Wednesday, 11 February 2015

Black' Smith: Let Us Just Love _Part 5




Bab 4


Pagi-pagi lagi bunyi bising dari arah luar rumah sangat mengganggu tidur Arya. Sarra usah katalah dia kalau dapat tidur susah hendah bangun. Kalau gempa bumi berlaku belum tentu dia terjaga daripada tidur. Silap hari bulan dia yang jadi mangsa gempa bumi yang tersenarai sebagai mangsa hilang di dalam akhbar. Susah kalau dapat kawan orang yang tidur mati ini. Mahu atau tidak dia gagahkan juga badan yang keletihan itu. Ikutkan hati malas dia mahu melayan apa yang sedang berlaku di luar rumahnya.
Pintu rumah bertalu-talu diketuk kuat dari arah luar. Ketukkan itu bersilang dengan suara daripada seseorang memanggildari luar rumah. Terus dia bergegas ke luar rumah dengan segera.
“Apa pulak tu. Nak runtuh pintu rumah aku dia ketuk. Gila apa pagi-pagi buta ketuk rumah orang macam tak ingat.” Bengang pula rasa hati dengan ketukkan pintu tanpa henti itu.
Kalau jiran tetangganya mendengar orang mengetuk pintu rumahnya dengan kerap pasti mereka akan mengambil tahu. Sudahlah keluarganya dicap sebagai keluarga paling tidak bermoral oleh sebilangan jiran kerana sikap ayahnya yang suka bertaruh judi. Arya berjalan cepat sambil membetulkan rambutnya yang sudah mengerbang. Kalau jenis tidur lasak susah hendak cakap.
“Cepat sikit bukak pintu ni.” Orang di luar sudah entah berapa kali bersuara. Arya membuka pintu sambil memisat-misat mata yang masih bersisa mengantuk. Mana tidak mengantuknya kalau balik rumah pada subuh hari. Ini semua dia punya rancangan gara-gara mahu berjumpa artis berkumpulan itu. Baru beberapa jam dapat tidur tetapi sudah diganggu. Matanya dibuka sedikit memandang orang di luar rumah.
Orang yang berada dihadapannya itu bukan seorang tapi hampir sepuluh orang berpakaian seperti pengawal peribadi. Segak tidak kena tempat. Arya angkat tangan menyapa mereka seolah-olah mereka kenalan rapat pada hal itu kali pertama mereka bersua.
“Ya encik nak apa? Maaflah saya tak layan orang jual barang ni. Lagipun saya tak ada duit. Baik awak semua pergi. Bye.” Terus saja tangannya menutup semula muka pintu rumah disebabkan dia malas hendak melayan. Kalau dia layan nanti sudah pasti duit dia kopak. 
Lelaki yang berkaca mata hitam ala pengawal peribadi itu masih dengan muka ketatnya walaupun sedikit terkejut kerana disalah sangka identitinya. Pintu rumah yang hampir tertutup dapat ditahan oleh tangan lelaki itu. Terus pintu itu terbuka semula. Arya naik pelik. Dia garu kepala yang tidak gatal. Kenapa dengan dia orang ni?
“Saya dah cakap saya tak mahu beli barang yang awak jual lagipun saya tak ada duit. Tak faham bahasa ke encik berkaca mata...” Pagi-pagi hari sudah ada yang mencari pasal. Dia menahan geram kerana lelaki itu seolah-olah tidak faham bahasa. Orang tak mahu beli barang dia boleh main paksa-paksa pulak!
“Cik jangan nak main-main. Kami daripada pihak bank mahu sita rumah cik kerana ayah cik tak mampu bayar duit cagaran rumah ini daripada pihak bank. Ini suratnya.” Surat kuat kuasa untuk menyita rumah diserahkan oleh lelaki itu. Dengan segera Arya membaca surat itu. Mana tahu kalau-kalau lelaki itu cuba menipu.
Mahu terbeliak mata Arya dengan isi kandungan surat itu setelah surat dibaca. Sejak bila pula ayahnya mencagarkan rumah mereka ini kepada pihak bank? Kepalanya hampir berangin kerana terkejut dengan apa yang telah dibacanya tadi. Dipandangnya semula lelaki berkaca mata hitam.
“Pihak encik sepatutnya beri notis kepada kami. Kenapa saya tak terima sebarang surat sebelum encik nak buat kerja-kerja menyita rumah saya.” Sebolehnya dia cuba mempertikaikan kehadiran mengejut mereka semua. Siapa-siapapun pasti akan mengatakan perkara yang sama. Tahu-tahu saja rumah dia akan disita, siapa tidak terkejut. Rumah yang selama ini menjadi tempatnya berteduh bakal disita tanpa sebarangan amaran terlebih awal. Nak saja Arya mengamuk dengan orang di hadapannya ini. Ingat dia bodoh ingin percaya bulat-bulat kata lelaki itu. Boleh jadi lelaki ini perempok yang menyamar menjadi pihak bank.
“Notis amaran hampir seminggu kami keluarkan. Dan setahu saya ayah cik yang terima surat itu minggu lepas waktu saya diarahan datang memberi notis pemberitahuan.” jelas lelaki itu menguraikan salah faham tuan rumah. Tidak dijelaskan nanti dia balik kena hamun percuma.
Selalu sangat dia berhadapan dengan kes sebegini, lebih-lebih lagi kes gadis di hadapannya ini. Reaksi terperanjatnya itu dia boleh agak bahawa gadis ini langsung tidak tahu- menahu soal rumahnya telah dicagarkan. Dalam hal ini dia tidak dapat membantu apa-apa kerana dia hanya menjalankan tugas yang telah diarahkan oleh pihak atasannya.
Bulat matanya mendengar penjelasan itu. Macam mana dia tidak terkejut kalau lelaki itu cakap surat itu diserahkan pada ayahnya.
Bukan dia tidak faham perangai ayahnya itu. Kalau berhutang semuanya mahu melibatkan dirinya. Patutlah abangnya tidak mahu tinggal bersama mereka lagi. Apalah hendak jadi kali ini. Lelaki di hadapannya itu hanya mahu menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh pihak bank. Yang bersalah sekarang ialah ayahnya. Sekarang dia pula mahu tanggung kesalahan yang bukan dia buat.
“Kamu semua cepat jalankan tugas.” Arahan sudah dikeluarkan daripada ketua mereka yang berkaca mata hitam.Arya masih tercegat pada muka pintu masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Bingung itu gambaran terbaik untuk dirinya sekarang.
Mereka yang lain terus merempuh masuk ke dalam rumah untuk melakukan kerja-kerja menyita. Arya tertolak ke tepi pintu ketika mereka semua masuk ke dalam rumah walaupun tanpa kebenarannya. Macam mana dia hendak menghalang kalau surat kuasa itu sudah membuktikan segalanya. Hendak kata mereka menipu dia sendiri tidak mampu lagi untuk bersuara. Dia pandang saja mereka menyita satu-persatu barang di dalam rumahnya di sita. Dia sudah naik pening.
Bila pulak bapak aku dapat geran rumah tu? Sedangkan geran itu dalam simpanan aku. Bingung bercampur serabut fikirannya. Dia cuba mengingat kembali di mana dia meletakkan geran rumah mereka.
Arya tutup mata sambil mengetuk dahinya yang berkerut seribu. Baru dia teringat di mana tempat geran rumah itu disimpan. Patutlah ayahnya mampu jumpa geran itu. Ini memang salah dia sendiri tetapi dia tidak menyangka ayahnya akan sanggup melakukan tindakkan sebegitu.
Siapa lagi dia mahu salahkan kalau kecuaian itu datang daripada dirinya sendiri. Kalaulah dia terfikir dari awal bahawa ayahnya akan bertindak sampai begitu sekali pasti dia akan jauh lebih berhati-hati. Sesal sudah tidak berguna.
Arya sudah terduduk di hadapan muka pintu akibat terkejut. Apalah bala yang menimpa dia lepas satu datang, datang pula yang lain tidak sudah-sudah.
Sarra yang baru tersedar daripada tidur menjerit dari dalam bilik kerana didatangi oleh beberapa orang lelaki yang masuk ke dalam bilik Arya sambil melekatkan kertas-kertaskecil berwarna merah. Dia yang agak terkejut terus memukul mereka yang disangka ingin mengapa-ngapakan dirinya.
Hampir tercampak tiga orang lelaki tadi ke luar dari bilik Arya. Waktu itu mereka yang sedang melakukan kerja-kerja menyita di bahagian ruang tamu terkejut melihat kawan sekerja mereka sekali tiga orang tergolek di hadapan lantai rumah itu.
Salah satu kaki Sarra masih terangkat ke atas setelah menyepak ketiga mereka dengan sekali libasan terbangnya.Mereka betul-betul tidak menjangkakan akan disepak sebegitu rupa. Mereka bertiga mula bangun dengan perasaan gerun melihat Sarra yang mula ke luar dari dalam bilik dengan muka bengisnya.
“Kau orang ni siapa hahhh!!!” Sarra merenggut kolar baju salah seorang lelaki yang masih dalam kesakitan kerana ditendang tadi. Matanya melilau mencari Arya yang masih tidak dapat dijejaki dari tadi.
“Mana kawan aku? Kau orang buat apa dekat dia?” Sarra menjerit marah sambil berjalan terhincut-hincut mengheret salah seorang daripada mereka ke ruang tamu rumah rakannya. Arya yang masih terduduk di muka pintu terus dipandangnya.
“Sarra lepaskan dia. Dia tak salahpun. Dia orang ni pegawai yang kena hantar untuk menyita rumah aku. Ni surat kuat kuasa tu.” Surat itu terus dirampas oleh Sarra yang masih was-was dengan apa yang Arya katakan. Tangannya masih memegang kuat kolar baju lelaki yang dikejaminya tadi.
“Cik tak boleh buat macam ini. Cik boleh kena saman kerana menghalang pegawai kami melakukan kerja-kerja menyita.” Lelaki yang berkaca mata cuba mengingatkan Sarra yang bertindak kasar atas pegawai-pegawainya.
“Memang patut pun saya belasah mereka. Masuk bilik orang tengah tidur siapa yang tak terkejut. Saya boleh saman awak semua tahu!” Sarra betul-betul marah kerana diancam dengan ugutan daripada lelaki yang berkaca mata itu. Dia fikir Sarra hairan sangat dengan ugutan itu. Kalau dia kena samanpun bukan dia tidak mampu untuk bayar. Lebih dari itu pun dia mampu.
“Kau tak pernah cagarkan rumah ni kan Al?” Mendadak suaranya naik seperti kurang percaya dengan kawan baiknya sendiri. Arya menggeleng kepala dengan pertanyaan Sarra. Arya duduk termenung pada tepi muka pintu.
“Siapa pulak cagarkan rumah ni Al?” Sarra terus melepaskan lelaki yang hampir hendak dibelasahnya sekali lagi. Nampak keluhan besar yang dilepaskan oleh Arya ketika menghadap pintu rumahnya itu.
“Bapak aku siapa lagi kalau bukan dia.” Arya tutup mata menahan rasa geram menyebut siapa punya angkara rumah yang didiaminya kena sita. Kalau ikutkan hati yang geram itu mahu saja dia menangis tetapi itu tidak menyelesaikan masalah.
“Apa!!!” Sekali lagi Sarra terkejut dengan apa yang didengari olehnya. Kalau Sarra boleh terkejut macam itu,inikan pula Arya apatah lagi terkejut dengan apa yang berlaku. Cakap sekarang sudah tidak berguna.
Pegawai-pegawai yang menjalankan kerja-kerja menyita meneruskan kerja mereka setelah Arya memberitahu Sarra hal yang sebenar.
“Kalau sita barang maksudnya semua barang kawan saya tak boleh ambiklah nampaknya?” Sarra mengajukan soalan kepada salah seorang daripada mereka yang sudah selesai menjalankan tugasannya.
“Setakat barang keperluan asas kami tidak sita. Cik boleh ambil.” Sarra mengangguk faham. Tidak sampai setengah jam kerja-kerja menyita rumahnya sudah siap dilakukan.
“Geram betullah aku Al. Kalau aku jumpa pak cik siaplah dia. Sampai hati dia buat kau macam ni. Kalaulahabang kau ada mesti dia lagi marahkan?” Sarra terus mengomel sehendaknya marah dengan sikap ayah Arya sambil membawa ke luar barang-barang Arya untuk berpindah ke rumahnya buat sementara waktu.
Dari jauh seseorang sedang memerhatikan gerak-geri mereka berdua yang sedang memunggah barang-barang masuk ke dalam kereta. Dia meraup wajah tuanya. Mungkin menyesal dengan apa yang telah dia lakukan.
“Al ayah minta maaf. Kalau ayah tak buat silap macam ini pasti kamu tidak susah macam sekarang.” Dia menahan diri daripada menangis. Dia terus memerhati dengan hati yang agak sedih.
Sejak dari dulu lagi Arya kerap menasihatinya agar tidak berhutang terutama dalam soal perniagaan yang dijalankan olehnya. Atas kedegilannya dia buat tidak endah dengan nasihat anak perempuannya itu. Anak lelakinya pula tidak mahu tinggal sebumbung dengannya kerana bengang dengan sikap ayahnya yang suka berhutang keliling pinggang.
Tinggal Arya yang masih bertahan dengan sikapnya. Kalau boleh Arya juga mahu melarikan diri sejak dulu lagi daripada terus tinggal bersama-sama ayahnya itu. Jiran tetangga juga sudah lama memandang serong dengan mereka yang sering didatangi oleh pemungut hutang tidak kira masa.
Ketika Sarra memunggah barang terakhir ke dalam keretanya dia dapat merasakan seseorang sedang memerhatikan gerak-gerinya. Cermin sisi keretanya dipandang konon mahu membetulkan rambutnya yang sedikit terurai daripada ikatan.
Dia sudah dapat mengagak siapa gerangan yang memerhatikan dirinya sejak tadi. Ayah Arya masih leka memerhati mereka berdua yang sudah masuk ke dalam kereta yang mula bergerak. Cepat-cepat dia menutup mukanya dengan surat khabar yang berada di tangannya waktu itu.
Ketika kereta itu melintasi hadapannya kereta itu berhenti betul-betul di hadapannya. Dia sudah terkejut melihat wajah geram Arya yang memandang dirinya seperti mahu menelannya. Hendak melarikan diri dia bagai tidak berdaya.Seolah-olah kakinya tergam kuat dengan tikaman mata anaknya itu. Dia tahu kalau Arya naik marah sangat menakutkan. Tingkap kereta bahagian pemandu terbuka luas. Mata mereka sudah bertembung.
“Sampai hati ayah buat saya macam ni kan! Ayah saya jadi tak pasti samada ayah ini ayah kandung saya atau tidak. Seorang ayah tak akan buat anak dia sampai jadi macam ini. Ayah sedar tak apa yang ayah dah buat sekarang?” Arya bercakap dengan geramnya. Ikutkan hati mahu saja dia ke luar dari kereta dan memukul-mukul ayahnya itu.
Ryan agak terkedu dengan kata-kata Arya yang menyatakan samada dia ini benar-benar ayahnya atau tidak. Mata Arya kemerahan menahan diri daripada menangis. Dia tidak mahu menjadi selemah-lemah manusia di depan ayahnya itu.
Enjin kereta terus dihidupkan. Sarra di sebelah hanya berdiam diri. Kalau kemarahan itu melibatkan ayah Arya dia sendiri tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Bagi Sarra Arya sangat menakutkan ketika berdiam diri jika tengah marah. Lebih baik jangan bertanya kalau tidak mahu mendapat masalah. Kereta terus dipandu laju meninggalkan kawasan perumahan itu. Ayah Arya masih tercegat di tempat tadi ketika dimarahi oleh anaknya. Dia tahu dia memang bersalah.

No comments:

Post a Comment