Bab 13
“Jadi kamulah punca
muka anak pak cik lebam!” Ryan duduk bersila di ruang tamu ketika Karl sedang
duduk melutut menghadap ayah kepada budak perempuan yang dia tidak sengaja
tumbuk tempoh hari.Kedua-dua tangannya memegang lutut sambil menundukkan kepala
memandang lantai. Karl takut untuk melihat orang tua di hadapannya ini. Mukanya
nampak tegang memandang ke arahnya.
Silap cara mahu saja
orang tua di hadapannya itu menelannya hidup-hidup. Dia faham kalau orang tua
ini mahu memarahinya tetapi perasaan gerun ini sangat-sangat buat dia kecut
perut sampai tidak mampu berkata-kata. Kalau soal Madam Narsya dia mampu tangani
tetapi bukan lelaki di hadapannya ini.
Lama Ryan berdiam
sambil memandang pada anak muda yang sedang melutut di hadapannya. Ikutkan dia
bukan sengaja mahu memarahi budak lelaki ini. Kerisauannya sebagai seorang bapa
sepertinya berasas. Siapa yang tidak marah kalau mengetahui satu-satunya anak
perempuan yang dimiliki ditumbuk oleh orang sehingga lebam.
Di luar rumah Arya dan
Zarran baru pulang dari sekolah pada lewat petang hari. Kereta sport berwarna
putih yang diletakkan di luar pagar rumah membuatkan mereka berdua
tertanya-tanya siapa pemilik kereta itu. Sepertinya ada orang datang ke
rumahnya.
“Al orang kaya mana
datang rumah kau ni? Kereta ni model terbaru. Semalam baru aku lepas tengok
dekat internet hari ni pulak aku tengok yang real punya. Gila kaya tuan punya
kereta ni.” Zarran nampak teruja dengan kewujudan kereta sport terbaru itu. Dia
pula sememangnya penggemar koleksi gambar kereta sport dan sedikit banyak
Zarran tahu juga soal kereta keluaran terbaru di pasaran.
Arya tidak kurang juga
menampakkan minat melihat kereta baru itu. Kalau sudah berkawan dengan orang
gila kereta dia juga tumpang minat yang sama tetapi sekadar memandang sahaja.
“Aku nak masuk rumah
kau jugak errr... faham-faham ajelah.” Zarran terus buka pintu pagar rumah Arya
dan mereka berdua berjalan masuk bersama. Arya tahu sangat kenapa Zarran hendak
masuk ke rumahnya kalau bukan hendak melihat siapa tuan empunya kereta itu.
Ketika kaki melangkah
masuk mata Arya awal-awal lagi sudah tertacap pada sesusuk tubuh manusia sedang
melutut menghadap ayahnya. Dari arah belakang Arya pandang lelaki itu nampak
masih muda. Hendak kata itu abangnyaErean sungguh mustahil. Ini pasti pemilik
kereta dekat luar rumah aku. Tapi apahal muka ayah aku ketat semacam? Arya
sedikit risau dengan perubahan angin monsun ayahnya itu. Jangan dibuat
main-main dengan angin ayahnya itu.
Ryan mengalih pandang
pada Arya yang masih tercegat pada muka pintu dan di belakangnya Zarran sedang
menanggalkan kasut untuk masuk ke dalam rumah. Matanya tajam memandang Arya di muka
pintu.
“Al kamu duduk
sekarang!” Ryan menempik pada anak perempuannya yang baru pulang dari sekolah.
Arya buat muka. Baru pulang dari sekolah sudah dimarahi oleh ayahnya. Zarran di
tepi Arya sedikit kecut kerana mendegar rakannya ditempik secara tiba-tiba. Dia
tersalah masakah datang ke rumah Arya pada petang itu?
Apa pulalah kali ini
ayahnya tidak puas hati terhadapnya. Lambat-lambat Arya berjalan masuk lalu
duduk bersebelahan lelaki yang duduk melutut gaya orang sudah membuat salah.
Arya pandang sekilas pada manusia di sebelahnya. Lelaki di sebelahnya nampak
muda mungkin mereka sebaya. Kemudian Arya pandang semula pada ayahnya. Zarran
di muka pintu masih tercegat. Dia nampak teragak-agak untuk masuk kerana
bimbang turut dimarahi sama.
Siapa tidak kecut
apabila melihat orang tua sedang naik marah. Lebih-lebih lagi bapa kawan
sekelasnya yang sudah lama dia kenali dengan sifat pemarahnya.
“Aduh, aku salah waktu
ke datang rumah Al! Isshh.. pak cik ni kalau dia buat muka singa dia boleh
tanggal jantung aku dibuatnya. Apalah yang tak kena ni dekat pak cik?Tu mesti
tuan punya kereta. Pehhh orang kaya pun melutut jugak ke?” Dalam kerisauan
sempat lagi Zarran membebel dalam hati.
Dia jadi tidak sedap
hati mahu meneruskan langkahnya masuk ke dalam rumah. Muka ayah Arya macam
singa lapar itu buat dia rasa tidak patut berada di sana. Tadi hatinya riang
sangat mahu menjenguk gerangan pemilik kereta di hadapan rumah Arya, alih-alih
bila masuk ke sana dia mula rasa kecut.
“Haaa... apa kamu
tercegat lagi tu Zarran, masuk!” Kini giliran Zarran pula ditempik. Arya dan
budak lelaki di sebelahnya sama-sama terangkat bahu kerana terkejut dengan
tempikkan manusia di hadapan mereka ini. Arya rasa serba tidak kena dengan
kehadiran budak lelaki di sebelahnya ini.
Dia menoleh lagi pada
budak lelaki itu tetapi agak lama berbanding tadi. Karl turut sama memandang
Arya di sebelah. Karl senyum tetapi Arya buat muka. Dia buat muka pelik. Lama
mata mereka bertentang dan waktu itu....
“Kau buat apa dekat
sini!” Arya nampak terkejut dengan kehadiran budak lelaki itu. Kemudian dia
tutup mulut.Kepalanya mula mencari jawapan dengan kehadiran budak lelaki di
sebelahnya ini. Macam mana dia boleh datang rumah aku ni dan mana dia tahu
alamat rumah aku pulak?
Baju yang kononnya akan
dipakai pada majlis yang bakal berlangsung pada malam nanti Karl bawa bersama menuju
ke garaj kereta. Terus dia campakkan baju itu pada tempat duduk di sebelahnya
ketika kaki melangkah masuk ke dalam kereta. Enjin kereta terus dihidupkan dan
kereta itu bergerak laju ke luar dari perkarangan rumahnya.
Pengawal yang berkawal
pada pintu pagar utama rumah itu menahan kereta yang dipandu oleh Karl. Karl
melemparkan pandangan pada pengawal itu. Bukan dia tidak tahu mamanya telah
membuat sekatan laluan untuknya. Diapun tidaklah sebodoh itu untuk menyerah
kalah.
“Tuan muda maafkan
saya. Madam arahkan tuan muda tak boleh ke luar sebelum pukul 07:00 petang.
Lepas waktu tu baru tuan muda dibenarkan ke luar.”
“Saya nak pergi jumpa
tukang jahit. Baju saya ni ketat sangat sampai tak boleh bernafas nak pakai.
Awak nak bertanggungjawab ke kalau saya tak boleh pakai baju ni waktu majlis
bertunang saya malam ni.” Tangan Karl menarik baju yang berada di tempat duduk
di sebelahnya. Pengawal itu garu kepala.
Alasan terbaik apa lagi
yang patut dia berikan untuk ke luar dari sana. Karl buat muka selambanya tanpa
menoleh lagi ke arah pengawal yang masih nampak ragu-ragu.Pengawal itu terus
membuka pintu pagar memberi laluan kepada Karl walaupun dia rasa serba salah.
Samada dia beri laluan
atau tidak pada tuan muda itu dia tetap akan dipersalahkan juga nanti. Sebagai
manusia dia ikutkan saja kata hati membenarkan tuan muda itu ke luar dari
kawasan yang dikawal olehnya.
Dalam perjalanan Karl
terus menghubungi nombor telefon budak perempuan itu. Kali ini dia nekad.
Apa-apa yang bakal terjadi nanti dia kena bertanggungjawab kerana itu keputusan
yang dirasakan terbaik buatnya dirinya. Dia memang merancang ingin melarikan
diri di saat-saat majlis pertunangan yang bakal berlangsung malam nanti.
Kalau mamanya berani
bermain api kenapa dia pula tidak berani. Dia sudah cukup bengang kerana
diketepikan oleh mamanya dalam membuat keputusan.
Panggilan di talian
bersambut. Karl tarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicaranya.
“Hello. Ingat tak aku
lagi? Aku yang hari tu tak sengaja tumbuk muka kau ingat tak? Aku on the way ni
nak datang rumah kau. Boleh kasi alamat.”
Orang di talian masih
belum bersuara. Senyap sahaja. Dia tersalah mendail nomborkah? Karl pandang
balik pada nombor yang didailnya tadi. Rasanya betul, inimemang nombor budak
perempuan tu sebab tertera gambar dia pada skrin handphonenya. Dia masih
menunggu orang di talian untuk menjawab pertanyaannya.
“Apa? Kau tumbuk muka
anak pak cik!” Orang di talian sudah terkejut.
“Errr... ya saya pak
cik. Maaf maaf saya ingat tadi anak pak cik yang jawab panggilan saya.” Rasa
gugup pula Karl mendengar suara lain yang menjawab panggilannya itu.
“Hemm... pak cik memang
alu-alukan kau datang. Pak cik letak dulu nanti pak cik mesej alamat rumah pak
cik.” Panggilan terus dimatikan. Terasa peluh mahu menitis saja pada dahinya.
Mana tidaknya yang
menjawab panggilannyatadi bukan budak perempuan itu tetapi sebaliknya. Mahu
atau tidak dia sudah membuat keputusan. Kereta terus dipandu laju setelah
alamat rumah dia dapat dari mesej yang baru tiba pada ruang inbox mesej.
Pandangan Arya jatuh
pada ayahnya yang masih dengan muka ketatnya sejak dia masuk ke dalam rumah.
Entah apalahyang tidak kena pada ayahnya kali ini. Muka kalau ketat macam itu
confirm tak lain tak bukan hendak memarahinya. Dan apa pula kaitan budak lelaki
ini dengan kemarahan ayahnya yang hampir meletus macam gunung berapi.
Ingatkan petang-petang
begini ayahnya tidak akan mencari masalah berkaitan dirinya. Kehadiran budak
lelaki ini memang memusnahkan segala harapan ketenangan pada lewat petang
begini.
“Ayah kenapa dia ada
dekat sini?” Terus Arya bertanya soal kedatangan budak lelaki yang duduk di
sebelahnya itu.Ryan masih senyap. Tiada sebarang jawapan Arya dapat daripada
ayahnya. Karl masih senyum pada Arya lagi.
Kemudian dia beralih
pandang pada Zarran yang duduk pada sebelah Arya.Senyumannya tadi terus
menghilang bagai bertemu dengan musuh lama. Kedua-dua pasang mata tidak
berkelip langsung.
“Apa dia buat dekat
sini? Nak cari masalah lagi ke!” getus hati Zarran. Dia nampak tidak senang
dengan kehadiran budak lelaki di sebelah Arya itu. Nasib Arya jadi penghalang
antara mereka berdua kalau tidak mahu saja dia buat aksi tarik-tarik rambut
dengan mamat muka bersepah itu.
Sampai mati aku akan
ingat sebab kau awek aku boleh duakan aku dengan manusia muka bajet bagus macam
kau. Zarran mencerlung tajam Karl di sebelah Arya. Nampak api kemarahannya
masih belum terpadam tentang perkara yang hampir seminggu sudah berlalu.
Bercakap soal gentleman
itu memang bukan dia. Kalau soal rebutkan seorang perempuan dia memang tidak
akan pernah mengaku kalah. Gaduh tetap gaduh. Ryan perhatikan mereka berdua
yang tak lepas-lepas dari memandang antara satu sama lain. Seperti ada konflik
yang terjadi antara mereka berdua.
“Ini mesti soal berebutkan
seorang perempuan kalau tidak masakan pandang macam tidak puas hati. Apalah
anak aku Arya dah buat dekat budak dua orang ni. Boleh tahan sekali dua nak
rebutkan anak aku ni. Ishh tak boleh jadi ni.” Ryan membuat andaian dari cara
pandangan tidak puas hati mereka sejak tadi. Arya di tengah-tengah rasa seperti
orang halimunan yang tak wujud.
Apalah yang tidak kena
dengan dia orang berdua ni? Tak sudah-sudah lagi ke pasal benda minggu lepas
tu. Arya pula nampak rimas dengan pandangan mereka yang lebih kepada mahu
mencari gaduh.
“Dah dah jangan nak
pandang sangat. Sini pandang. Haa engkau apa yang kau dah buat dekat anak pak
cik ni? Kau tahu tak muka dia lebam dekat nak seminggu. Berani kau tumbuk anak
pak cik. Kalau tak puas hatipun Al suka pada Zarran janganlah tumbuk muka dia.
Undang-undang mana yang kau pakai ni!”
Antara mereka yang
mendengar nampak bingung. Apa yang ayah aku merepekni? Aduh, malu-malu!
Zarran di sebelah
pandang Arya kemudian dia bantai gelak tak ingat dunia. Dia rasa kelakar dengan
kenyataan yang dibuat oleh ayah Arya tadi. Arya pandang ayahnya tidak puas hati.
Masa-masa macam inilah hatinya rasa hendak terbakar kerana dituduh yang bukan-bukan.
Nampak sangat ayahnya membuat kesimpulan yang tidak betul. Kerana kesimpulan
tidak betul itulah Zarran sudah ketawakan dirinya yang masih membisu.
Arya jeling Zarran di
sebelah.“Cis, kurang ajar kau Zarran gelakkan aku! Kau ingat aku teringin ke
nak dekat kau. Bajet bagus aje! Handsome lagi mamat sebelah aku ni.” getus hati
Arya geram. Geram pula dia lihat Zarran tidak henti-henti tergelak. Sambil itu
dia sempat mengerling manusia di kirinya. Arya senyum sedikit. Hahaa... dia
memang handsome gila wehhh... Aura miang Arya tiba-tiba menjelma dalam diam.
Kalau dia kacak
sekalipun tapi dia bukan suka pada kau pun Al. Sedar dirilah dengan kedudukan
kau ni. Jangan banyak berangan sangat. Ini bukan Hyunbin drama Korea ‘Secret
Garden’ yang kau tergila-gilakan tu. Arya terasa dirinya sedang saling
mengutuk. Siapa lagi tukang kutuk tu kalau bukan hatinya yang tak bersatu
dengan akal fikirannya.
Sedang dia mengutuk
diri matanya masih tertacap pada budak lelaki di sebelahnya. Siapa tidak suka
lihat pemandangan indah begini lagi-lagi ada mamat kacak di sebelah. Wahh...
untung baik punya. Kalau ada mesin pengukur tahap kemiangan mesti alat itu
terus rosak sebab tahap miang dia sangat melebih dari skala yang dianggarkan.
Budak lelakiitu nampak masih
teragak-agak untuk menjawab pertanyaan ayahnya tadi. Zarran pula masih
tergelak.
“Tak... tak pak cik.
Bukan saya sengaja nak tumbuk muka anak pak cik.” Karl nampak gugup ketika
bercakap. Dalam takut dan bingungnya dia masih berani bersuara. Bingung kerana
dituduh pada perkara yang tidak berkaitan.
Perlahan-lahan Arya mendekati
Karl yang masih cuba menegakkan kebenaran pada orang tua di hadapannya itu.
Arya cuit bahu Karl. Terus dia mendekatkan sedikit badannya ke arah Arya.
“Kau buat apa dekat
rumah aku ni? Siapa suruh kau datang rumah aku?” Perlahan Arya berbisik pada Karl
yang baru menoleh ke arahnya. Pertanyaan itu lebih kepada rasa kurang senang
dengan kehadiran Karl yang muncul secara tiba-tiba. Angin tak ada ribut tak ada
tahu-tahu saja budak lelaki ini muncul di rumahnya. Pada raut wajah itu nampak
masih bersisa ketakutan. Entah apalah yang ayahnya telah cakap pada manusia di
sebelahnya ini.
Cara duduknya yang
nampak tidak selesa itu Arya dapat mengagak bahawa dia mungkin sudah lama
datang ke rumahnya. Kejap-kejap dia membetulkan duduknya kerana kaki sudah
terasa letih melutut sejak tadi. Arya geleng kepala. Kalau macam inilah punya
gaya siapa-siapapun tak tahan. Takut pula nanti bakal suami aku kena jugak
macam ni. Tak ke haru hidup aku nanti.
Dia memang tidak boleh
percaya pada ayahnya sendiri. Mana tidaknya lihat sajalah muka budak lelaki di
sebelahnya ini sudah cukup untuk mengatakan dia telah dimarahi kaw-kaw oleh
ayahnya. Selepas itu, ayahnya boleh pula mengeluarkan kenyataan tentang dia ada
hubungan istimewa dengan Zarran. Memang tak lah!
Mamat muka tak tahu malu
ni nak jadi B.O.Y.F.R.I.E.N.D aku! Kiamat terus dunia kalau dia suka pada aku.
Kalau betulpun belum tentu aku nak. Sudahlah playboy lepas itu suka menyusahkan
kepala otak aku untuk selesaikan masalah dia dengan ex-girlfriend dia. Uishh...
tak sanggup aku!
Lambat-lambat dia jawab
juga pertanyaan Arya tadi walaupun nampak takut-takut sebab ayah Arya pandang dia
dua tiga macam. Macamlah dia ini alien baru turun dari langit. Selalunya
cerita-cerita alien ini banyak di negara belah barat. Mungkin alien tu tahu
cakap orang putih saja, cakap bahasa orang asia dia tak sempat belajar lagi.
“Ayah kau yang suruh
aku datang sini. Dia cakap kalau aku nak bayar ganti rugi kena datang rumah kau
dulu. Aku datanglah.” Karl berbisik pada telinga Arya kemudiannya. Zarran masih
tidak henti-henti ketawa. Entah apalah yang lucu sangat sampai dia boleh ketawa
begitu rupa. Confirm tersalah makan ubat dia ni. Ikutkan hati ingin saja dia
siku si Zarran ini.
“Kenapalah kau ni lurus
sangat...” Arya berbisik kemudiannya dia tutup mata sambil mengetap gigi dan
memandang terus ke hadapan. Tidak pula dia menyangka masih ada manusia yang
berpegang pada janji.
Ryan masih menanti
jawapan dalam geram. Terasa dirinya telah diabaikan oleh mereka bertiga di
hadapannya ini. Dia ini tidak wujudkah pada pandangan mereka? Ada yang sedang
berbisik dan ada pula yang sedang ketawa tak ingat dunia. Dia sedang buat
lawakkah sekarang ini?
“Apa yang kau orang
bisikkan tu! Aku yang dekat depan ni tengah bertanya boleh pulak main
bisik-bisik. Zarran yang kamu ketawa ni apa pasal! Kelakar sangat ke pak cik cakap
ni?” Ryan masih dengan pendiriannya untuk berterusan marah. Geram pula rasa hati
apabila dia yang duduk di hadapan mereka selaku orang tua tidak diendahkan.
Zarran dari ketawa
terus senyap dan mereka bertiga mula memberi perhatian. Arya faham sangat
perangai ayahnya yang suka mencari kesalahan pada benda yang sudah lama
terjadi.
Kalau dia biarkan
sahaja ayahnya terus membuat andaian yang bukan-bukan nanti yang dapat malu dia
juga. Sesuka hati ayahnya saja mahu menuding jari pada perkara yang dia tidak
tahu hujung pangkalnya.
“Dia ni tak salahpun.
Kan Al dah cakap hari tu, jangan ungkit lagi perkara ni. Terus-terang cakap
ayah nak apa dekat dia ni?” Arya pandang ayahnya lama cuba mendapatkan
kebenaran di sebalik kemarahannya itu. Karl mahupun Zarran turut sama
memandang. Tertanya-tanya juga mereka dengan soalan yang dilontarkan oleh Arya
tadi. Sepertinya marah Ryan ini bagai menginginkan sesuatu.
“Uhukk!”
Tiba-tiba Ryan
terbatuk. Dia pandang kanan, dia pandang kiri semua serba tidak kena. Di mana
dia mahu mencari akal lagi ni? Dia tidak menyangka dengan pertanyaan terbaik
daripada anak perempuannya itu. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi,
begitulah sikap Arya saling tak tumpah dengan sikapnya sendiri.
Lama Ryan mendiamkan
diri. Dia sendiri tidak mampu hendak menjawab pertanyaan anaknya tadi.
Terang-terang dia sengaja mencari masalah dengan Arya. Minggu lepas lagi Arya
sudah bercakap dengannya supaya jangan ungkit soal mukanya lebam disebabkan
kenapa.
Karl dan Zarran masih
menanti jawapan daripada Ryan yang masih membisu. Arya sudah dapat mengagak
dengan reaksi ayahnya yang nampak terkejut dengan pertanyaannya itu. Silap
oranglah ayah dia hendak kenakan. Nampak sangat dia sendiri tidak mampu
menjawab pertanyaan Arya sebab taktiknya sudah dapat dibaca oleh Arya sejak dia
buka mulut memarahi anaknya itu.
“Tak boleh jadi ni anak
aku ni pun satu boleh pulak nak kenakan aku balik. Bertuah punya budak.” Kalut
pula dia rasa kerana dipandang oleh mereka bertiga dalam tanda tanya. Ryan
masih senyap lagi kemudian Karl yang memecahkan suasana senyap antara mereka.
“Maafkan saya pak cik
soal bayaran ganti rugi tu sila cakap dekat saya berapa harus saya bayar. Saya
minta maaf sangat-sangat sebab tumbuk muka anak pak cik tempoh hari.” Karl mula
bersuara pada tujuan asal dia datang ke mari.
Ryan buat muka tidak
senangnya mendengar jawapan daripada Karl tadi. Nampak sangat dia telah
dikenakan semula. Harapan kononnya akan mendapat wang ganti rugi terkantoi
sudah. Antara mereka yang berdiam tadi terus beralih pandang pada Karl yang
nampak tenang dalam bicaranya. Tidak seperti tadi lebih kepada teragak-agak
hendak bercakap.
Ayahnya pula dicerlung
geram. Kan dah kantoi. Marah konon, sebenarnya mahu benda lain. Saja ayah aku
ni nak pusing cerita. Bulat mata Arya memandang Karl di sebelah. Lebih-lebih
lagi dia tidak menyangka Karl betul-betul mahu membayar wang ganti rugi.
Dia ini biar betul!
Uish... kalau dibiarkan boleh bankrap mamat ni kalau bapak aku mintak yang
bukan-bukan. Apa jenis lelakilah dia ni? Aku main-main aje mintak ganti rugi tu
yang kau serius sangat apa pasal! Muka saja kacak tapi akal kurang. Kesian
betul...
Zarran pasang telinga
saja mendengar jawapan daripada Karl tadi. Sambil itu dia tersengih kerana
sudah tahu kenapa ayah Arya beria marah-marah sejak tadi. Taktik saja lebih pak
cik ni.
“Tak payah bayar. Aku
tak nak pun duit kau tu. Baik kau balik sekarang.” Arya bangun kemudian menarik
Karl untuk bangun dari terus melutut menghadap ayahnya. Ayahnya pandang saja
Arya menarik budak lelaki itu ke luar dari rumahnya. Kalau dia menghalang
nampak sangat dia ni mahu memeras ugut budak lelaki itu lagi. Dia biarkan saja
Arya dan budak lelaki itu pergi.
Zarran bangun dari
duduknya dan meminta diri untuk pulang ke rumah. Ketika di luar pintu pagar
rumah mereka bertiga saling menghadap.
“Kau baliklah. Soal
bayaran ganti rugi tu kau tak payah fikir. Aku tak nak pun. Pasal ayah aku tu
aku minta maaf sangat-sangat kalau dia marah-marah kau tadi. Emmm baliklah.”
Laju saja Arya menyuruh budak lelaki itu pergi dari sana. Dia pun tidak mahu
memanjangkan cerita. Zarran di sebelah macam biasa buat muka tidak senangnya.
“Kau serius ke tak nak
aku bayar duit ganti rugi tu? Aku ikhlas nak bayar. Kau cakap aje berapa
nilainya aku akan bayar.” Suaranya kedengaran ikhlas pada pendengaran Arya.
Tidak sanggup pula dia mahu mengambil duit budak lelaki ini.
“Yang kau berlagak baik
sangat ni apa pasal Al. Orang dah nak bagi duit ambik aje lah. Rezeki jangan
ditolak kalalu orang dah buat tawaran.” Zarran buat muka selambernya. Dasar
muka tak reti malu!Arya menyiku perut Zarran dengan kuat. Melebih pula dia
tengok Zarran cuba mendesak dirinya untuk terima duit ganti rugi yang entah
berapa nilainya itu.
Perut Zarran terasa
senak akibat disiku olah Arya kuat. Ambik kau banyak sangat bunyinya! Aku cakap
tak nak boleh pulak main paksa-paksa. Arya menundukkan sedikit kepala ke arah
Karl sebelum masuk ke dalam rumahnya semula.
“Al kau boleh tak kalau
marah tu bercakap! Sakit tahu tak perut aku kau sikukan. Marah dengan mulut
bukan guna kekerasan kau tu!” Zarran tertunduk menahan sakit. Bukan sekali Arya
menggunakan kekerasan terhadapnya masuk kali ini entah puluhan kali keberapa
dia dikasari dengan cara begini.
Zarran sambil tertunduk
sempat memandang Karl yang nampak tersenyum dengan keadaannya menahan sakit
akibat disiku. Gelaklah kau, gelak! Nanti kalau kau kena macam mana aku kena,
baru kau tahu rasa sakitnya! Geram pula Zarran melihat budak lelaki itu
tersenyum kambing menggelakkan dirinya.
Tatkala kaki baru
setapak hendak melangkah tangan terasa sedang dipegang oleh seseorang dari
belakang. Arya cepat-cepat menoleh siapa gerangan manusia yang berani memegang
tangannya tanpa kebenaran. Hendak kata Zarran mustahil sungguh. Sudah terkena
sekali takkan Zarran tidak serik-serik lagi kena penyepaknya.
Waktu dia berpusing
tangan budak lelaki itu rupanya sedang memegang tapak tangannya. Dia ni apa hal
pegang tangan aku ni? Terus-terang cakap kalau bab main pegang-pegang ni memang
kepantangannya. Kakinya betul-betul terasa mahu menyepak kali ini.
Papp!
Tanpa sebarang amaran
kaki Karl terus disepak kuat oleh Arya dengan senang hatinya. Zarran masih
menahan perutnya yang senak akibat disiku tadi. Sekarang giliran manusia yang
dibencinya pula dikasari oleh Arya. Ambik kau! Karl terus terduduk kerana tidak
dapat menahan sakit akibat ditendang kuat pada keting kakinya.Dalam keadaan
sakit Zarran sempat lagi gelak manusia yang sedang terduduk di atas jalan itu.
“Aku tak suka kau main
suka-suka hati pegang tangan aku. Kalau perempuan lain boleh kau main
pegang-pegang tapi bukan aku. Faham!” keras suaranya memberi amaran. Arya jalan
masuk ke dalam rumahnya. Mereka berdua masih berada di hadapan rumah Arya
menahan sakit selepas dikejami.
Karl tutup mata sambil
menahan sakit pada kaki yag disepak tadi. Sakitnya bukan kepalang. Zarran
berjalan mendekati Karl yang masih terduduk pada jalan itu. Tujuannya bukan apa
kalau bukan mahu mencari pasal. Dalam sakit-sakit dia masih lagi mahu mencari
pasal.
“Seronokkan kena
sepak.” perli Zarran suka hati.
Berangin saja Karl mendengarnya.
Zarran terus duduk di sebelah Karl. Kemudian dia toleh sedikit pada manusia
yang tidak berminat langsung mahu bercakap dengannya. Kata gaduh. Kalau gaduh
mana boleh duduk dekat-dekat.
Di dalam rumah Ryan
berdiri menghalang laluan anaknya daripada masuk. Terus dia piat telinga Arya
geram.
“Ayah sakit sakit...”
Arya terjerit-jerit kerana telinga masih dipiat oleh ayahnya. Arya pegang
tangan ayahnya untuk melepaskan telinganya dari terus disakiti.
“Ini untuk anak yang
degil macam awak ni. Yang awak mandai-mandai halau budak tu ke luar apa pasal.
Siapa bagi kebenaran!” Dalam geramnya yang tertahan-tahan dia tambah lagi
kekuatan piatan pada telinga anaknya itu. Arya makin terjerit sakit. Apalah
salah dia kali ini dan ayahnya pula tidak sudah-sudah mencari salahnya.
Dengan segala kekuatan
Arya tarik tangan ayahnya kuat. Telinga berjaya dilepaskan daripada terus
disakiti. Arya pegang telinga yang sudah kemerahan akibat dipiat tadi. Arya
ketap gigi mencerlung geram pada ayahnya. Kemudian Ryan leku kepala Arya geram.
Arya sudah semestinya
terjerit.Karl dan Zarran yang berada di luar memandang ke arah rumah di hadapan
mereka. Kalau tidak salah bunyi itu datang dari rumah di hadapan mereka ini.
“Apahal tu!” Karl toleh
pada Zarran di sebelah. Zarran tidak cakap apa-apa melainkan terus berjalan
masuk ke dalam rumah Arya. Dari belakang Karl membuntuti Zarran dari belakang.
Ketika kaki masuk saja ke dalam rumah itu Arya sedang melarikan diri daripada
kena cubit oleh ayahnya.
Hanya meja pada ruang
tamu saja yang memisahkan antara mereka berdua. Ryan bercekak pinggang marah.
Zarran garu kepala. Tidak sudah-sudah lagikah anak-beranak ini bergaduh sejak
tadi? Rambut Arya nampak berserabut mungkin baru lepas ditarik oleh ayahnya.
“Baik awak berhenti
dekat situ. Kalau tak ayah tarik-tarik lagi rambut awak karang!” Ryan memberi
amaran pada Arya yang masih mahu melarikan diri. Mereka berdua jadi penonton.
Ryan nekad terus melangkah meja kaca paras lututnya. Arya terundur ke belakang
kerana tidak percaya ayahnya sanggup langkah meja kaca itu semata-mata mahu
bergaduh dengannya lagi.
Arya nampak Zarran di
muka pintu terus dia berlari ke arahnya untuk meminta bantuan. Dia menyorok
belakang Zarran dan waktu itu Ryan datang ke arah mereka.
“Zarran baik kamu ke
tepi jangan masuk campur urusan pak cik. Arya ke sini kamu ayah belum puas buat
perhitungan dengan kamu.” Ryan tolak Zarran ke tepi tetapi Arya masih cuba
mengelak. Arya dan Zarran sama-sama terundur ke tepi pintu dengan Arya masih
berlindung di belakang Zarran.
Karl masih tercegat
pada muka pintu. Dia nampak kurang percaya melihat ayah dan anak sedang
bergaduh di hadapan matanya. Ryan pandang pada Karl yang nampak tidak percaya
dengan situasi yang sedang berlaku.
Karl menghampiri mereka
yang sedang bertekak sambil berjalan terhincut-hincut. Kakinya masih sakit
untuk melangkah tetapi dia gagahkan juga untuk masuk campur. Sebab kehadirannya
di sana menjadi punca mereka anak-beranak bergaduh. Kesian pula dia lihat Arya
yang terjerit-jerit meminta tolong pada Zarran.
“Pak cik jangan
marah-marah. Apa-apa pun kita boleh bawa berbincang. Kesian anak pak cik tu.”
Kemudian Karl pandang Arya yang masih menyorok di belakang Zarran.
“Bukan kamu dah balik
ke tadi?” Ryan terus berhenti daripada mencari gaduh dengan anaknya itu. Dia
tidak meyangka budak lelaki itu masih belum pulang lagi.Ryan pandang Arya yang
buat senyum mengejek di tepi Zarran. Karl tersenyum. Apa lagi dia boleh cakap.
“Zarran kamu ke tepi!”
Ryan tarik Zarran dan Arya apa lagi dia pun pegang kuat baju Zarran dari
belakang. Ryan masih mahu bergaduh lagi. Karl pula tarik ayah Arya ke belakang
cuba menghalang. Ryan nampak bengang. Terus dia tolak kuat manusia yang
menariknya itu ke tepi dinding.
Dushh!
Bunyi tolakkan itu kuat
sangat. Mereka semua berhenti daripada membuat aksi tarik-menarik.
Masing-masing buat muka terperanjat. Rupa-rupanya Ryan telah menolak Karl pada
dinding dengan kuat sekali sehingga kepalanya terhantuk. Karl pegang kepalanya
kerana rasa sakit sangat. Kepalanya terasa seperti mahu pecah dan waktu itu
burung-burung kecil sudah berterbangan mengelilingi kepalanya. Karl terus rebah
ke lantai. Ah, sudah...
Pengawal di pintu pagar
semua diarahkan berjumpa Madam Narsya pada malam itu. Salah seorang pembantu
datang mendekati Madam Narsya. Tiada seulas senyumanpun terpamir pada pada
wajah itu.
“Madam mereka semua
sudah ada di luar.” Terus Madam Narsya berjalan ke luar dari rumahnya dengan
muka geram. Mereka semua menundukkan kepala ketika wanita itu datang
menghampiri mereka. Tiada siapa yang berani bertentangan mata dengan wanita
itu.
Dia berpeluk tubuh
sambil mencari udara untuk bernafas. Hati siapa tidak geram kalau apa yang dia
cuba buat sudah terbengkalai. Ini semua gara-gara mereka yang tidak peka dengan
arahannya. Majlis yang dirancang kononnya akan berjalan dengan lancar sudah
terbatal akibat kelekaan mereka semua.
“Macam mana anak saya boleh
lepas ke luar dari sini! Siapa bagi arahan supaya bagi dia ke luar? Cakap!” tempik
Madam Narsya marah.
Mereka hanya diam
membisu tidak mampu menuduh antara satu sama lain. Antara mereka yang
mengetahui hanya berdiam diri.
“Saya tanya kenapa tak
ada yang nak jawab pertanyaan saya ni! Saya cakap dengan orang bisu ke
sekarang!” Amarah Madam Narsya kian meledak apabila tiada seorangpun yang mampu
menjawab pertanyaannya. Gaya seperti dia sedang bercakap dengan tunggul kayu
saja.
Suaminya yang baru tiba
di sana terus mendatangi Madam Narsya yang nampak bengang ketika itu. Dia yang
baru mendapat tahu berita tentang anaknya menghilangkan diri dari isterinya
terus bergegas pulang ke rumah.
“Awak semua boleh
beredar.” Tuan Andy terus mengarahkan pengawal-pengawal itu pergi.
“Sayang awak bersabarlah ya.
Lain kali jangan buat keputusan sesuka hati. Tengok Jhoon dah berjauh hati
dengan awak. Saya pun tak salahkan Jhoon kalau dia larikan diri.” Dari awal
sebenarnya dia sudah berpakat dengan mereka semua supaya jangan menghalang
laluan anaknya itu untuk ke luar dari sana.
Dia sudah dapat
mengagak tentang tindakkan yang bakal anak lelaki bongsunya itu ambil. Tuan
Andy geleng kepala dengan sikap isterinya. Sudah tahu anak yang seorang itu
keras kepala tetapi dia masih mahu mendesak lagi. Sekarang terimalah akibatnya.
“Awak senanglah cakap
macam itu sebab yang malunya saya.”
Madam Narsya tarik
muka. Bukan hendak menyenangkan hatinya tetapi dia balik dipersalahkan oleh
suaminya semula. Salahkah dia untuk melihat anaknya bahagia bersama menantu
pilihan hatinya. Madam Narsya tahu yang Tuan Andy dari awal memang membangkang
rancangannya.
“Sekarang puaslah hati
awak sebab apa yang saya rancangkan tak jadi. Anak dengan bapak sama saja.”
Madam Narsya mengerling tajam sebelum beredar masuk ke rumah. Kalau dia
berterusan bertegang urat dengan suaminya memang tiada kesudahan. Balik-balik
dia yang akan dipersalahkan nanti.
No comments:
Post a Comment