Bab 19
Beberapa hari dia duduk
di rumah tanpa berbuat apa-apa. Kereta milik Karl masih berada di garaj
rumahnya. Nasib ayahnya tidak menggunakan garaj kereta tapi hanya memarkingkan
kereta di hadapan rumah mereka saja. Dua hari lepas dia baru pulang dari
percutian di kampung Zarran terserempak dengan ayahnya di simpang masuk ke
kawasan perumahan ketika dia berjalan pulang dari rumah Zarran pagi itu.
Cermin kereta bahagian
penumpang ayahnya buka untuk memanggil Arya masuk. Ke mana pula pada awal pagi
begini ayahnya baru pulang ke rumah. Curiga pula Arya dibuatnya. Sejak
belakangan ini ayahnya sering pulang lewat. Ke manakah dia pergi? Batang hidung
abangnya juga langsung dia tidak nampak ketika mereka masuk ke dalam rumah.
Ayah dan abangnya
mereka berdua langsung tidak menghubunginya ketika dia pergi bercuti dengan
teman-temannya di kampung Zarran. Tidak bimbangkah mereka terhadap dirinya?
Bukan dia tidak cuba menghubungi mereka berdua untuk memaklumkan yang dia tidak
berada di rumah selama seminggu. Mesej yang dihantar tidak berbalas.
Ayahnya terus ke dapur
untuk membuat sarapan pagi. Inilah kebiasaan yang sering ayahnya lakukan jika
berada di rumah pada pagi hari. Wajah keletihan sangat jelas pada muka ayahnya.
Setahu Arya ayahnya bekerja sendiri tapi kenapa dia harus pulang pada awal
pagi. Arya berjalan ke dapur.
Rindu pula dia ingin
bergaduh dengan ayahnya. Hampir seminggu mereka tidak ketemu tidak rindukah
ayahnya untuk bergaduh dengannya? Ayahnya masih tekun membancuh telur dalam
sebuah mangkuk. Mungkin dia ingin buat roti telur. Laju saja tangannya membuat
kerja di dapur.
Kalau sudah terbiasa
membuat kerja-kerja memasak apa saja yang dilakukan akan menjadi cepat. Cemburu
pula Arya pada kecekapan cara memasak ayahnya itu. Setelah kematian ibunya
beberapa tahun lepas akibat barah otak bapanyalah yang bertungkus-lumus
menyediakan segala keperluan mereka adik-beradik.
Sikap panas baran
ayahnya sejak kematian ibunya makin menjadi-menjadi. Arya yang sering membuat
hal di sekolah membuatkan dia bertambah angin dengan anak perempuannya yang
seorang ini. Ada saja jalannya mahu mencari kemarahan bapanya itu. Bukan dia
sengaja lakukan jika perkara itu memang di luar kawalannya.
“Apa tercegat lagi tu.
Tolong tuangkan air dalam cawan.” Cawan yang baru diletakkan di atas meja dapur
itu Ryan hulurkan pada Arya. Dia sedar sejak tadi Arya asyik memerhatikan dia
membuat kerja di dapur. Apalah yang dia minat sangat memerhatinya membuat
kerja. Tolong tak apalah sikit.
Arya ikutkan saja
suruhan ayahnya itu tanpa banyak soal. Cawan itu dia bawa ke meja makan lalu
dia tuangkan air jus oren dalam cawan itu. Sarapan pagi tidak sah jika tidak
minum jus oren. Bagaikan suatu kemestian air itu harus dihidangkan.
Roti yang dicelup
bersama telur tadi Ryan masukkan ke dalam kuali tanpa minyak. Arya dari tempat
duduknya pandang saja ayahnya membuat kerja. Ikutkan dia sedang menunggu
pertanyaan ayahnya tentang ke mana dia pergi selama seminggu ini. Lama dia
menunggu ayahnya untuk bertanya tapi masih tiada tindak balas.
Kenapa pulak dengan
ayah aku ni? Senyap aje. Ni buat aku jadi bertambah bimbang. Senyap-senyap
macam inilah buat dia sedikit gentar dengan perangai ayahnya itu. Bayangkan
selama ini dia terlewat dua jam pulang ke rumah dari waktu biasa. Ayahnya orang
pertama yang akan menunggunya di hadapan pintu rumah sambil bersela.
Macam dia sudah buat
salah terbesar pada ayahnya itu. Gayanya lagak orang pergi bertapa di gunung
memeranjatkan Arya yang baru pulang. Selepas itu dia dimarahi kaw-kaw oleh ayahnya.
Macam mana ayahnya
tidak risau jika anak perempuannya berjanji pulang awal akan makan petang
bersamanya tetapi pulang lewat sampai terlajak ke malam hari. Ayah mana yang
tidak bimbang lebih-lebih lagi jika dia seorang perempuan. Apa saja yang
terjadi terhadapnya pasti akan membuatkan hatinya risau.
Roti goreng telur siap
terhidang di hadapan mata. Sebelum dia ke luar dari rumah Zarran tadi ikutkan
dia sudah makan sarapan yang mama Zarran siapkan untuk mereka bertiga. Alang-alang
ayahnya membuat makanan kegemarannya dia tidak menolak rezeki di hadapan mata.
Lihat saja tekstur dan
aroma roti telur itu cukup buat dia jadi bertambah terliur. Arya ambil sekeping
roti telur dan dicecah dengan sos cilli. Pehh memang terangkat rasanya. Skill
masakan ayahnya memang tiada tandingan dan tidak boleh disangkal lagi. Arya
makan dengan lahapnya tanpa ambil peduli soal pertanyaan yang dinantikan sejak
tadi.
Pintu rumahnya diketuk
dari luar dan seseorang masuk ke dalam. Ryan memanjangkan kepalanya melihat
siapa gerangan yang masuk ke dalam rumahnya pada pagi itu. Erean berjalan
sambil menyapa mereka di dapur. Abang Arya, Erean juga baru pulang ke rumah
pagi ini.
Ke mana pula dia pergi
dan baru pagi ini dia pulang ke rumah? Wajah keletihan abangnya Arya pandang
ketika sedang menjamah roti yang masih dikunyah dalam mulutnya. Ayah dan
abangnya sama-sama keletihan. Apa mereka buat sampai muka nampak letih semacam?
“Ehmm....” Arya
berdehem ingin mencuri perhatian daripada dua orang lelaki di dapur itu. Abang
dan ayahnya sama saja. Dua-dua buat dia macam tak wujud. Dia orang ni kenapa
macam tak ada mood.
“Ayah dengan abang baru
balik dari mana?” soal Arya memecahkan suasana sunyi sejak tadi. Abangnya
pandang sebentar kemudian dia sambung makan semula dan begitu juga ayahnya.
Soalannya tidak mendapat sambutan baik dalam kalangan mereka berdua.
Patutkah dia rasa sakit
hati kerana tidak dilayan? Ada ayah dan abang tapi buat dirinya macam tak
wujud. Mungkin soalan dia tadi umpama bisikan angin secara tiba-tiba. Sebab itu
mereka pandang hanya sebentar pada Arya tanpa menjawab pertanyaannya. Tak patut
betul!
Keadaan sunyi masih
menguasai mood sarapan pagi mereka. Ayah dan abangnya mereka berdua nampak
tidak berminat untuk bercakap. Rasanya waktu itu hanya Arya seorang saja yang
mempunyai mulut untuk berbicara. Tidak seperti kebiasaan, ayahnya orang pertama
dahulu akan mula bercakap. Sekarang apa cerita ni.
“Abang dengan ayah ada
masalah ke?” tanya Arya lagi. Kalau soalan kali ini tidak berjawab juga memang
antara mereka ada sesuaatu yang cuba mereka sorokkan kepadanya. Arya pasti
sangat. Dia bukan kenal mereka berdua sehari dua tapi hampir 18 tahun mereka
tinggal bersama sebagai keluarga.
Mana mungkin dia tidak
faham dengan perangai mereka berdua ini. Seorang abang dan seorang lagi ayah
kepadanya. Kerana ikatan hubungan kekeluargaan itulah punca dia jadi terlalu
faham sangat dengan sikap mereka berdua.
Masih macam tadi mereka berdua memandang sebentar dan buat tidak endah
dengan pertanyaannya.
Agak-agaknya siapa yang
sedang bertanya soalan kepada mereka ini. Dia ini hantukah sampai dilihat tidak
wujud dalam pertanyaannya kepada mereka sejak tadi? Arya jadi semacam ragu.
Mana pernah mereka berperangai pelik begini. Cukuplah sekadar orang yang sedang
terlintas dalam fikirannya sekarang berperangai pelik.
Wajah yang muncul dalam
fikirannya cepat-cepat ditepis macam halau nyamuk pergi. Arya menghenus
nafasnya ke luar dengan kuat. Marahlah tu.
“Ok kalau taknak jawab.
Seminggu ni Al pergi bercuti dengan keluarga Zarran dan antara kamu berdua
tiada seorangpun yang bimbang tentang saya. Saya tak kisahpun. Ada abang dengan
ayah buat kita ni macam tak wujud. Ok bye!” Arya atur langkah beredar sambil
bawa sekeping lagi roti telur. Hati siapa tidak sakit kalau tidak dipedulikan.
Marah tak kena nak
sakit hatipun tak kena. Sebabnya soalan dia tadi langsung tidak berjawab. Arya
hayun kaki melangkah naik ke atas. Penat badannya bukan main lagi.
Mama Zarran memandu van
pada awal pagi kerana dia risau berlaku kesesakkan di lebuh raya. Pada cuti
semester begini tidak sah jika laluan di lebuh raya sesak teruk. Pengalaman
yang mengajar agar bertindak bijak mengawal situasi dan bukan situasi yang mengawal
kita.
Di bilik Arya
menghenyakkan badannya pada tilam di atas katil. Hampir lenguh satu badan
kerana tidak mendapat tidur yang cukup. Bangun pula pada awal pagi buatkan
matanya mula terkulai layu. Arya tidak fikir apa lagi melainkan matanya hampir
berat dek kerana mengantuk yang menguasai dirinya.
No comments:
Post a Comment