olah dia mendapat satu akal
terbaik untuk dirinya. Mungkin kali ini.
Lama mata itu memandang Rome.
Sepertinya ada sesuatu yang dia inginkan dari sepupunya itu. Apasal dia pandang
aku macam tu. Ah, tidak... aku tak sanggup! Kau jangan nak buat kerja gilalah
Karl! Rome faham sangat dengan pandangan mata yang dibuat oleh Karl itu. Mana
mungkin dia tak faham.
“Kau kenapa pandang aku
macam tu?” Rome sudah rasa lain macam. Melihatkan cara pandangan itu dia dapat
mengagak apa yang Karl ingin lakukan. Karl datang menghampiri Rome dengan wajah
penuh mengharap. Mengharap Rome akan membantunya. Dipegangnya kedua-dua bahu
Rome dengan penuh harapan sambil menatap mata itu.
“Kau jangan nak cari
pasal! Aku takut mama kau karang serang aku tak pasal-pasal. Kau tahu sajalah
dia tu diktator kuku besi. Takut aku!” Rome angkat tangan awal-awal jika
permintaan itu ada bersangkut-paut dengan mak ciknya sendiri.
Rome takut untuk masuk
campur. Cukup saja kawasan rumah Karl dikawal ketat oleh pengawal peribadi yang
Madam Narsya arahkan di luar rumah. Inikan pula mahu membantu dia untuk ke luar
dari sana. Memang tempah maut. Silap-silap nanti mamanya, Madam Tieya juga akan
turut terlibat dek kerana permintaan Karl yang agak melampau ini.
“...ehhmmm please....” Karl
seumpama budak kecil merengek. Kemudian Karl buat muka kasihan pada Rome sambil
merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya merayu agar dipertimbangkan.
Rome menggeleng kepala
seperti tidak sanggup mahu memenuhi permintaan Karl yang agak gila itu. Kalau
mereka tertangkap nanti bagaimana?Dan Karl orang yang paling teruk terkena
kalau pakatan mereka ini tidak menjadi. Rome tidak sanggup.
Rome masih berpeluk
tubuh cuba memikirkan semula permintaan yang hampir tidak masuk akal itu. Bukan
sekali dua dia membantu Karl yang dikawal dalam perintah berkurung oleh mak ciknya,
Madam Narsya. Kalau diikutkan dia agak serik dengan situasi begini.
“Ok, ok... Kalau kau
nak minum air aku tu banyak-banyak pun tak apa. Aku sanggup bagi asalkan kau
tolong aku kali ini ok.” Karl membuat syarat atas permintaan yang agak sukar
ditunaikan. Wajah Rome memberi reaksi seperti berminat dengan tawaran itu.
Dahinya terangkat sedikit ketika tawaran itu seolah-olah sukar untuk ditolak.
“Kalau macam itu aku nak
semua air botol yang aku minum tadi dalam peti ais kau tu. Deal ok.” Siapa
sanggup menolak tawaran yang dibuat lebih-lebih lagi kalau orang itu ialah sepupunya
sendiri. Alang-alang Karl membuat tawaran terbaik itu baik dia sapu habis
sekali semua. Orang kedekut macam dia ni kena ajar sikit.
Dahi Karl sedikit
berkerut dengan permintaan kejam Rome yang mengambil kesempatan atas situasi
daruratnya. Ikutkan hati dia yang geram ini mahu saja dia halau Rome yang suka
melebih-lebih kalau membuat permintaan waktu itu juga. Karl rasa permintaan
yang dibuat oleh Rome itu agak keterlaluan.
“Kalau tak nak sudah.”
Rome cuba mengugut Karl apabila air muka Karl sedikit berubah dengan
permintaannya tadi. Aku nak tengok dia ni sanggup atau tak bagi air minuman
yang dia suka tu dekat aku. Dia pura-pura berjalan pergi dari sana setelah Karl
agak lambat memberi jawapan.
“Ok ok... kau boleh
ambik semuanya.” Bunyinya seperti orang mengalah saja dengan ugutan Rome tadi. Langkah
Rome terhenti. Dia rasa senang hati apabila urusannya berjalan lancar. Rome
kalau bab mengugut Karl yang agak kedekut itu pasti kemenangan berpihak
kepadanya.
Mahu atau tidak dia
ikutkan saja kehendak Rome yang melebih-lebih itu. Ini saja peluang yang dia ada
untuk mendapatkan bantuan.
Kotak-kotak yang berisi
air minuman jenama buah-buahan itu sudah dipekkan. Pembantu rumah Karl diarahkan
agar membawa kotak yang berisi air minuman buah-buahan itu ke kediaman Rome
yang terletak tidak jauh dari rumah Karl. Keluasan kawasan rumah mereka agak
besar.
Cuma keluarga mereka
yang duduk dalam kawasan tanah yang seluas tujuh padang golf itu. Ketika Karl
ke luar dari rumah itu bersama-sama Rome pengawal peribadi yang menjaga sekitar
rumahnya bertindak menahannya.
“Tuan muda tolong
jangan ke luar dari kawasan ini. Saya tak boleh bagi jaminan kalau apa-apa akan
terjadi atas diri tuan muda nanti. Tolong dengar cakap saya. Saya mohon
sangat.” Lelaki yang berkaca mata hitam itu masih menghalang laluan Karl. Kalau
boleh dia tidak mahu bertindak sehingga mencederakan Karl yang masih sakit itu.
Rome menghampiri lelaki
tadi sambil diperhati oleh beberapa orang pengawal peribadi yang lain. Rome
sudah melaksanakan perjanjian yang termeterai antara mereka berdua tadi. Sebolehnya
dia juga tidak mahu Karl berada dalam situasi yang sengaja dicipta oleh mak ciknya.
“Dia tidur rumah saya
malam ini. Lagipun malam ini keluarga kami akan adakan makan malam bersama.” Rome
cuba memberikan alasan terbaik untuk membantu Karl ke luar dari sana. Lelaki
tadi masih tidak berganjak. Terus dia menghubungi Madam Narsya waktu itu juga
untuk mendapatkan kepastian. Karl dan Rome saling berpandangan.
Terasa peluh kasar mula
mengalir di dahi. Mana tahu kalau Madam Narsya tidak membenarkan anaknya itu
menghadiri majlis tersebut. Setelah panggilan tadi dibuat pengawal peribadi
tadi memberi laluan kepada Karl setelah mendapat kebenaran daripada Madam
Narsya.
Karl berlagak cool
ketika berjalan melintasi kawasan perintah berkurungnya itu. “Rome kau jauh
lagi cool daripada aku. Thanks buddy.” Gembira benar hati dapat ke luar dari
sana. Dia rasa bersyukur sangat atas bantuan yang dihulurkan oleh sepupunya.
Kalau Rome tidak ada tadi memang mati kutu dibuatnya duduk terperap dalam
rumah.
Mereka dengan senang
hati berjalan di kawasan taman yang agak luas berhampiran rumah Karl sebelum
sampai ke kawasan rumah Rome. Pembantu yang membawa kotak minuman tadi mengeluarkan
air tersebut untuk dimasukkan ke dalam peti ais. Karl mengerling sedikit ketika
air rampasan itu berjaya dibawa ke rumah Rome.
“Nasib mama aku tolong,
kalau tak kau dah lama masuk hospital sakit jiwa.” ujar Rome demi rasa leganya.
Mereka sedikit lega kerana tidak mendapat halangan ketika dia bersama Rome ke
luar dari kawasan rumahnya sendiri. Karl duduk terbaring pada kerusi yang
menghadap pemandangan taman yang penuh dengan pokok-pokok yang menghijau.
Kawasan yang agak sederhana
hijau dengan pokok-pokok yang rimbun menambahkan cetusan idea yang lebih
membawa minda untuk berasa tenang. Bunga-bunga yang ditanam disekitar kawasan
itu menambah kebangkitan warna dalam suasana taman yang penuh dengan kehidupan
tenang.
Kolam air yang tidak
sampai 20 sentimeter tinggi dengan hiasan dalaman batu-batu kecil yang terdapat
di dalamnya membuatkan seolah-olah suasanadalamnya agak hidup. Di sebalik
cermin dinding kaca itu Karl cuba mendapatkan ketenangan sambil berbaring atas
sofa yang menghadap kawasan sekitar taman yang bertentangan dengan kawasan
rumah Rome.
Sepanjang berada di
rumahnya dia tidak pernah merasai perasaan tenang seperti sekarang. Rome duduk
pada sofa berdekatan dengan Karl yang sedang berbaring. Wajah Karl dipandang
lama. Sungguh rasa terseksanya hidup dalam kongkongan yang dia sendiri tidak
inginkan.
Karl terpaksa menghadapi
kisah pahit yang terjadi kepadanya sewaktu zaman persekolahannya. Baru sekarang
dia berubah menjadi seperti orang lain yang menginginkan kehidupan lebih baik.
Rome tidak pernah lupa di mana Karl mengalami kemurungan hampir bertahun
lamanya.
Dia selaku sepupu yang
rapat dengannya agak terpanggil dengan perubahan sikap Karl yang menjadi terlalu
pendiam. Senyap tanpa bicara buat seluruh kaum kerabatnya susah hati. Mama
Karl, Madam Narsya orang yang paling terpukul dengan perubahan sikap anak
bongsunya itu.
Karl sering dibawa
berjumpa pakar tentang masalah yang dialaminya. Namun langsung tiada memberi
kesan perubahan apa-apa terhadap emosi dan sikapnya. Masih sama seperti biasa.
Sehinggakan dia yang sibuk menjalani latihan sebagai trainer di sebuah syarikat
sebelum diangkat sebagai penyanyi terpaksa berbuat sesuatu.
Puas dia mencari jalan
untuk mengembalikan Karl pada sedia asal. Bukan setahun tapi hampir bertahun
lamanya. Bila dia bertanya apa punca Karl jadi begitu pada mamanya, Madam Tieya
hanya berdiam diri. Rome tahu mamanya seperti cuba menyembunyikan sesuatu
kepadanya.
Pada akhirnya Karl
sendiri bangkit dari dunia gelapnya. Fikirannya sendiri bertindak melupakan
segala derita yang dialaminya sehinggakan apa yang berlaku pada zaman silamnya
hilang dari ingatan. Hanya orang yang terbiasa bersamanya saja yang masih dia
kenali. Itupun setelah situasinya dijelaskan oleh pakar yang merawat Karl
beberapa tahun lepas.
“Doktor kenapa sepupu
saya tak ingat siapa-siapa lagi. Semalam dia keadaanya nampak baik saja.” Rome
sangat bimbang terhadap daya ingatan Karl yang secara mendadak lupa siapa orang
di sekelilingnya. Hanya beberapa orang saja yang dia masih ingat.
Baru semalam mereka bertemu
mengapa Karl langsung tidak mengingatinya. Pada mulanya dia ingatkan Karl
sengaja mahu mengenakannya sehinggalah bila sampai satu tahap Rome benar-benar
tergamam kerana Karl tidak ingat siapa dirinya.
“Awak jangan bimbang.
Perkara ini sangat biasa bagi mereka yang mengalami tekanan yang sangat kuat.
Badan dan otaknya bertindak sama melupakan segalanya untuk melindungi diri
daripada tekanan yang dialaminya. Sebab itu dia tidak ingat siapa-siapa.
Selepas ini awak sekeluarga kena bantu dia mulakan hidup baru. Saya faham dia
terlalu tertekan sebelum ini. Mungkin jalan ini saja dia ingin melupakan masa
silamnya. Bantulah dia untuk bangkit semula.” ujar doktor lelaki itu tentang
perkara yang dialami oleh Karl.
Dan perubahannya itu akhirnya
menghasilkan seorang manusia yang sangat angkuh dan saling tidak ubah seperti
mak ciknya, Madam Narsya. Tidak kisahlah macam mana dia berubah asalkan dia
tidak lagi murung itu lebih dari cukup.
Rome masih macam tadi
memandang sisi Karl. Dia menghenus nafas perlahan. Orang di hadapannya ini
ialah Karl yang baru. Dia bersyukur sangat kerana Karl sanggup membuat
perubahan dalam dirinya.
“Jangan pandang muka
aku lama sangat. Aku tahu muka aku ni jauh lebih kacak daripada biasa kan?” Karl
memuji dirinya berbakul-bakul. Sikapnya yang terlalu suka mengangkat kekacakkan
wajahnya disambut dengan senyuman oleh Rome. Matanya masih dipejamkan. Rome
cukup masak dengan perangai Karl yang suka memuji diri sendiri.Dia sendiri
tidak menafikan wajah Karl jauh lebih kacak berbanding dirinya yang bergelar
artis.
Karl tidak popular
dalam kalangan wanita yang sering mendekatinya.Kebanyakkan daripada mereka
hanya akan bertahan tidak sampai sepuluh minit kerana tidak tahan dilayan
seolah-olah mereka tidak layak bersama dengannya. Dalam erti kata lain melayani
mereka seperti sampah.
“Mana kau tahu yang
mama aku nak masukkan aku ke rumah orang gila? Aku tak pernah cakap dekat kau
pun tadikan?” Matanya teralih mendapatkan jawapan daripada Rome yang sedang
menikmati air minuman hasil rampasan kerana Karl meminta pertolongan daripada
Rome tadi.
“Waktu aku nak ke luar dari
rumah mama aku tadi aunty tengah bercakap dengan mama aku pasal kau. Dia macam
biasalah kalau jumpa mama aku pasti akan cakap pasal kau jugak. Agak terkejut
jugak dia macam sungguh-sungguh nak hantar kau masuk rumah sakit jiwa.” Rome
sambut dengan senyuman atas penjelasan yang dibuatnya.
Dahi Karl sedikit
berkerut.
“Ishhh mama aku tu
kalau tak cakap pasal benda tu dekat mama kau tak boleh ke. Aku tahulah dia
orang tu kawan baik. Aku bukannya gila sampai nak kena masuk rumah sakit jiwa.”
Karl agak bengang kerana ugutan terhadapnya sudah diketahui oleh seisi rumah
mereka. Selepas ini apa pulalah agaknya. Jangan sampai nenek dan datuknya pula
mengetahui perkara itu. Malu kut...
Dia masih dalam keadaan
waras lagi. Tiada yang mustahil kalau mamanya inginkan benda itu terjadi. Dulu
ketika dia cuba melarikan diri ke luar negara tidak sempat mahu masuk ke balai
berlepas dia sudah kena tangkap dengan pengawal peribadi papanya yang
bersubahat sama dengan mamanya.
“Sabarlah Jhoon. Aku
pun tak tahu nak buat kau rasa selesa macam mana.”
Keluhan berat
dilepaskan oleh Karl. Rome memegangbahu Karl memberikan sedikit kekuatan
walaupun tidak pasti sejauh mana kekuatanitu Karl dapat daripadanya. Bertahan
dan terus bersabar dengan sikap Madam Narsya itu sahaja jalan yang mampu Karl
sebagai seorang anak harus lakukan.
“Macam mana Jhoon boleh
terlepas ni!” Puan Narsya agak terkejut apabila mengetahui Karl sudah berjaya
melarikan diri daripada rumah itu. Dia sudah mengarahkan mereka agar menjaga
kawasan itu dengan lebih ketat. Rambutnya diselak ke belakang kerana berasa
bengang dengan situasi yang tidak dijangkakan itu.
“Maaf madam tapi
semalam madam yang beri kebenaran kepada
tuan muda ke luar dari rumah untuk menghadiri majlis makan malam bersama
keluarga madam malam tadi.” Lelaki bersuit hitam itu tertunduk kepalanya
membuat penjelasan.
Madam Narsya nampak terkejut
dengan jawapan lelaki itu. Direnungnya lama lelaki tadi seperti tidak percaya.
“Bila masa saya beri
arahan itu kepada awak? Gila ke apa! Mana pulak datangnya majlis makan malam
keluarga dan kenapa saya tak tahu?” Naik berang Madam Narsya mendengar
penjelasan yang diberikan oleh pengawal peribadi keluarganya itu.
Mereka yang lain juga
terkena tempiasnya walaupun hanya ketua mereka yang dimarahi oleh Madam Narsya.
Mereka semua menundukkan kepala kerana agak gugup berhadapan dengan manusia di
hadapan mereka itu. Silap-silap nanti mereka semua akan diberhentikan kerja
serta-merta jika alasan yang dibuat oleh ketua mereka tidak memuaskan hati
Madam Narsya.
“Betul madam saya tak
tipu. Semalam madam yang angkat panggilan saya dalam pukul sembilan selepas
puan beredar dari sini.” Lelaki itu cuba mempertahankan kebenaran yang harus
diketahui oleh Madam Narsya. Madam Narsya menampar dahinya sedikit. Dia sudah
dapat menangkap siapa dalang di sebalik semua ini.
“Baiklah kamu semua
boleh beredar.” Madam Narsya terus menaiki kereta yang dipandu oleh pemandu
keluarganya. Mukanya agak tawar ketika itu. Tangannya digenggam kuat kerana
perasaan geram yang mulai singgah di dalam benaknya. Aku tak sangka kau sanggup
biarkan anak aku lari rumah Tieya.
Kalaulah aku tahu kau
mahu pinjam telefon aku untuk jawab panggilan tu pasti tak akan aku biarkan.
Kau memang sengaja mahu cari masalah dengan aku. Siaplah kau nanti kakak tak
guna!
“Turunkan saya depan
rumah Madam Tieya?”
Pemandunya mengangguk
faham ketika kereta menghampiri kawasan rumah mama Rome yang terletak tidak
jauh dari kediaman anaknya, Karl. Dia melangkah laju menuju ke ruang tamu rumah
itu ketika pemilik rumah sedang menikmati minuman pagi.
“Sya awalnya datang
pagi-pagi ke rumah kakak. Jom jemput minum teh.” Madam Tieya menyambut
kehadiran adiknya dengan ramah. Dituangnya air teh bunga itu ke dalam cawan
kecil. Madam Narsya masih tercegat sambil berpeluk tubuh menghadap Madam Tieya
yang agak tertanya-tanya dengan pandangan geram daripada adiknya itu. Masakan
dia tidak faham kenapa adiknya memandang dia dengan pandangan mata sebegitu.
Berpura-pura tidak tahu lebih baik.
“Tolong jangan nak buat
muka hipokrit boleh tak. Kau memang sengajakan buat aku macam ini? Apa tujuan
kau?” garang pertanyaan Madam Narsya terhadap kakaknya yang sudah terlopong
dengan kata-kata kesat daripada adik sendiri.
Tangannya diletakkan ke
dada seolah-olah tidak menyangka adiknya, Madam Narsya akan memarahinya dengan
kasar sekali. Madam Narsya cuba menahan kemarahan yang dirasakan akan meletus
tidak lama lagi. Dia harus bersabar.Ada kakak tapi tikam dia dari belakang.
Bagaimana dia harus menghormati kakaknya lagi. Sebolehnya dia kawal kemarahan
yang masih bertandang dalam diam. Kakaknya masih tidak dapat menerima dia
bercakap kasar dengannya. Mana perginya sifat terpelajar yang selama ini mereka
amalkan.
“Apa yang awak cakap
ni? Kakak tak fahamlah Sya.” Sepertinya Madam Tieya cuba berselindung di
sebalik kebenaran yang dia sendiri tahu. Kalau anaknya Rome tidak mengusulkan
permintaan tersebut semalam pasti dia tidak dipandang geram seperti sekarang
oleh adiknya sendiri.
“Kalau ikutkan hati aku
yang geram ini dah lama aku tarik-tarik rambut kau tu sampai putus!” Perasaan
geram itu cuba ditahanbagi menjaga imejnya daripada dipandang buruk oleh
pembantu rumah kakaknya yang ke luar masuk dari rumah itu sejak tadi untuk menjalankan
tugas mengemas rumah kakaknya.
Madam Tieya pegang
rambut yang tersanggul rapi. Takut juga dia jika adiknya benar-benar menunaikan
keinginan untuk menarik rambutnya. Pada usia beginilah dia harus menjaga
rambut. Jika rosak rambut maka rosaklah reputasinya.
Sengaja dimaniskan
wajahnya sebelum beredar dari rumah itu dengan hati yang masih geram. Madam
Tieya berasa sedikit lega setelah Madam Narsya beredar dari sana walaupun dia
tahu adiknya itu masih marah lagi dengan perbuatannya itu.
Karl berjalan seperti
biasa seolah-olah dia tidak perasan akan kehadiran pengawal peribadi yang
diupah oleh Madam Narsya untuk mengekorinya sejak tadi. Beberapa minit tadi dia
bersama Rome di dalam sebuah kafe sebelum mereka beredar mengikut arah tujuan masing-masing.
Air pada cawan dihirup
perlahan. Kedua-duanya berlagak seperti biasa walaupun sejak tadi mereka kerap
mendapat perhatian. Rome yang mengenakan cermin mata hitam masih dapat dicam
oleh peminatnya ketika berada di kafe itu. Karl buat tidak endah saja walaupun
dia tahu situasi akan jadi begini.Beginilah duduk semeja dengan artis terkenal.
Tempias popular tidak banyak sedikitpun turut terkena padanya.
“Itu Rome! Betulkan?”
Perempuan yang duduk berhampiran meja mereka seperti teruja ketika Rome
membalas senyuman kepada perempuan tersebut. Ada dalam kalangan mereka yang
mula mengambil gambar Rome walaupun dari tempat yang agak jauh. Excited punya
pasal gambar belakang Rome pun jadi mereka ambil.
“Jhoon kau hati-hati
jangan sampai tertangkap pulak. Kalau ada apa-apa hal call aku.” Rome mengingatkan
Karl kembali sebelum meneruskan perjalanannya ketika berpisah dengan Karl di
hadapan kafe mereka singgahi tadi.
Dia yang berkaca mata
hitam kerap diperhati oleh sebilangan mereka yang perasan akan kehadirannya di
sana. Dia meneruskan jalannya walaupun cuba diekori oleh beberapa orang pelajar
perempuan yang teruja dapat berjumpa dengannya secara berhadapan.
“Rome awak handsome
sangat!!!” jerit budak perempuan itu terlalu teruja. Budak perempuan itu
mengangkat ibu jarinya kerana tidak menyangka akan bertemu dengan artis popular
itu. Rakannya yang lain sempat mengambil gambar bersama Rome walaupun dalam
keadaan tergesa-gesa.
Mereka menjerit ke arah Rome yang mula
masuk ke dalam kereta sport sambil melambai-lambai. Salah seorang daripada mereka
yang berbadan gempal seperti tidak percaya dapat mengambil gambar bersamanya.
“Waahhh... dia senyum
dekat aku tadi! Wahh macam nak pengsan aku rasa dah ni korang. Handsome gila
wehhh...” Dia menjerit sambil yang lain juga turut serta membuat perkara yang
sama sambil terlompat-lompat gembira. Mereka langsung tidak menghiraukan
tentang pandangan orang terhadap mereka ketika itu. Apa yang penting hati
masing-masing sudah teruja. Layan....
Karl berjalan menyusuri
laluan kaki lima sepanjang kawasan rumah kedai yang terdapat di sekitar kawasan
itu. Cuaca agak dingin setelah hujan turun agak lebat pada waktu itu tatkala
Karl menjamu sarapan pagi bersama Rome di kafe itu. Lopak air kecil pada laluan
yang diperbuat daripada susunan batu-bata sesekali terpercik ketika langkahnya
mula laju untuk melarikan diri setelah menyedari dirinya diekori tanpa henti.
Mama memang sengaja nak dia orang ekori aku. Ok kita lihat siapa menang dalam
permainan ni. Hehh.. Karl tersengih jahat kerana geram asyik diekori tanpa
henti seolah-olah dia ini penjenayah besar.
Dia tidak mahu
rahsianya terbongkar kalau pengawal peribadi itu dapat menjejaki langkahnya
yang ingin pergi ke suatu tempat yang agak penting. Orang ramai mula
berpusu-pusu ketika berdiri di hadapan laluan pejalan kaki.
Lampu merah masih tidak
menyala lagi kerana kesesakkan lalu-lintas pada pagi itu agak teruk. Tambahan
pula dalam waktu kemuncak begini. Dia cuba menoleh sedikit ke belakang ketika
hampir dengan kawasan orang ramai berdiri sebelum melintas. Tanpa disengajakan
Karl terlanggar seseorang yang sedang duduk mencangkung di hadapan laluan
melintas itu.
Perempuan itu terus menangis
dengan teruk sekali seolah-olah Karl telah melanggarnya dengan kuat. Mereka
yang sedang berdiri sementara menunggu lampu isyarat merah menyala untuk ke
seberang jalan mula memandang pelik dengan mereka berdua terutama Arya yang
duduk menangis.
“Apasal tu?” gadis yang berdiri
berhampiran Arya memandang pelik melihat Arya menangis dengan begitu teruk.
“Kau tak nampak ke mamat yang
berdiri dekat sebelah dia tu.” kawan di sebelah menyiku bahu rakannya untuk
memandang sama ke arah Karl. “... baru putuslah tu kalau tak, takkan lah minah
tu boleh menangis teruk macam tu. Apa punya boyfriendlah mamat tu. Harapkan muka
saja boleh tahan tapi buat perempuan menangis ishh ishh ishhh...” dia
menggeleng kepala kasihan melihat Arya menangis tanpa henti. Rakan di sebelah
turut bersimpati sama. Mereka sama-sama memandang tidak puas hati ke arah Karl.
Pandangan meluat mereka
itu membuatkan Karl jadi serba-salah tanpa sebab. Apasal minah dua orang tu
pandang aku macam tu? Muka kacak macam aku nipun kau orang tak puas hati ke?
Tanpa memperdulikan pandangan manusia berdua itu Karl menghampiri orang yang
dilanggarnya tadi. Dia masih tidak berhenti menangis padahal Karl melanggarnya
dengan tidak sengaja. Pengawal peribadi yang mengekorinya tadi sudah hilang
dalam pandangannya.
“Awak cedera ke? Saya
minta maaf. Saya tak sengaja pun.” Karl meluahkan rasa bersalahnya. Pada masa
yang sama Karl agak malu kerana kerap dipandang semacam oleh mereka yang berada
berdekatan. Sepertinya dia telah membuat salah besar pada pandangan mereka
semua yang tidak henti-henti memandang sejak tadi. Tadi dua orang gadis
memandang serong ke arahnya. Sekarang ini bukan dua orang tapi hampir semua yang
berada di sana melemparkan wajah kurang senang mereka kepadanya.
“Apalah punya boyfriend
bukan nak pujuk pun girlfriend dia balik. Boleh buat tak tahu pulak. Dia
menangis teruk tu pujuklah dia.” marah seorang mak cik yang berdiri berhampiran
dengannya. Bila seorang bertindak menuduhnya penyebab perempuan yang duduk itu
menangis yang lain turut mengatakan perkara yang sama. Mereka semua menuding ke
arahnya tanpa mengetahui perkara sebenar.
Ikutkan hati dia malas
hendak ambil pusing soal mereka yang mengata buruk tentang dirinya. Tetapi
perempuan ini masih menangis tanpa henti sejak tadi. Sama juga seperti sekarang
masih tidak berhenti.
Apa sudah terjadi?
Sakit sangatkah sehingga dia menangis dengan teruk sekali? Kalau bab memujuk bukan
kepakarannya lebih-lebih lagi kalau hal memujuk seorang perempuan. Buang
tebiatlah kalau dia pujuk perempuan ini.
“Bukan, bukan...” Karl
cuba menidakkan sambil itu dia datang mendekati Arya yang masih tidak berhenti
menangis. Tangisan tanpa henti perempuan itu menampakkan bahawa Karl seorang
yang bersalah pada mata mereka yang tidak putus-putus mengata buruk tentang
dirinya.
“Bukan apanya? Muka
saja boleh tahan tapi bab pujuk perempuan fail! Kau ni kena banyak belajar lagi
nak jaga hati perempuan. Jangan tahu nak berkasih sayang je, hatipun kau kena
pandai jaga jugak. Inilah payahnya kalau dapat lelaki tak matang macam dia ni!”
kata wanita dalam lingkungan 40-an yang berdiri memimpin tangan anaknya
mempersoal tentang sikap Karl. Karl mula sakit hati kerana dituduh begitu. Dia
tidak bercinta macam mana dia nak jaga hati perempuan yang kerap menangis tanpa
henti ini. “Nampak jahat sangat ke muka aku ni?”kata hati Karl geram. Berangin
satu badan Karl dibuatnya kerana dituduh yang bukan-bukan.
Inilah pertama kali dia
berhadapan dengan situasi yang tak mampu untuk ditangani dengan mudah. Kalau
bab melanggar perintah Madam Narsya dia mampu tetapi dalam kes yang satu ini
dia rasa serba tidak kena. Mulutnya bagai terkunci tak mampu menyuarakan
kebenaran. Orang kiri kanan mula bersuara tanpa henti.
“Dia bukan teman wanita
saya mak cik.” Karl cuba mempertahankan dirinya lagi dengan menidakkan tentang
hubungan mereka. Ada di antara mereka yang baru berada di sana turut mengata
buruk tentang dirinya. Perempuan tadi masih tersedu-sedu selepas teruk
menangis.
“Entah apa-apa lah dia
ni. Lepas buat girlfriend menangis boleh pulak tak mengaku tu. Teruknya dia
ni.” lagi salah seorang daripada mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap
Karl yang sudah naik pening kerana dituduh yang bukan-bukan oleh mereka. Sedangkan
dia langsung tidak mengenali perempuan tersebut.
Mereka yang berdiri
hampir dengannya nampak bengang dengan sikap Karl yang nampak ego tidak kena
tempat. Ok ok aku pujuk dia. Dia ni tak reti-reti nak berhenti menangis ke
haa.. Karl mendekati perempuan tadi lebih dekat untuk memujuk walaupun dia
sendiri tidak rela. Oh tidak....
Arya masih duduk di
sana sambil menutup mukanya dengan tapak tangan dalam keadaan tersedu-sedu
menangis. Hatinya masih sakit kerana terkenangkan kejadian di kafe tadi. Kalau
hati sudah sakit apa pun yang terjadi di sekeliling langsung dia tidak ambil
peduli. Karl duduk mencangkung menghadap Aryacuba untuk memujuk.
“Hei jangan nangislah...
malu kut. Kau ni berhentilah menangis. Orang pandang tu.” Karl bersuara
perlahan cuba memujuk. Karl menyentuh bahu
Arya dengan jari telunjuknya. Gayanya seperti teragak-agak mahu memujuk.
Orang di sekeliling menjadi tukang pemerhati. Gaya mereka memang menuduh Karl
seorang yang tidak bertanggungjawab.
“Pujuk tu biar ikhlas
sikit. Macam nak tak nak saja.” Mak cik yang duduk berdiri berdekatan mereka
berdua sejak tadi masih tidak berpuas hati.
Apalah yang orang tua
ni fikir. Aku ni bukannya suami atau teman lelaki diapun! Melampau pulak kau
orang tuduh-tuduh aku. Dia ni boleh tak stop acting. Aku tak reti nak pujuk
orang perempuanlah!
Geram dengan tuduhan
tidak berasas itu Karl terus memeluk Arya waktu itu juga. Dia tidak peduli.
Kalau perempuan ini mahu mengamuk terhadapnya silakan.Dia akan bela diri dengan
secukup-cukupnya setelah manusia yang berdiri berdekatan mereka meletakkan
kesalahan yang dia sendiri tidak lakukan.
Arya kaku kerana
dipeluk secara tiba-tiba oleh seseorang. Karl mengusap-ngusap rambut Arya cuba
menenangkan. Dia cukup serabut dituduh yang bukan-bukan sejak tadi. Sekarang ini
dia mahu Arya rasa apa yang dia rasa tadi. Mereka yang menjadi saksi nampak
berpuas hati. Arya memandang terus pada manusia yang cuba memeluknya sekarang. Bulat
matanya melihat senyuman manis Karl yang sengaja dibuat-buat. Arya cuba menolok
Karl dari terus memeluknya tetapi pelukkan itu kuat sangat. Apa pasal pulak ni?Siapa
dia ni? Apasal dia peluk aku pulak ni? Tangisannya terhenti serta-merta.
“Pandaipun kau senyap... tadi
kau tak reti-reti nak senyapkan.” Karl berbisik perlahan dengan nada separuh
geram pada telinga Arya.
Arya terkedu tidak
dapat menjawab apa-apa. Bukan kepalang terkejutnya kerana dipeluk seseorang. Lebih-lebih
lagi orang yang memeluknya itu bukan dia kenalpun. Karl meleraikan pelukannya
lantas dia mengangkat Arya yang masih duduk bersela ke tempat yang lebih
selamat. Arya terkulat-kulat dengan perbuatan Karl mengangkatnya pergi dari
sana. Dia buat apa ni?
Sekarang giliran Arya
pula tidak mampu untuk bersuara. Arya mula mempersoal tindakkan lelaki yang
tidak dikenalinya ini. Karl terus mengangkat Arya pergi dari sana kerana tidak
rela dihakimi lagi oleh mereka lagi.
No comments:
Post a Comment