Wednesday, 11 February 2015

Black' Smith: Let Us Just Love _Part 16



Bab 15


Dalam jam yang menjangkau masuk ke angka dua belas tiada siapa-siapa yang masih menghubunginya sejak tadi. Ayah mahupun abangnya masih belum menghubunginya untuk memaklumkan samada mereka pulang ke rumah atau tidak. Zarran yang ke luar agak tergesa-gesa bersama budak lelaki tadi juga tidak menghubunginya lagi. Sejak Zarran ke luar dari rumahnya tanpa sebarang bicara mama Zarran tidak sudah-sudah menghubunginya.
“Hello Al mak cik ni mama Zarran. Zarran ada dekat rumah kamu tak?” Pertanyaan itu disambut hambar oleh Arya. Apa patut dia cakap selain menipu. Nanti dia balik akan dipersalahkan jika memberitahu perkara yang sebenar. Ishh jangan cari bala kalau dengan mama Zarran ni. Tipu sajalah.
“Errr mak cik, Zarran cakap dia ada tugasan dengan kawan dia malam ni. Mungkin dia balik lewat sikit malam ni.” Dalam keyakinan dia berbicara perasaan bersalah muncul menerpa. Arya rasa bersalah sangat sebab menipu bagi pihak Zarran. Ini semua kau punya pasal Zarran! Baliklah cepat menyusahkan aku ajelah kau ni!
“Owh ye ke. Puas mak cik call handphone dia tadi tapi tak berangkat. Kalau macam itu tak apalah mak cik letak dululah ya.”
Panggilan terus dimatikan. Arya mahu jawab macam mana lagi pertanyaan mama Zarran tadi. Takkan dia mahu cakap tidak tahu pulak. Sedangkan selama ini kalau Zarran tidak pulang ke rumah dia tahu hendak menjawab apa. Tapi hari ini otak dia tersekat dengan jawapan yang agak meragukan. Sebab dia sendiri tidak tahu ke mana Zarran pergi.
Arya duduk pada kerusi kayu di ruang tamu rumahnya sambil menanti kalau ada yang akan pulang ke rumah malam ini. Kalau bercakap soal abang dan ayahnya mereka berdua memang suka tidak memaklumkan samada mereka pulang ke rumah atau tidak. Hendak marahkan mereka dia tidak berani. Terima sajalah kekurangan yang ada pada mereka berdua itu dengan hati terbuka Arya.
Sambil melayan lagu pada mp3nya kedengaran ketukkan kuat dari luar rumah. Nasib dia buka suara pada mp3nya itu tidak kuat kalau tak pandai-pandailah orang yang mengetuk pintu itu.
Ini mesti ayah atau abang. Memang nak kena ni. Apa guna ada telefon tangan tapi buat aku macam pembantu rumah bersedia buka pintu untuk dia orang. Sabar ajelah Arya Juniel. Kalau kau tak sabar boleh hijau muka kau tu nanti. Tak nak aku jadi Hulk sudahlah hijau baju koyak pulak tu. Kakinya melangkah laju menuju pintu rumah.
Pintu di buka dan orang di depan rumahnya bukan ayah atau abangnya. Mereka berdua masuk tanpa dipelawa. Zarran sedang menggendong seorang budak perempuan mungkin sebaya dengan mereka.
“Ni siapa pulak yang kau bawak ni Zarran?” Pandangan Arya jatuh pada budak perempuan yang masih tidur. Gayanya nampak penat saja. Wajah itu seperti dia kenal tapi dia kurang pasti.
“Biar dia ni tumpang rumah kau dulu ya. Nanti kalau aku bawak balik rumah aku karang tak pasal-pasal kena panah petir. Kau faham sajalah mama aku macam mana.” Zarran membetulkan sedikit pegangan yang hampir longar pada budak perempuan yang sedang digendongnya itu. Badan keding ada hati nak tunjuk kuat. Karl di sebelah Zarran sejak tadi asyik menguap.
“Hemm elok sangatlah tu. Memang patut kau kena panah petir tu. Aku setuju sangat. Keluar tak bagi tahu alih-alih bawak perempuan balik. Aku tak nak masuk campur. Pandai-pandai kau lah nak campak dia ni dekat mana.” Arya tarik baju Zarran menyuruh dia ke luar dari rumahnya. Zarran pula nampak macam tidak sangka dengan sikap Arya yang tidak prihatin itu.
“Kau nikan aku minta tolong sikit je. Susah sangat ke.” bidas Zarran nampak tidak puas hati. Sukar dipercayai Arya tidak mahu membantunya dalam keadaan di mana dia memang memerlukan pertolongan sangat-sangat. Budak perempuan dalam gendongan Zarran mulai sedar.
Zarran menurunkan Zarra yang mula sedar dari tidurnya. Sambil itu dia memisat-misat mata yang masih mengantuk itu. Sebenarnya bukan Arya tidak mahu membantu tetapi dia rasa Zarran agak terlebih dalam mengusulkan permintaan. Semua perkara yang melibatkan Zarran haruskah dia masuk campur? Arya sudah pastinya tidak akan duduk berdiam diri. Dia bukan bodoh untuk diperalatkan oleh kawan sendiri dengan sesuka hati.
    Budak perempuan itu memandang ke arah Arya yang berdiri sambil berpeluk tubuh menghadap mereka bertiga. Dia agak pasti dengan manusia yang dipandangnya. Memang dia kenal wajah ini. Kemudian dia tarik muka pandang Arya.
“Zarran kenapa perempuan ni ada dekat sini?” Cakapnya nampak tidak suka dengan kewujudan Arya di hadapannya.
Sudahlah datang rumah orang boleh pula buat muka tidak senangnya terhadap tuan rumah. Karl sejak tadi berdiam diri hanya tersenyum memandang Arya yang nampak garang sejak mereka masuk ke dalam rumahnya. Mungkin dia berang dengan Zarran seorang saja bukan dirinya.
Perasanlah tu orang itu bukan marah padanya. Mungkin. Tapi jangan berharap sangatlah sebab segala kemungkinan bakal boleh terjadi. Tindakkan orang itu memang tidak boleh diramal. Cukup saja petang tadi waktu dia pegang tangan Arya dan waktu itulah dia dapat penendang terbaik tanpa disangka-sangka.
Zarra berdiri memusingkan badan mendapatkan perhatian daripada Zarran. Antara Zarran mahupun Karl mereka berdua nampak tidak akan berpihak padanya. Mereka sedar siapa Arya sekarang ini. Silap cakap mana Zarra akan duduk malam ini. Karl pastinya tidak mahu masuk campur urusan berkaitan Zarra.
Jalan terbaik buat kali ini mendapatkan bantuan manusia yang sedang berpeluk tubuh di hadapan mereka ini. Lagaknya nampak garang tapi Zarran tahu Arya bukan jenis sampai hati membiarkan orang lain dalam kesusahan. Walau susah macam manapun dia pasti akan cuba membantu. Rungutan Zarra tadi langsung tidak bersambut.
Zarra ketap gigi kerana langsung tidak dilayan. Arya dijelingnya geram. Marahnya pada minggu lepas masih berbekas. Kalau bukan disebabkan Arya, siapa lagi mahu dia tuduh menjadi punca dia langsung tidak diendahkan oleh mereka berdua. Sedar-sedar dia sedang berdiri berhadapan budak perempuan yang paling dia benci ini.
“Kenapa you tak jawab Zarr. I tanya ni. Apa perempuan ni buat dekat sini?” Pertanyaan yang sama dia tanyakan balik kepada Zarran yang nampak ragu-ragu mahu bercakap.
Bukan apa dia takut kalau dia jawab nanti Zarra pasti pergi dari sana. Buntu pula dia hendak menjawab pertanyaan itu. Lebih-lebih lagi kalau dia dapat tahu Zarran suruh dia duduk rumah orang yang paling dia tidak suka. Kalau dia jawab tidak kena kalau dia berdiam lagi serba tidak kena.
Apa lagi yang harus dia katakan ini. Keangkuhan Zarra buat Karl kurang senang dengan sikapnya. Soalan itu yang sepatutnya Arya tanyakan kepada Zarra bukannya Zarra balik mempersoalkan kenapa tuan rumah patut berada di hadapannya. Tidakkah pelik soalan begitu hendak dijawab?
“Yang kau nak marah sangat ni kenapa. Kau ada dekat rumah dia boleh pulak marah-marah tuan rumah. Cuba beradab sikit bila bercakap tu! Ini tidak main suka hati nak marah orang tak tentu pasal!” Dengan muka tanpa riak Karl buat Zarra terdiam. Bagi Karl, Zarra memang layak dimarahi olehnya.
Budak perempuan yang di marahi ini memang Arya kenal. Siapa tidak ingat dengan keangkuhannya dan disebabkan sikapnya itu pada hari yang sama dia ditinggalkan oleh dua manusia di hadapan Arya ini.
Owhh inilah sebabnya dia orang berdua ni ke luar dari rumah aku tadi. Kalau hati sudah sayang siapa sanggup lepaskan. Untunglah muka cantik sebab itu dia orang berdua ni terhegeh-hegeh lagi nak dekat kau ni. Lelaki sama sajalah. Zarran kau nak mengata aku tapi sekarang kau sudah buktikan yang kau sebenarnya memang dasar lelaki jenis pandang perempuan dahi licin. Cakap tak serupa bikin.
“Al tolong aku sekali ini aje. Dia tak ada tempat nak tidur malam ni. Jadinya kau tolong tumpangkan dia dekat rumah kau eh.” Perlahan saja kali ini Zarran membuat permintaan sambil itu Zarra buat muka sakit hatinya. Sepertinya dia tidak layak langsung untuk bersuara.
Kalau cakap berkasar dengan Arya memang tidak jalan. Kalau hendak dapat bantuan setidaknya dia harus bermain taktik. Sudahlah Arya ini jenis yang keras. Nanti kalau Zarran paksa dia membuat keputusan boleh saja Arya tendang mereka ke luar dari sana serta-merta tanpa berfikir panjang. Zarran faham sangat sikap Arya macam mana.
“Emm pergilah tidur dekat bilik belakang tu. Lagipun bilik tu memang tak ada orang tidur.” Kakinya terus melangkah meninggalkan mereka di ruang tamu dengan sedikit harapan. Zarran senyum simpul mendengar jawapan Arya. Zarran tarik Zarra pergi ke bilik yang dikatakan Arya tadi. Samada rela atau tidak Zarra kena tinggal juga di rumah itu buat malam ini.
Karl ekori Arya ke arah dapur. Bukan saja-saja dia mahu ikut kalau bukan dia mahu bercakap perkara yang penting.Air pada gelas yang baru dituangkan ke dalam cawan Arya terus minum. Dahaga pula dia rasa tatkalawaktu yang menginjak ke pagi. Karl yang muncul tiba-tiba di sana buat Arya sedikit terperanjat. Dia senyum macam biasa pada Al. Sepanjang seminggu mereka tidak bertemu baru hari ini mereka dapat berjumpa semula.
“Ya kau nak apa.” Arya awal-awal menanyakan soalan sebab antara mereka takut terlihat janggal. Dia bukannya kenalpun budak lelaki di hadapannya ini. Nama dia lagi Arya tidak tahu.
“Tak aku cuma nak cakap berapa jumlah ganti rugi yang patut aku bayar. Kalau kau tak nak terima aku rasa serba salah. Aku ikhlas nak bayar.” Disebalik wajah itu terpamir keikhlasan. Ini yang buat Arya rasa serba salah dibuatnya. Dia hanya bergurau bukan serius mahukan duit daripadanya pun. Dia ni spesies manusia apa agaknya? Gurau dengan serius pun dah tak boleh nak bezakan ke?
Perlahan-lahan Arya tarik nafas mencari udara yang dia rasakan agak kurang. Jantungnya terasa berdegup pantas. Apa yang tak kena dengan aku ni? Arya kipas mukanya yang mula terasa panas tiba-tiba. Karl masih menanti jawapan daripada Arya yang sedang mengipas-ngipas wajahnya dengan tapak tangan.
“Tak payah bayar. Kan aku dah cakap petang tadi. Err... kau punya kepala tak sakit lagi ke. Maaflah pasal ayah aku kau dapat cedera. Sorry sangat-sangat. Apa yang ayah aku cakap petang tadi kau abaikan aje ok.” Arya pegang leher sambil itu dia minum air kosong dalam cawan yang masih dipegangnya.
Karl pandang Arya agak lama. Pandangan itulah yang buat Arya sejak tadi jadi kurang selesa. Senyuman Karl makin meleret-leret menyedari Arya nampak tidak senang dipandang sejak tadi.
“Aku dah ok sikit. Jangan risaukan aku. Emm tak apalah aku pergi dulu.” Karl berjalan meninggalkan Arya di dapur. Di ruang tamu Karl pandang anak tangga di rumah itu. Zarran yang baru muncul menuruni anak tangga rumah itu terus mendapatkan Karl yang berhenti di sana.
“Dah malam sangat ni. Kau pasti ke nak tidur dekat hotel waktu macam ini.” Zarran nampak sedikit prihatinnya. Diapun tidaklah kejam sangat mahu membiarkan orang pergi dalam waktu begini. Soal gaduh dia tolak tepi. Malas fikir nanti otak jadi semak.
“Zarra dah tidur ke?”
“Macam kau tak faham dia. Dia halau aku ke luar lepas tu tutup pintu. Marah sangatlah tu.” Jawapan Zarran buat Karl senyum sedikit. Arya yang baru datang dari dapur sedang menguap. Karl yang masih berada di sana buat dia rasa serba tidak kena. Kenapalah hati aku ni macam tak tenteram aje. Dia tu pun bukan bukan siapa-siapa bagi kau tapi kenapa kau rasa semacam ni Al.
Perasaan berdebar macam inilah buat hidup aku tak senang ni. Arya cuba tenteramkan perasaannya.Karl senyum segaris ke lantai. Mungkin pada dia lantai itu sangat menarik perhatian atau sebenarnya dia tahu Arya nampak gelabah apabila dia memandang ke arahnya. Nampaknya dia bukan bertepuk sebelah tangan.
“Kau kenapa Al macam pucat semacam aje. Kau ok tak!” Zarran datang mendekati Arya lalu dia letakkan tapak tangannya ke dahi kawannya itu. Keningnya terangkat sedikit.
“Bila masa pulak aku demam ni!” getus hatinya yang agak ragu kerana dikatakan sakit. Dia ni memandai-mandai aje.
“Aku tak sakitlah.” Arya tepis tangan Zarran waktu itu juga.
Kemudian...
“Tadi mama kau call aku. Macam biasalah dia tanya kau dekat mana.”
“Kau jawab apa?” Zarran nampak sedikit risau. Kalau bab mamanya dia memang gelabah sikit.
“Sebab kau lah aku tipu mama kau. Kesian mak cik dapat anak tak guna macam kau ni! Lain kali kalau ke luar cakap dulu nak pergi mana. Awak tu bawah umur lagi so jangan nak bajet dewasa dekat sini. Macamlah boleh buat keputusan sendiri. Tak faham aku dengan kau ni. Nasib minggu ni dah start cuti semester kalau tak entah apalah mama kau nak tanya lagi dekat aku. Ishh..”
Kemudian Arya angkat penumbuk. Zarran pula terundur ke belakang sedikit. Mana tidaknya tengok Arya nampak geram semacam dengan dia sejak tadi. Arya memang, kalau dia geram memang badan Zarran jadi mangsa sasaran keganasan. Nasib Arya hanya tunjuk penumbuk saja.
Orang di sebelah Zarran masih senyum macam tadi. Arya buat tidak nampak pada senyuman yang masih terukir pada bibir itu. Kalau dia senyum macam itu buat Arya bertambah susah hati. Susah sebab takut tidak mampu tidur bila teringat akan senyuman yang menguntum agak menawan sejak tadi.
“Janganlah marah. Ok aku minta maaf. Emm kau jaga baik-baik Zarra tu. Jangan kau orang bertarik rambut dah lah.” Zarran cuba mengingatkan. Karl di sebelah Zarran kalih pandang sebentar. “Kau tidur rumah aku lah malam ni eh. Takkan kau nak pergi tidur hotel pulak malam-malam macam ni. Kalau hotel dekat kawasan sini mungkin dah penuh. Macam mana?”
Karl angguk kepala. Dia terima saja kalau orang sudah pelawa. Cakap Zarran itu ada betulnya juga. Arya pula kalau orang cakap benda pelik sikit dia memang tidak boleh duduk diam. Gila apa dia orang nak tidur satu bilik. Tapi apahal pulak dia nak tidur dekat hotel? Rumah dia tak ada ke?
Mereka berdua berjalan ke luar dari sana dan waktu itu Arya tarik lengan baju Karl yang berjalan di belakang Zarran. Siapa tidak risau kalau antara mereka bakal bergaduh. Karl toleh ke belakang kerana lengan bajunya ditarik orang. Pandangan mereka bertemu dengan Karl pandang dengan penuh tanda tanya. Pelik pula dia kenapa Arya tarik bajunya.
Tarikkan pada lengan baju itu Arya lepaskan cepat. Dia garu pipi yang tidak berapa gatal. Kenapa aku blur sangat ni sampai tak boleh fikir nak cakap apa. Kau ni dah kenapa Al? Dia pandang kau terus jadi lupa. Aduhai... Arya jadi tidak tahu hendak cakap apa lepas mata mereka saling bertemu.
“Kau kenapa Al tarik baju orang tu” Zarran pula yang menyoal tindakkannya itu bukan tuan badan yang bertanya kenapa.
Karl senyum lagi. Entah apalah dia sukakan dengan tindakkan Arya yang tiba-tiba itu. Zarran pandang Arya pelik dan dia senyum kemudiannya. Hendak gelak dia risau orang itu marah tapi hatinya kata Arya memang ada sesuatu yang tidak kena padanya. Zarran tahu Arya macam mana. Dia susah nak jatuh suka pada seseorang tapi dengan mamat depan dia ini perangai kawan baiknya nampak lain macam. Semacam yang ada sesuatu hahaaa...
“Esok-esok kan boleh jumpa lagi. Tak lari ke mana dia ni pun. Malam ni dia nak tidur kau tak payahlah nak ganggu dia. Dahlah Karl biarkan Al ni.” Zarran cepat-cepat tarik Karl pergi dari sana. Kalau dia biarkan entah apa pula dia mahu cari akal hendak menahan Karl pergi dari sana.
Arya terkulat-kulat dengan apa yang Zarran katakan tadi. Apa pasal dia cakap macam itu? Keliru pula dia jadinya. Tujuannya tadi mahu menghalang sudah disalah ertikan. Mesti dia fikir aku nak menggatal dengan mamat tu. Cis, tak guna punya kawan sanggup kau malukan aku depan dia! Owhh tidak... malunya!
Dan waktu itu dia rasa mahu saja menjerit sekuat-kuatnya sebab rasa malu tiba-tiba hadir tanpa dipinta. Budak lelaki itu pula tidak habis-habis senyum padanya. Hal ini menambahkan kesangsian Zarran terhadap mereka berdua. Perasaan malu yang bergelora macam nak mati itu dia abaikan. Dia pun sudah mengantuk malas pula dia mahu berfikir panjang lagi. Esok siaplah kau Zarran. Dan esok juga apa harus dia lakukan kalau mereka bertemu lagi?

No comments:

Post a Comment