Bab 9
Sepuluh tahun ke
belakang...
Musim bunga dikatakan
musim mengenali cinta. Benarkah penyataan ini? Penyataan ini hanya untuk mereka
yang baru mahu mengenal cinta kerana pada musim itu bunga sakura mula
berguguran ditiup angin ketika ia sedang mekar berkembang. Kisah dongeng orang
tua-tua ada menyebut siapa-siapa saja jatuh cinta di kala kelopak bunga sakura
berguguran pada musim bunga itu maka cintanya akan termakbul dan berkekalan.
Tetapi sejauh manakah kebenaran itu?
Pagi itu agak dingin
kerana hujan di awal hari. Ikutkan hati yang malas itu malas dia mahu pergi ke
sekolah. Kalau dia pergi sekalipun bukan dia faham apa yang diajarkan oleh guru
di kelas. Betul-betul buang masa mengajar orang macam aku ni.
Nasib Erean perasan
adiknya yang pemalas itu masih bergulung di dalam selimut. Kalau tidak jadi
sambungan cuti hujung minggulah jawabnya. Lambat-lambat dia berjalan ke sekolah
yang hampir nampak pada pandangan matanya. Itupun dia masih lagi terasa
perjalanannya masih jauh ke sekolah.
“Kenapa aku mesti pergi
sekolah? Tidurkan lagi baik. Ini semua abang Erean punya pasal.” Arya Juniel
mengomel sehendaknya. Jam sudah hampir menunjukkan pukul 08:15 pagi tetapi Arya
masih tidak sampai ke sekolah.
Beberapa orang pengawas
yang bertugas menjaga pintu pagar sekolah sehingga pukul 08:30 pagi masih setia
menuggu mangsa mereka. Dalam masa yang sama masih ramai lagi pelajar yang
datang lewat pada pagi itu. Akibatnya masing-masing kena rotan dengan guru disiplin
yang berada di sana.
Arya melompat-lompat
seperti bermain teng-teng mengelak lopak air yang banyak di tepi jalan yang
agak berlubang itu. Jalan yang saban hari makin berlubang masih belum berturap
oleh pihak yang terbabit. Gaji nak tapi buat kerja sambil lewa.Mahu tunggu ada kemalangan
jalan rayakah baru hendak diturap? Itupun belum pasti lagi. Tunggu jadi seperti
kawah bulan sehingga masuk berita utama baru terhegeh-hegeh mahu buat kerja.
Seperti hari-hari biasa
laluan rahsia yang sering dilalui oleh pelajar bermasalah sekolah menjadi
laluan rasmi Arya. Kalau sudah lambat kenalah buat cara bijak untuk mengelak
daripada kena marah oleh ahli badan pengawas. Mereka memang kenal sangat dengan
Arya. Kalau dia seorang penjenayah pasti wajah dia yang paling dikehendaki
pihak polis. Begitu juga badan pengawas sekolah yang mengcap Arya sebagai
manusia paling bermasalah di sekolah. Bermasalah dari sudut datang lambat ke
sekolah hampir tiap-tiap hari walaupun sudah diberi amaran.
“Aku bosanlah tengok
muka minah seorang tu aje yang datang lewat. Tapi lately ni tak nampak pulak
batang hidung dia.” Pengawas lelaki tadi merungut pada kawan di sebelahnya
ketika dia sedang mengambil nama pelajar datang lewat ke sekolah. Diapun tidak
tahu mahu berkata apa lagi.
Sudah terkena sekali
membuatkan Arya serik untuk mengikut laluan utama masuk ke kawasan sekolah.
Beberapa bulan lepas masih segar dalam ingatan dia kena denda paling teruk
sekali.
“Muka yang sama saja
datang lewat. Juniel kalau saya nampak muka awak lagi sekali saya tak akan
teragak-agak untuk panggil ayah awak datang sekolah faham!” Cikgu yang bermisai
tebal sudah menempik. Tunduk saja kepalanya memandang tanah ketika berada di
padang sekolah untuk didenda berlari seratus kali pusingan.
“Cikgu ni bagilah
diskaun sikit. Sekarang bukan musim marathon sekolahpun.” Arya cuba berunding
dengan guru lelaki itu. Kebanyakkan pelajar tidak berani berhadapan dengannya
melainkan beberapa orang pelajar saja. Salah seorangnya Arya yang sedang
berhadapan dengan guru disiplin itu.
Mahu saja dia ketawa
kerana pelajar seperti Arya berani meminta diskaun dengannya. Tak boleh jadi
ni. Aku tahu dia ni berani semacam dengan aku. Kalau budak lain jangan
haraplah.
“Banyak awak punya
diskaun. Dah pergi lari. Kalau awak banyak bunyi saya tambah lagi berapa round
untuk awak. Faham!”Bentak guru itu dengan meninggikan suara kepadanya. Arya
buat muka sebelum memulakan larian. Apalah cikgu ni kedekut tahi hidung
masin!Itupun nak berkira. Dia menoleh sekilas ke arah guru lelaki ketika larian
malasnya bermula.
Apabila terkenangkan
dia didenda dengan teruk Arya jadi serik. Memang dia tidak boleh berjanji untuk
datang awal ke sekolah. Sebab itu kalau boleh dia akan terus mengelak daripada
kena denda seperti zaman-zaman dia kurang akal dahulu.
Bayangkan kalau muka
yang sama sering datang lambat ke sekolah pasti kena denda kaw-kaw punya.
Paling ringanpun cuci tandas dan paling teruk keliling padang seratus kali.
Mati tergolek aku nanti. Walaupun hukuman cuci tandas sangat ringan tapi kalau
dapat bau dia yang tak tahu hendak cakap faham-faham sendirilah.
Kelas menengah atas F-5-11
yang terletak hujung sekali dari kelas yang lain sedang fokus dengan pengajaran
yang sedang berjalan. Ada yang terlalu fokus sehingga tertidur bertutupkan buku
latihan. Zarran sudah merebahkan kepalanya di atas meja. Dia pelajar yang
dikatakan paling bermasalah di kelas mereka. Katanya bermasalah. Apa lagi
masalahnya kalau bukan suka tidur waktu guru sedang mengajar. Orang lain fokus
mendengar penerangan guru di hadapan dia pula buat peta dunia di atas meja.
Guru mana tidak angin dengannya.
Perlahan-lahan cikgu
MinA menghampiri meja anak muridnya itu. Masing-masing menahan tawa yang entah
beberapa saat lagi mahu berderai.
“Zarran sayang
bangunlah. Awak cakap nak jumpa sayakan pagi ni. Bangunlah.” Zarran yang masih
mamai tiba-tiba bertindak memegang tangan guru itu yang disangkakan kekasih
hatinya. Terus dia mengelus-ngelus lembut tangan guru itu lalu dibawa ke tepi
pipinya dalam posisi tidurnya lagi.
“Ya sayang abang datang
ni.” Cikgu MinA berkerut dahi. Hai melebih sudah budak ni. Dia masih
mengusap-ngusap tangan guru itu dengan mata masih tertutup sambil tersenyum.
Dia main-mainkan aku ke apa?
“Tapi sayang kenapa
tangan sayang kasar sangat ni?Sayang lupa letak losyen eh...” Cikgu MinA yang
sudah naik hantu terus memiat telinga Zarran yang dirasakan sengaja memain-mainkan
perasaannya sebagai seorang wanita.
Dia yang bagaikan
tersedar cepat-cepat berdiri menghadap gurunya itu. Ketawa satu kelas sudah
berderai. Mata dibuka perlahan-lahan.
“Owwhhh... mak kau
singa!” Zarran melatah. Makin menyinga guru wanita itu terhadap anak muridnya
yang seorang ini. Cikgu MinA membetulkan letak cermin matanya sambil muka
sengaja dia garangkan walaupun tidak berapa hendak garang.
Siapa yang tidak
mengenali guru wanita itu yang terkenal dengan wajah baby facenya. Sampaikan
pelajar lelaki di sekolah itu ramai yang mahu menguratnya terutama Zarran yang
berada di hadapannya sekarang.
“Siapa singa haaa!!!” Cikgu
MinA betul-betul memekik pada tepi telinga Zarran yang sudah sepenuhnya sedar.
Bagaikan mahu tercabut nyawa dari badan ketika itu. Sekarang dia 100% sedar
yang keterlaluan sampai membuntangkan mata akibat terkejut. Nasib skru
jantungnya masih ketat.
Kalau tak tadi lagi dia
sudah arwah. Dadanya diusap perlahan kerana masih berbekas terkejutnya akibat
kesan tempikkan tadi. Ditolehnya kepala menghadap kekasih hatinya itu.
Gila kejam minah ni!
Aku tahulah kau tu cun janganlah marah aku depan semua budak kelas aku ni.
Malulah sayang... Ditenungnya guru idamannya dengan wajah yang sengaja
dicomelkan. Aku memang comelpun hahaa...
“Cikgu saya minta maaf.
Terlalu fokus tadi sampai tertidur dengar suara cikgu yang merdu tu.” Rakan
sekelasnya sudah terbahak-bahak dengan gurauan pagi entah apa-apa dari ketua
kelas mereka. Bukan mereka tidak tahu sikap Zarran yang suka mengelat kalau
sudah kantoi buat salah.
Sambil itu sempat lagi
dia memisat-misat matanya yang masih mengantuk. Entah kenapa guru muda itu
dapat merasakan debaran semacam melihat gaya Zarran yang terlalu cool itu.
Dilihatnya gaya Zarran itu nampak memancar-mancar seperti dalam bait lirik lagu
‘Gee’ nyanyian kumpulan Girl Generation sambil tersenyum ke arahnya. Dia ni
betul ke budak lagi? Cikgu MinA seperti mempersoalkan usia pelajarnya itu.
“Cikgu nyanyi lagu apa tadi.
Sedap betul saya dengar.” Zarran cuba berseloroh. Guru itu masih setia merenung
pelajarnya itu kerana hatinya sedang berkata-kata. Aku jatuh cintakah?
“Cikgu kenapa pipi
cikgu merah tiba-tiba. Cikgu demam ke?”Pantas tangan Zarran menyentuh dahi guru
itu. Bagaikan tersedar kerana diperlakukan begitu cepat-cepat dia menepis
tangan pelajarnya yang bertindak di luar batasan.
“Banyak awak punya
nyanyi. Kalau tidur lagi... saya denda awak.” Nada guru itu agak tersekat-sekat
bagaikan dilamun cinta dengan anak muridnya yang seorang ini. Kenapa dia tenung
aku macam tu? Comelnya dia... Dia cakap suara aku sedap malunyaaa..... tapi aku
suka.
Arya yang baru sampai
cepat-cepat pergi ke tempat duduknya sambil rakan yang lain cover line waktu
cikgu itu sedang memarahi rakan sekelasnya itu.
“Lambat kau datang?” Jia
bercakap perlahan ke telinga Arya yang hampir dengannya.
“Aku mimpi putera raja
tadi sebab tu lambat bangun.”Selamber saja muka Arya buat lawak bodohnya. Sarra
yang duduk bersebelahan dengan Jia sudah berdekah-dekah ketawa dengan penipuan
Arya. Tahu sangat dia kalau Arya buat alasan semuanya tidak masuk akal. Cerita
saja lebat.
“Banyaklah kau punya
putera raja.” Jia menolak kepala Arya yang dirasakan terlalu over dalam memberi
alasan. Cikgu MinA yang menyedari Arya sudah berada di tempat duduknya mula
memandang pelik ke arah anak muridnya itu.
Bukan kerusi itu kosong
ke tadi? Guru itu nampak ragu-ragu. Arya dipandang pelik. Sempat lagi Arya
menghadiahkan senyuman colget paling menawan buat guru kesayangannya itu.
“Kenapa lambat?” Cikgu
itu sudah bercekak pinggang. Macam-macam hal sudah terjadi di kala kelas pagi
hendak bermula. Guru muda itu hampir hendak pengsan dengan karenah seorang demi
seorang. Semuanya sekepala.
Arya hanya tersengih
itu sahaja yang mampu dia lakukan. Nasib mereka dapat cikgu sempoi macam cikgu
MinA. Kalau dapat cikgu lain mahu pengsan terus cikgu itu melayan perangai
mereka yang pelbagai itu. Kelas bermula seperti biasa dengan kehadiran semua
pelajar.
Ketika kelas hampir
tamat cikgu MinA datang mendekati meja Arya.
“Awak Juniel kalau
datang lambat lagi saya suruh gantung kasut awak dekat leher. Saya cakap saya
buat.” Arya yang dipanggil Juniel oleh gurunya itu buat-buat tidak dengar.
Bukan sekali cikgu itu memberi amaran kepadanya.
Masuk kali ini sudah
hampir ratusan entah keberapa kali dia sendiri sudah terlupa mahu mengira.
Mereka yang lain sudah tergelak besar melihat rakan sekelas mereka yang sejak
azali memang kepala batu.
“Cikgu cakap banyak
kali saya malas nak layan dah.”Arya tunjuk protes.
Cikgu MinA mengetap
gigi geram kerana diperli oleh pelajarnya seorang itu. Walaupun dia cakap akan
mendenda Arya tetapi dia tidak pernah mengotakan janjinya itu. Sebab itu
pelajarnya agak berani bersuara mengenakannya balik.
“Awak memang. Habis
kelas datang tempat biasa saya nak bagi ceramah.” Cikgu itu menjentik bahu Arya
yang dirasakan agak menjengkelkan. Jia yang
berada disebelah mejanya sudah tersengih-sengih melihat kawannya yang
mula membuat mulut itiknya.
Dia sudah cukup masak
dengan perangai minah seorang ini. Kalau malas hendak melayan kata orang lain
dia pasti membuat mulut itiknya itu. Jia mengata orang pandai tetapi dia juga sudah
terpengaruh dengan mulut itik Arya begitu juga Sarra di sebelahnya.
“Ingat lawa agaknya
buat mulut macam tu.” Zarran dari jauh memprotes sikap Arya yang suka buat
tidak endah dengan kata-kata guru kesayangannya itu. Ikutkan dia juga
berperangai sama saja. Kutuk orang saja lebih. Dari jauh Arya menunjukkan buku
limanya dengan muka tidak berperasaan kepada Zarran.
“Cikgu sayang... baik
cikgu layan saya saja sebab sayakan handsome.”Zarran membuat muka mengejek ke
arah Aryayang berada di meja belakang sekali ketika dia sedang menunjukkan
penumbuk kepadanya.
“Handsome punggung kau!
Berangan ajelah kau tu.” kutuk Arya.
Jia dan Sarra sekutunya
sudah ketawa tidak berhenti-henti
ditambah pula ayat terlampau daripada Arya. Ayat membunuh punya.
Siapa-siapapun yang mendengarnya pasti akan naik geram.Kerana yang geram itu
hanya Zarran seorang saja disebabkan Arya sering mengutuknya menggunakan ayat
powernya.
“Cikgu dengar tak apa
Arya Juniel cakap. Dia cakap saya kacak macam emm emm emm.... melampaukan
cikgu.” Zarran cuba minta simpati guru itu. Cikgu MinA sudah tidak dapat
bertahan lagi. Makin dia layan makin melampau pula sikap mereka terutama Arya
dan Zarran yang pantang bersua muka.
“Saya ke luar dulu.
Jangan nak bergaduh lagi pening kepala saya jadinya.”Cikgu MinA terus keluar
dari sana setelah waktu mengajarnya sudah tamat di kelas itu. Sempat lagi guru
itu membuang pandang ke arah Zarran yang melambai-lambai tangan ke arahnya.
Budak ni buat aku rasa semacam sajalah.
Dari depan Zarran
datang ke meja belakang yang dihuni oleh geng bas sekolah Arya selaku ketua
walaupun tidak berapa hendak ketua. Zarran mengetuk meja Arya dengan pembaris
panjang yang diambil dari meja guru di hadapan.
Lagaknya seperti mahu
mencari gaduh saja. Arya buat tidak endah kerana yang agak kisah kala itu hanya
Jia seorang yang asyik menatap wajah Zarran sejak datang ke tempatnya. Matanya
langsung tidak berganjak dari memandang Zarran. Satu kelas sudah tahu Jia
memang sukakan Zarran si keding.
“Arya kita ke luar nak
lepas waktu sekolah nanti?” Arya menoleh sekilas permintaan Zarran yang berdiri
di hadapan mejanya. Jia di meja sebelah sudah mengangguk-angguk setuju. Sarra
pula jadi tukang perhati sejak tadi.
“Aku setuju!” Sengaja
Jia menguatkan suaranya kerana terlalu teruja dengan cadangan itu. Sudah lama
dia berhajat untuk ke luar bersama-sama dengan Zarran tetapi tidak pernah
mendapat peluang.
“Aku pun. Tapi kau kena
support kita orang lah nampaknya. Kalau tak Arya tak akan setuju. Betul tak
Arya.” Sarra pula menyampuk pertanyaan Zarran. Zarran pandang semacam ke arah
Sarra yang nampak semacam. “... aku tolong jawab untuk Arya. Kau setujukan
Arya.” Sarra mencuit Arya yang buat tidak tahu saja lagaknya. Mungkin agak
bengang kerana dipaksa Arya mengambil pembaris plastik yang terbaring atas
mejanya.
“Kau pergi laa main
jauh-jauh. Aku tak mahu terlibat tahu tak. Kalau kau semata-mata nak dating
dengan cikgu MinA jangan nak jadikan aku balaci kaulah.” Keras saja jawapan
Arya. Jia dan Sarra memasang telinga dengan percakapan mereka berdua.
“Woit kau cakap
perlahan sikitlah! Dengar yang lain nanti malu aku.”
Rakan sekelas yang
duduk berdekatan buat tidak tahu saja lagak mereka. Kalau Arya tidak beritahu
mereka sekalipun berita Zarran ke luar berdating dengan guru mereka itu sudah
lama tersebar kalau bukan murai.com di barisan hadapan punya kerja.
“Kau tak payah nak
bajet sangatlah. Kalau aku tak cakappun dia orang semua memang dah tahu
lamapun.”
Sarra dan Jia
mengangguk setuju. Zarran gigit jari. Tahulah dia siapa punya angkara itu.
Hendak marah dia malas nanti takut pula mereka sebarkan ke seluruh sekolah.Lagi
parah dia nanti. Siapa lagi boleh cover line kalau bukan Arya merangkap jiran
tetangganya. Arya malas mahu bersoal jawab dengan mama Zarran yang banyak mulut
itu. Sudahlah mereka berjiran Arya juga yang dia mahu jadikan umpan agar
mamanya percaya yang mereka berdua ke luar bersama. Kononnya.
“Please Arya aku mintak
sangat.” Zarran terus berlutut menghadap Arya.
Pembaris plastik di
tangan sudah dibengkokkan ke belakang tunggu masa untuk menjamah mangsa. Sarra
dan Jia kedua-duanya menggelengkan kepala. Ini semua taktik semata-mata bukan
mereka tidak tahu.
Tap!
Tepat mengena sasaran.
Mahu terduduk Zarran ketika dahinya dijentik dengan pembaris Arya yang
disangkanya hanya mahu mengacah-acah dirinya. Ambik kau! Zarran menahan sakit
walaupun mukanya sudah naik merah.
“Ini sebab minggu lepas
kau buat aku macam tunggul kayu depan kafe. Kau sedap melantak aku pulak
berlapar depan kafe. Bila balik rumah mak kau banyak soal jawab dengan aku. Ingat
aku ni enjin Google ke haa!” Hatinya agak puas dengan apa yang patut Zarran
dapat sekarang. Mereka berdua yang sejak tadi menyelinga perbualan Arya dan
Zarran sudah tersengih busuk walaupun sikit terkejut melihat dahi Zarran
dijentik menggunakan pembaris. Sakit tu....
“Melampaulah kau ni
Arya. Kejam gila.” Dahinya masih terasa pijar kerana dijentik dengan pembaris
plastik milik Arya. Ikutkan hati memang dia marah tapi demi kebaikkan bersama
dia tahan saja rasa sakit itu. Bukan sebenarnya! Kebaikkan itu hanya untuk
dirinya seorang.
“Bila nak pergi? Tapi
bukan aku seorang yang akan teman kau kali ni.” Arya membuat syarat setelah
bersetuju. Hati Zarran yang baru hendak berbunga riang terus kecut semula. Dia
ini melebih sudah.
Pembaris di tangan Arya
dihalakan kepada Jia dan Sarra di meja sebelah. Sengaja dia pusingkan pembaris
itu sambil tersenyum. Zarran tidak dapat menolak kali ini. Dia sedar hari itu
dia buat silap besar sebab terlupa Arya yang berada di luar kafe ketika dia
sedang asyik berdating dengan seorang pelajarperempuan sekolah berhampiran.
Mahu atau tidak dia ikutkan saja kali ini. Nasib badanlah kau Zarran dapat
kawan baik macam ini punya rupa. Sudahlah dahi merah kena jentik sekarang kena
ugut pula. Dia mengeluh sendirian.
Sepanjang jalan ke luar
dari kawasan sekolah mereka berempat berjalan menuju ke pondok bas bersama.
Kebanyakkan pelajar sudah berpusu-pusu ke luar ketika bas sudah menunggu di
luar pagar sekolah. Mereka berempat berjalan beriringan walaupun ada yang
berjalan terlalu rapat. Nampak sangat ambil kesempatan.
Jia berjalan hampir
berselisih bahu dengan Zarran di sebelahnya. IkutkanZarran memang rimas itu
yang dia rasakan sekarang. Dia malas mahu mengungkit soal rasa rimasnya kalau
bukan itu salah satu syarat Arya mahu menemankan Zarran ke bandar selepas waktu
sekolah.
Sarra menahan ketawa
sejak tadi. Mana tidaknya Jia nampak sangat mengambil kesempatan atas Zarran
yang berjalan bersama mereka. Arya ditolak ke tepi oleh Jia ketika Zarran
berjalan bersamanya tadi. Hampir-hampir kasutnya masuk ke dalam lopak air
ketika Jia menolaknya ke tepi.
Gila kejam!
Sarra yang berjalan
tidak jauh daripadanya nasib sempat menyambut Arya supaya tidak terpijak lopak
air yang agak besar itu. Hendak marah dia tahan saja kalau bukan dia memikirkan
Jia itu kawan baiknya.
“Dasyat jugak Jia tu
Arya. Nasib baik kau tak pijak lopak tadi.” Tangannya masih melingkar pada
lengan Arya ketika dia menarik Arya daripada terpijak lopak tadi. Jia dan
Zarran sudah jauh berjalan ke hadapan. Mereka berdua saja masih tertinggal di
belakang.
“Memang Jia tu. Kalau
nampak Zarran over sangat!” Giliran Arya pula nampak tidak senang dengan
perangai Jia yang sangat terlebih ketika Zarran ada berhampiran dengannya.
Kalau ada yang mendekati Zarran ketika itu pasti jadi mangsa tolakkan Jia
seperti dia tadi.
“Elok sangatlah seorang
keding seorang besar dapat anak pulak sepuluh kalau gabungkan. Memang dasyat.”
Sarra memerli saiz badan mereka berdua yang sudah tiba di hadapan pondok bas. Ramai
pelajar sedang menunggu bas awam yang masih belum tiba. Mungkin dalam beberapa
minit lagi bas akan sampai.
Kepala Sarra ditolaknya
sedikit sebelum ketawa. Kalau diikutkan mereka berdua itu memang sepadanpun.
Sarra kalau bab mengata orang memang dia pandai sedangkan dirinya juga sama
kurus macam Zarran. Arya pula memikirkan kalau Sarra sikeding ditambah Zarran
sikeding pasti dapat anak sebelas orang.
Apa yang dia fikirkan
mendatangkan rasa lucu yang terlebih-lebih. Sarradisebelah sudah berhenti
ketawa tetapi Arya masih meneruskan ketawanya yang terlebih-lebih dengan apa
yang dia fikirkan tadi.
Bas tiba ketika Arya
dan Sarra sampai di hadapan pondok bas. Kerusi yang kebanyakkannya kosong sudah
diisi dengan ramai pelajar yang mahu pulang awal ke rumah. Bukan seperti mereka
berempat yang sudah merancang mahu pergi ke bandar.
Sepanjang perjalanan menaiki
bas Jia seperti biasa berdiri bersebelahan Zarran sambil memegang palang tiang
yang berdekatan pintu belakang bas. Terlalu ramai pelajar yang sudah bersesak-sesak
di dalam bas itu. Nasib bau masing-masing agak melegakan dari biasa.
Sarra dan Arya berdiri
di muka pintu sambil menonton aksi drama sikeding dan sikosong siapa lagi kalau
bukan Zarran dan Jia. Zarran kejap-kejap menoleh kepada mereka berdua yang
sejak tadi lagi ketawa tidak tentu hala. Ada saja yang menggelikan hati mereka.
“Arya kau apa pasal
tersengih macam kerang busuk dari tadi. Tergelak tak sudah-sudah kau pun sama
Sarra apa pasal?” Zarran nampak tidak puas hati. Arya dicerlungnya tajam. Sarra
pula menutup mulutnya dari terus kembang.
Nampaknya ada orang
sudah sedar yang mereka berdua sedang mengutuk dirinya. Dia dapat membaca apa
yang Arya dan Sarra sedang fikirkan. Laju jari Arya membuat satu dan kosong
lalu digabungkan bersama menghadap Zarran yang tidak jauh dari tempat dia
berdiri di anak tangga bas.
Zarran yang melihat
sudah bertambah panas hati. Jia pula buat tidak reti sebab dia bukan jenis yang
cepat tangkap orang sedang memerlinya sejak tadi.
Siap kau Al kalau aku
dapat kau aku patah-patahkan jari kau nanti! Geram pula melihat Arya sengaja
mahu mengenakan dirinya dengan Jia di sebelah.
“Kepala otak kau kalau
mengenakan orang memang kelas bergeliga. Aku tabik sama kau Arya.” Sarra berbisik
ke tepi Arya walaupun masih bersisa tawa lagi. Arya tersengih mendengar pujian
yang tidaklah hendak kata pujian sangat. Ikutkan Sarra sedang mengutuknya juga.
Lampu isyarat merah
menyala dan waktu itu bas berhenti agak mendadak mengejut lalu Jia yang
bergantung pada tiang besi tadi tidak dapat menahan dirinya dari terus jatuh ke
arah Arya dan Sarra yang berdiri betul-betul pada pintu bas bahagian belakang.Mereka
berdua rasa badan masing-masing terasa macam ayam penyek kena himpap.
Mahu penyek rasanya
kena tekap dengan badan Jia yang agak gempal pada muka pintu bas itu. Zarran pada
mulanya nampak terkejut dalam masa yang sama dia sudah ketawa berdekah-dekah
melihat situasi itu begitu juga mereka yang melihatnya.
Zarran ketawa
mengilai-ngilai tidak tahan kerana Jia masih tidak dapat membetulkan dirinya
yang sudah menghimpit Arya dan Sarra pada muka pintu. Sambil dia cuba membantu
mereka Zarran ketawa masih tidak henti-henti menggelakkan Arya dan Sarra yang
terhimpit pada belakang Jia.
”Padan muka kau orang!”
Ejek Zarran dalam hati. Kalau dia cakap secara terang-terangan silap tahun dia
balik kena pulun dengan mereka terutama Arya yang mengepalai kumpulannya. Jangan
main-main wooo.... ketua Mafia tu. Gelak tak apa ejek jangan itu memang
kepantangan Arya.
Bukan Jia seorang saja
yang menjadi penghimpit mereka tetapi ada beberapa orang lagi pelajar juga
sedang menghimpit mereka juga. Mereka yang berada di dalam bas sudah kecoh
dengan perkara itu dan kedengaran gelak ketawa semakin menjadi-jadi.
Sebuah kereta mewah
berwarna hitam berhenti betul-betul bersebelahan bas yang mereka naiki ketika
lampu isyarat merah menyala. Penghuni di dalamnya sudah ketawa dengan aksi
dasyat daripada seorang pelajar perempuan yang masih terhimpit pada muka pintu
bas.
Arya yang masih tidak
dapat melepaskan diri sempat memandang ke arah cermin gelap kereta itu dengan
muka masam mencuka. Kepalanya seperti mahu bengkak kerana terhantuk pada muka
pintu bas itu. Sakitnya bukan kepalang ditambah pula beban di belakangnya ini.
Dia dapat melihat imej dirinya yang agak buruk dalam keadaan begitu pada cermin
gelap kereta di hadapannya. Mesti manusia dalam kereta tu tengah gelakkan aku?
Malu wehh... kalau dia nampak muka aku yang tak rupa orang ni! Hatinya makin
tak senang.
Itupun kalau dia perasan.
Tapi janganlah dia perasan tebal muka aku nanti. Mana aku nak sorokkan muka aku
ni. Arya sudah berkira-kira kalau benar
ada manusia sedang ketawa menggelakkan dirinya di dalam kereta itu.
Dia tidak kisah orang
di dalam bas menggelakkan dirinya tetapi jangan orang yang berada di
hadapannya. Perkara itu lagi memalukan sebab nanti pasti manusia itu akan dapat
melihat imejnyayang paling buruk dengan aksi muka paling dasyat pernah dia buat
seumur hidup. Serius buruk gila wehhh!!!
Rambutnya yang berikat
kemas sudah terurai seperti orang baru keluar dari rumah sakit jiwa. Mukanya
pula sudah mencium cermin pintu bas itu. Sakit badannya tidak terkata. Sarra di
sebelah sudah berjaya ke luar tetapi masih terhimpit dengan kesesakkan pelajar
yang turut terhimpit pada anak tangga mereka sedang berdiri.
“Pak cik kenapa bas
sebelah ni penuh sangat dan budak perempuan tu pun kelakarlah ha ha haaa....”
Dia geli hati melihat Arya dengan penuh aksi masih terlekap pada pintu bas. Di
belakangnya ada seorang budak perempuan berbadan besar sedang cuba beralih dari
menghimpitnya.
Pemandu kereta itu
mengalih sebentar pandangan ke arah bas awam di sebelahnya. Dia juga turut
ketawa. Muka budak perempuan itu memang melucukan tambah pula gayanya seperti
spiderman terlekap pada tingkap bangunan.Tapi kes di hadapan mereka ini bukan
spiderman terlekap pada dinding tapi terlekap pada pintu bas. Ini kes spiderman
tak cukup sifat lagi ni.
“Biasalah tuan muda
kalau lepas waktu sekolah bas awam agak penuh dengan pelajar.” Pemandu itu
masih ketawa lagi melihatkan muka budak perempuan yang nampak bengang kerana
dihimpit dengan teruk sekali.
“Teruk betul saya
tengok dia kena himpit macam itu pak cik.” Karl masih tidak henti-henti ketawa
dengan apa yang dia saksikan sekarang ini. Handphone terus dicapai dari poket
seluarnya untuk menangkap gambar manusia yang dirasakan agak luar biasa
padanya.
Karl membuka cermin
keretanya separuh lalu memandang budak perempuan yang masih berada pada muka
pintu bas itu. Kawannya masih berusaha untuk membetulkan dirinya. Arya sudah tidak
dapat menahan malu kerana ada manusia di luar sana sedang memandangnya sambil
ketawa.
Dia sendiri tidak tahu
mana hendak sorokkan muka waktu itu dengan Jia yang masih berusaha ditarik oleh
Zarran. Sempat lagi budak lelaki itu snap gambarnya yang sedang dalam keadaan dirinya
yang amat memalukan itu. Kurang ajar betul dia gelakkan aku! Eh, dia ambik
gambar akulah! Waaa... malunya.... Arya tidak tahu hendak buat apa lagi.
“Jia cepatlah. Sakit tahu
tak!” Arya sudah kedengaran bengang kerana rakannya itu masih tidak reti bahasa
untuk naik ke atas tangga satu lagi supaya tidak menghimpit dirinya. Mata Arya
masih memandang ke arah budak lelaki yang berpakaian seragam sekolah sambil
tersenyum padanya.
Ketika bas mula
bergerak baru Jia dapat berdiri dengan betul semula. Sarra dari tadi sudah
ketawa tidak henti-henti sampai berair matanya. Jia buat muka takutnya ketika
Arya sudah dapat berdiri dengan betul.
Dia bercekak pinggang
menghadap Jia yang sudah berdiri jauh darinya. Dia tidak lagi berdiri
bersebelahan Zarran kerana takut kena marah. Kebanyakkan mereka sudah berhenti
ketawa setelah muka pemilik buat lawak tadi sudah masam mencuka. Arya
membetul-betulkan rambutnya yang kusut.
Zarran mendapatkan
tempat berhampiran Arya yang sedang naik hantu. Tadi dia yang beria-ia
menggelakkan orang sekarang ini giliran Arya pula digelakkan tanpa henti.
Zarran buat-buat tahan ketawanya daripada terus meletus. Lucu rasanya melihat
Arya dihimpit dengan teruk oleh Jia sebentar tadi.
“Ketawalah lagi. Ketawa!
Nanti aku cakap kat mak kau yang kau sebenarnya keluar dating bukan nak pergi
beli buku. Dasar penipu!” Arya nampak bersungguh-sungguh ingin mengenakan
Zarran kali ini. Sudahlah muka terasa tebal, badan sakit hatipun turut sakit
sama.
Zarran angkat tangan
mengaku kalah. Tahu takut!
“Bukan dia tu senior
kita ke? Dasyat gila dia kena himpit dengan kawan dia yang badan besar tu.”
Seseorang berbisik perlahan pada rakannya di sebelah tetapi Arya masih dapat
mendengar kutukkan daripada mereka. Arya buat tidak dengar.
Kalau dia endahkan kata-kata
mereka bukan saja muka dan badan turut sakit nantihatinya pula bengkak. Ikutkan
hati mahu saja dia serang mereka yang sedang mengata-ngatanya tanpa henti.Nasib
mereka itu budak bawah umur kalau tidak sudah lama muka masing-masing dia
hantukkan bagi mereka rasa macam mana sakitnya kena himpit pada muka pintu.
Zarran menoleh ke arah bertentangan dari Arya yang masam mencuka. Takut pula
dia melihatkan muka Arya seperti itu.
No comments:
Post a Comment