Bab 20
Masa sekarang.....
Kereta dipandu perlahan
melalui laluan selekoh masuk ke lorong taman perumahan itu. Awal pagi begini
rasanya lebih patut dia datang bertandang ke rumah orang. Siapa suruh cari
masalah. Orang itu tidak buat salah apa-apapun terhadapnya. Tapi kerana tindakkan
bodohnya itu hatinya jadi tidak tenteram sepanjang malam. Enn sejak tadi
menjadi tukang penunjuk arah masuk ke kawasan itu.
“Kau rasa betul ke
laluan yang aku masuk ni?” Kim ingin mendapatkan kepastian daripada Enn di
sebelah. Bukan apa kalau tersalah alamat susah pula dia mahu memusingkan kereta
di laluan yang nampak sempit itu. Diapun tidak berani memandu laju di kawasan
ini.
Silap hari bulan boleh
terbabas keretanya masuk ke dalam kawasan rumah orang di sana. Kim memandu
dalam keadaan perlahan sambil mengikut saja arahan daripada Enn yang menjadi
pemandu arah sejak tadi.
Kawasan perumahan ini
jauh lebih sempit berbanding dengan kawasan perumahan yang dihuni olehnya.
Laluan ini hanya membenarkan sebiji kereta saja melaluinya dalam satu-satu
masa. Macam manalah pekerjanya Arya boleh tinggal di tempat yang nampak sempit
begini.
Dia pernah melihat
orang lain hidup susah tapi kawasan di sini agak luar biasa sempitnya. Sebuah motor
ditunggang perlahan menuju ke arah kereta yang dipandu oleh Kim. Motor itu berganjak
ke tepi memberi laluan kepada kereta Kim. Kim angkat tangan ketika keretanya
melepasi laluan sempit itu.
Penunggang motosikal
itu turut melakukan perkara yang sama. Orang sudah memberi laluan dan sebaiknya
dia membalas kebaikkan itu dengan mengangkat tangan. Hal ini menampakkan kita
ini masih ada budi bahasa. Kim masih memandu keretanya pada laluan itu
sehinggalah Enn memintanya memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah.
Mereka berdua ke luar
dari kereta ketika kereta diparkingkan di hadapan rumah itu.Papan tanda di
pintu pagar itu buat mereka tertanya-tanya. Tertulis pada papan tanda itu
‘Rumah untuk dilelong.’ Berkerut dahi Enn melihatnya.
“Kau salah rumah ke
Enn?” Kim cuba menidakkan bahawa rumah di hadapan mereka ini tunggu masa untuk
dilelong oleh pihak bank. Sedangkan tadi dia sendiri melihat alamat yang
tertera dalam handphone Enn tadi. Kenapa dia harus menyangkalnya lagi? Enn
sambut pertanyaan Kim dengan mengangkat bahu.
Diapun tidak faham
kenapa rumah milik Arya harus dilelong oleh pihak bank. Teruk sangatkah dia
berhutang sampai tergadai rumah akibat meminjam wang dari pihak bank?
Seorang warga di
kawasan itu datang menghampiri mereka. Lagak mereka sejak tadi dia perhatikan olehnya
dari tepi lorong. Susah sekali dia melihat kereta mewah seperti itu dipandu
masuk ke kawasan perumahan mereka ini. Kebanyakkan kereta jenis ini datang ke
lorong ini atas urusan penjualan rumah. Apa pula urusan dua orang anak muda ini
berdiri di hadapan rumah itu. Seeloknya dia ambil tahu tentang gerangan mereka
berdua yang terjenguk-jenguk memandang kawasan rumah itu sejak tadi.
Dia sebagai warga yang
lama menetap di sana harus ambil tahu tentang kehadiran mereka di hadapan rumah
yang tidak lagi berpenghuni itu. Esok-esok orang di sini akan bertanya juga padanya
tentang kehadiran pemilik kereta mewah itu.
Manalah tahu jikalau
mereka ini ingin menyewakan rumah itu. Dia pastinya orang paling gembira kerana
dapat berjiran dengan dua orang anak muda yang nampak kaya dan kacak itu. Bolehlah
juga dia kenankan salah seorang antara mereka nanti pada anak perempuannya yang
masih belum berkahwin.
“Kamu buat apa dekat
sini?” Mak cik yang hampir sebaya dengan ibu mereka berdua menyapa mereka dari
arah belakang. Cepat-cepat mereka menoleh ke arah mak cik yang nampak ceria
menyapa mereka tadi. Mereka memberi tunduk hormat pada wanita itu.
Enn dan Kim merasakan
wanita yang menyapa mereka ini ialah warga di sini.Pastinya dia dapat
memberikan sedikit maklumat berkenaan penghuni rumah yang dicari oleh mereka. Mak
cik itu masih ceria seperti tadi. Nampak kedatangan mereka tidaklah menjadi
sia-sia jika mak cik ini dapat membantu memberikan maklumat.
“Mak cik boleh tanya
tak orang dekat rumah ni pindah ke mana ya?” Enn memulakan pertanyaan dahulu
tanpa berlengah. Hampir setengah jam mereka mencari rumah ini di sekitar
kawasan taman perumahan lama ini alih-alih orangnya sudah tiada. Ke mana pula
mereka berpindah?
Fahamlah dia kenapa
anak muda dua orang ini masih tercegat di hadapan rumah ini. Wanita itu
melemparkan pandangan matanya yang agak kabur untuk membaca isi kandungan yang
tertulis pada papan tanda yang tersangkut pada pintu pagar rumah itu. Makin dia
cuba baca makin sakit pula matanya.
Tulisan yang tertulis
itu agak kecil hurufnya. Pertanyaan Enn tadi lambat dijawabnya kerana dia ingin
membaca tulisan di pagar itu. Dia selaku warga di lorong itu hampir tidak
perasan bila papan tanda itu digantungkan di pagar rumah berkenaan. Bukan
sekali dua dia lalu-lalang di sana dan baru pagi ini dia perasan papan tanda
itu telah digantungkan.
Digosoknya mata yang
terasa sakit akibat terlalu memaksa matanya untuk membaca tulisan yang terlalu
kecil itu. Soalan daripada salah seorang anak muda itu kemudianya baru dijawab.
“Owh kamu tanya soal
orang rumah ni ke. Baru seminggu dia orang pindah. Tapi mak cik tak tahulah
pulak kenapa. Ke mana mereka berpindahpun mak cik tak tahu. Maaflah nak ya.”
Wanita itu berterus-terang dengan perkara yang dia tidak ketahui. Setakat
mengetahui mereka sudah berpindahpun hanya selepas mendengar beberapa orang jiran
bercerita kepadanya.
Biasalah hidup
berjiran. Bila seorang tidak tahu tentang sesuatu perkara yang terjadi di
lorong mereka pasti ada yang ramah mulut hendak bercerita. Kalau tidak bergosip
tidak sah. Nak pula kalau rumah itu milik keluarga yang dicari oleh mereka
berdua ini.
“Dia orang ni banyak
masalah. Sebab itu mereka pindah. Ayah budak perempuan tu suka sangat berhutang
judi. Itu yang mak cik tahulah.” ujar mak cik itu lagi secara jelas kenapa
mereka berpindah dari sana. Mereka berdua mengangguk faham. Di mana lagi harus
mereka mencari bekas pekerja mereka itu.
Baru Kim faham kenapa
Arya nampak terdesak memintanya supaya membenarkan dia kembali bekerja di kafe.
Rupa-rupanya rumahnya sudah dilelong oleh pihak bank. Tertanya pula Kim di mana
Arya tidur sepanjang seminggu ini. Dia tidak menyangka masalah yang dihadapi
Arya sangat rumit.
Kenapalah dia bertindak
bodoh memarahi Arya semalam. Orang itu sedang mengalami kesusahan dan dia pula makin
menyusahkan kehidupan orang itu lagi. Perasaan bersalahnya terhadap Arya makin
menebal. Enn pegang bahu Kim. Dia faham jika Kim nampak tertekan.
Apa boleh mereka buat
lagi. Alamat terakhirnya inilah menjadi panduan mereka mencari Arya kembali.
Apabila sudah dijejaki, rumah itu tidak lagi dihuni.Kim dan Enn sama-sama
meminta diri sebelum beredar dari sana. Wanita dalam lingkungan 50-an itu
menyoroti kereta yang dinaiki mereka sehingga hilang dari pandangan.
Kereta yang dipandu Kim
hampir dengan kawasan kafe mereka. Perlahan saja kereta itu dipandu kerana
kereta di hadapan hampir berhenti sebelum laluan pejalan kaki ketika lampu
isyarat merah sudah menyala. Matanya memandang ke luar cermin tingkap kereta.
Lagi 60 saat lampu isyarat hijau akan menyala. Walaupun nampak sekejap masa itu
tapi bagi pemandu sepertinya terasa masa yang berlalu agak panjang.
Laluan kaki lima di
sebelah kirinya itu ramai orang sedang berjalan di laluan itu. Pada hujung
minggu begini tidak hairanlah jika dalam kalangan mereka yang berjalan itu
merupakan golongan remaja yang ingin menghabiskan masa bersiar-siar
bersama-sama rakan mereka.
Lama dia melemparkan
pandangan pada laluan kaki lima itu. Nostalgia lamanya seperti ingin terimbas kembali.
Fikirannya kosong dan ingatannya seolah-olah menerawang entah ke mana. Masih segar
dalam ingatannya tentang kisah itu. Kisah mereka berdua berjalan di laluan kaki
lima tersebut.
“Zarran kau ni
lembablah berjalan. Cepatlah sikit!” Budak perempuan itu memanggil Kim supaya
lekas berjalan. Hujung minggu begini mereka harus cepat kalau tidak habis pula
tiket menonton wayang yang mereka ingin tonton nanti.
Kim berjalan perlahan
masih macam tadi. Dia rasa tak ada perkara yang hendak dikejarkan. Mereka baru
turun dari dalam bas. Kawannya itu tidak sudah-sudah menyuruhnya berjalan
cepat.
“Al kau tak payahlah
nak cepat-cepat sangat. Tiket dah lama aku belipun.” Kim mengeluarkan tiket
yang ditempah secara online melalui internet. Arya berlari anak pergi mendekati
Kim. Suka pula hatinya melihat tiket itu telah dibeli.
“Kenapa tak cakap
awal-awal. Buat penat aku excited ajelah.”
Tiket yang berada di
dalam gengaman Kim itu Arya ingin ambil. Tapi Kim boleh pula mahu mengenakan
kawan baiknya itu. Arya sudah terlompat-lompat cuba mengambil tiket yang di
angkat ke atas oleh tangan Kim.
“Kalau dasar pendek tu
pendek aje. Kau ni bantutlah Al. Tulah waktu kecik-kecik taknak minum susu
sekarangkan dah pendek. Hahaaa...” Kim memerli ketinggian Arya yang masih
terlompat-lompat mahu mengambil tiket itu. Lucu pula hatinya dengan telatah
Arya yang nampak kebudak-budakkan itu.
Perliannya langsung
tidak mendatangkan rasa kecil hati terhadapa Arya. Mulut Kim memang suka
mengutuknya. Apa dia kisahkan sangat. Akhirnya tiket itu berjaya juga dia
rampas. Pendek bukan sebarangan pendek tapi pendek ni kuat melompat.
PONN!!!
Bunyi hon kereta dari
arah belakang menyedarkan Kim dari lamunan panjangnya. Enn sejak tadi puas memanggilnya
tapi dia masih memandang ke luar cermin kereta. Bunyi hon kereta sesuai menjadi
ubat bagi menyedarkan orang sedang mengelamun seperti Kim ini.
Kereta dipandu seperti
biasa menuju ke kawasan letak parking kereta berhadapan kafe. Enn ke luar dari
dalam kereta dahulu kerana dia ada urusan yang penting ingin dilakukan. Selaku
ketua chef di kafe peranannya agak besar. Mana boleh dia lepas tangan soal
tugasnya selaku ketua pada pembantu dapur untuk menyediakan makanan tanpa
bantuannya.
Kim berjalan menuju ke
arah kafe sambil menoleh ke kirinya. Ramai orang yang lalu-lalang di sepanjang
laluan kaki lima itu. Deretan rumah kedai memang menjadi tempat persinggahan
mereka yang bersiai-siar pada hujung minggu begini. Dalam kalangan mereka yang
berjalan Kim seperti terlihat kelibat seseorang.
Dia kurang pasti dengan
kelibat manusia itu dari jarak yang agak jauh dari pandangannya. Tapi hati
kecilnya mengatakan mereka saling kenal antara satu sama lain. Kim cuba
mengingatkan kembali fikirannya siapa orang yang mendapat perhatian daripadanya
itu.
Gadis itu menyelak
rambutnya yang panjang ke tepi telinga ketika angin bertiup ke arahnya. Dia
nampak ayu sangat pada pandangan Kim. Kim rasa dia memang tidak tersalah orang.
Mana mungkin dia tidak kenal dengan kawan zaman sekolah menengah tingginya.
Bukan sehari dua mereka
kenal tapi hampir bertahun lamanya. Selepas dia melanjutkan pelajarannya ke
luar negara sehingga ke hari ini dia tidak menghubungi mana-mana teman
rapatnya. Peristiwa yang terjadi masih berbekas dalam ingatannya.
Sebolehnya dia tidak
mahu ada sebarang kaitan dengan siapa-siapa pada zaman lampaunya. Sebolehnya
dia tidak mahu ingat langsung pada peristiwa itu. Tetapi sekarang berbeza. Dia
kembali menjadi orang baru tanpa dihantui oleh kisah lama. Peluang ada di hadapan
mata kenapa dia harus melepaskan kawannya itu pergi. Pertemuan itu tidak akan
Kim biarkan berlalu begitu sahaja. Lama rasanya mereka tidak berjumpa tetapi
pada pagi ini pertemuan yang tidak disangka-singka itu membuatkan Kim gembira
semacam.
Rasa kecewanya tidak
dapat berjumpa Arya terubat dengan kemunculan Sarra secara mengejut di
hadapannya. Dia berjalan menghampiri gadis yang berpakaian kasual dengan
mengenakan seluar jeans panjang dan t-shirt lengan pendek itu. Langkah dia
terhenti ketika Kim berada di hadapannya.
Kenapa pula lelaki ini
menghadang jalannya? Sarra pandang atas bawah lelaki yang menghalang laluannya
ketika ini. Kim yang berkaca mata hitam tersenyum melihat Sarra masih seperti
dahulu. Penampilannya tidak berubah langsung sama seperti dahulu. Cuma pada
pandangan Kim, Sarra nampak cantik dari dulu.
“Wahh kacak gila wehh.
Model antarabangsa mana pulak ni datangnya. Siap senyum dekat aku. Cair aku aku
rasa dah ni...” Aura kegatalannya datang menerpa. Sarra membalas senyuman
lelaki yang masih dia tidak kenali itu. Siapa tidak suka kalau lelaki super
kacak menghalang laluannya. Kalau ajak pergi minumpun dia sudi.
Kim tanggal cermin
matanya untuk menyedarkan Sarra siapakah dia yang sebenarnya. Dia cukup rasa
geli hati dengan reaksi Sarra yang nampak tergoda terhadapnya. Cukup-cukuplah
dia senyum macam itu. Dulu Sarralah orang yang paling menyampah terhadapnya.
Kalau boleh semua benda dia mahu kutuk luar dalam berkaitan dirinya. Ada saja
yang Sarra tidak berkenan dengan apa yang ada pada batang tubuhnya.
Reaksi Sarra yang agak
luar biasa membuatkan Kim mahu menyedarkan kawannya itu cepat. Lepas ini kalau
Sarra nak mengutuk kaw-kaw dirinya dia tidak ambil pusing. Mana mungkin
perangainya akan berubah kalau sudah sebati dalam diri sejak azali.
“Sarra ingat aku lagi
tak?” Kim menanggalkan cermin matanya ketika Sarra masih tidak henti-henti memandangnya
sejak tadi sambil tersenyum manja. Boleh tahan miang juga kawan aku ni. Mata
Sarra bagai tidak berkedip sesaatpun apabila menyedari siapa orang di
hadapannya itu. Mana mungkin dia lupa dengan pemilik suara dan senyuman itu.
Sarra terperanjat besar.
Dia betul-betul tidak menyangka akan berjumpa kawan lamanya di tempat ini.
Perbuatannya yang nampak tidak senonoh memandang macam orang miang tadi buat
Sarra malu sendiri.
“Kau Zarran! Haaa...”
Sarra tutup mulut. Dia nampak terperanjat sangat.
“Yalah aku lah ni.” Kim
menyambut rasa terkejut Sarra itu dengan senyuman. Siapa tidak suka melihat
kawan yang selama ini suka mengutuknya waktu zaman remajanya dahulu akhirnya
memandangnya sebagai seorang lelaki. Ya I’m a man hahaa..
Sarra masih tidak dapat
percaya. Mana pernah Zarran menegurnya selama ini. Bukan sekali dua mereka
bertembung tetapi baru pagi ini dia menegur Sarra dengan muka cerianya. “Memang
ada yang tak kena ni. Agak-agaknya dia ni buang tebiat kut.” Siapa jadi tidak
curiga. Sarra ingatkan Zarran tidak ingat padanya lagi. Yalah hampir bertahun
mereka tidak berjumpa selepas Zarran membawa diri ke luar negara untuk
menyambung pelajarannya.
Orang berstatus seperti
Zarran masih ada hati untuk menegurnya lagi. Sungguh luar biasa tidak
percayanya. Ingatkan dia ni memang jenis sombong tidak kena tempat. Maklumlah
dia sudah jadi orang baru dan memiliki sebuah perniagaannya sendiri. Dia ini
ada apalah sangat. Setakat lulusan universiti dalam negara langsung tidak
setanding dengan orang di hadapannya ini. Orang menganggur sepertinya ini mana
ada orang nak pandang.
“Kau ni over sangat
terkejut nampak aku kenapa?” kelakar pula dengan reaksi terlebih Sarra itu.
Kalau ya pun terkejut janganlah over sangat. Nasib orang yang dia tegur memang
kawannya. Tadinya dia hanya inginmencuba untuk menegur takut juga jika tersalah
orang. Tak cuba mana nak tahu betul atau tidak itu orangnya.
Sikapnya yang suka
terlajak menilai orang buatkan dia mendapat malu semula. Padan muka dulu bukan
main kau mengutuk dia. Sekarang dia balik kutuk kau semula. Sarra
seboleh-bolehnya dia mengawal rasa malunya. Zarran masih senyum-senyum lagi.
Sarra tampar bahu
Zarran. Suka sangat Zarran mengenakannya. Memanglah dia nampak terover akibat
terkejut. Dia terperanjat bukan sebab Zarran menegurnya tapi disebab orang yang
disangkakan model antarabangsa itu sebenarnya kawan lama zaman sekolahnya.
Dulu bukan main lagi
dia siap mengutuk orang itu macam-macam. Siapa menyangka masa yang berlalu
benar-benar mengubah persepsinya yang lama. Sarra tak nafikan yang Zarran jauh
lebih segak dari Zarran yang dulu. Kata zaman-zaman hingusan siapapun dia
bantai mengutuk walaupun orang itu kawan baiknya sendiri.
Selama ini dia pandang
Zarran dari jauh saja tapi apabila bertemu dengannya secara berdepan memang mendebarkan
hatinya. Bila berjumpa masing-masing sudah menjadi seorang individu yang lain
bukan lagi budak hingusan seperti dulu lagi.
“Mana aku tak terkejut
kau muncul tiba-tiba. Ingatkan model tengah jalan mana pulak tengah cat walk datang
tegur aku tadi haa... rupanya kau. Ingatkan siapalah tadi.” Sempat lagi Sarra
mengenakan Zarran dengan kutukkannya. Memang tidak berubah masih seperti dulu
sikap suka mengutuknya. Orang paling banyak terima kutukkan daripadanya siapa
lagi kalau bukan Zarran yang nampak merona merah mukanya.
Perasanlah tu orang
cakap dia ala-ala model. Tapi ayat belakang model tu memang tak boleh blah.
Zarran faham sangat dengan sikap Sarra. “Alah cakap aje kau nak cakap aku
handsome sebenarnya. Suka sangat putar belit ayat.” Zarran ketawa kosong dengan
sikap Sarra yang tidak pernah berubah sama sekali. Sebenarnya dia nak memuji
tapi suka sangat selang selikan ayat pujiannya dengan kutukkan. Memang tak sah
hidupnya jika dia tidak mengenakan Zarran.
“Banyaklah kau punya
model jalanan. Ermm... sebelum tu jom lah singgah dekat kafe aku. Aku belanja.
Kitakan lama tak jumpa lepas ni boleh berborak-borak. Kau tak ada urusan
penting nak dibuat ke?”
Pertanyaan Zarran itu
disambut dengan senyuman. Macam mana nak ada urusan penting kalau kerjapun tak ada.
Dia ke luar awal beginipun sebab ingin memulangkan baju kerja kawannya Arya. Dia
ikut saja Zarran masuk ke dalam kafe tanpa banyak soal. Memang tujuan asalnya
tadi mahu datang singgah ke kafe Black’ Smith ini pun. Beg kertas yang
dipegangnya diletakkan pada kerusi sebelah. Zarran berlalu pergi ke arah dapur
kafe.
Banyak mata memandang
ke arahnya. Siapa lagi kalau bukan staf kafe yang sedang sibuk membuat kerja
mereka. Nama saja tengah buat kerja tapi masih ada masa mahu cari tahu siapa
perempuan yang nampak mesra dengan manager mereka itu. Pelangganpun masih belum
datang lagi kerana waktu beroperasi kafe hanya bermula pada jam 10:00
pagi.Kiranya Sarra merupakan pelanggan pertama bertandang ke sana. Hampir
banyak kali juga dia datang ke sini ketika Arya masih bekerja di sini. Cuma
Zarran saja tidak perasan dirinya. Orang busylah katakan. Nampak kawanpun
nampak macam orang asing saja.
Banyak perkara tentang
Zarran diceritakan oleh Arya ketika dia dalam keadaan keletihan pulang ke rumah
setelah bekerja sepanjang hari di kafe ini. Sarra tarik nafas panjang
mengenangkan nasib kawan baiknya itu. Terlalu banyak rahsia yang Sarra pegang
selama ini. Soal siapa Arya yang masih berkawan dengannya sampai ke hari ini.
Rahsia tetap rahsia. Mana mungkin dia akan membongkarkan rahsia yang hampir
bertahun lamanya dia simpan.
Dari arah dapur Zarran
muncul membawa dulang berisi dua gelas cawan di atasnya. Orang sudah mempelawa
kenapa harus dia menolak. Cawan yang berisi air kopi panas itu diletakkan di
hadapnnya. Sarra pegang cawan itu dengan kedua-dua tapak tangannya. Cuaca di
luar tadi agak sejuk, setidaknya kopi yang dipeganganya ini dapat menghangatkan
tangannya yang masih terasa kesejukkan semasa berada di luar tadi.
Tinggal dalam negara
empat musim siapa suruh cari pasal tidak memakai pakaian yang sesuai. Ini bukan
drama bersiri Korea yang nampak artisnya berpakai biasa dalam cuaca sejuk.
Walhal sebenarnya apabila pengarah kata ‘cut’ masing-masing mencari pakaian
tebal untuk mengelakkan rasa sejuk.
Nampak sangat bergaya
tidak kena tempat. Yang menanggung badan sendiri akibat terlalu ikutkan sangat
aliran fesyen yang diikutinya.
Pandangan tanpa henti
mereka sejak Sarra menjejakkan kaki ke sana Sarra buat tidak perasan saja.
Apalah yang mereka berminat sangat tentang kehadirannya bersama Zarran masuk ke
sana. Rimas juga dia kerana asyik dipandang tanpa sebab yang dia ketahui. Dia
ini bukan artispun. Zarran di hadapannya buat macam biasa saja.
“Lama kau menghilang.
Mana kau pergi?” Sarra memulakan perbualan antara mereka sambil menghalakan
pandangannya pada Zarran yang masih menikmati minuman yang dibawanya tadi.
Sarra pandang keadaan sekeliling di kafe ini. Masih sama seperti dahulu lagi
cuma yang berubah ada beberapa tempat di dalam kafe ini. Tertanya juga dia
kenapa Zarran sanggup mengambil alih kafe ini daripada pemilik asal.
“Aku tak menghilang ke
mana-mana. Masih ada di sini cuma kita aje yang tak jumpa. Lama jugak kita tak
jumpa. Aku rasa kali terakhir aku jumpa kau lapan tahun lepas waktu kita dekat
tahun akhir menengah tinggikan. Lama betul baru hari ni kita jumpa.” Zarran
mengingatkan kembali bila kali terakhir mereka berjumpa.
Bukan Sarra tak mahu
berjumpa Zarran sedangkan Zarran sendiri memutuskan tidak menghubungi mereka
langsung termasuk dirinya. Lepas seorang-seorang teman meninggalkan Sarra
pergi. Tidak terkecuali Jia yang lama menyepikan diri. Entah manalah dia berada
sekarang.
“Kau tak payahlah nak cakap
lama sangat kita tak jumpa. Banyak kali aku datang kafe kau ni. Baru hari ni je
kau nak tegur aku. Macam nilah kawankan.” Sarra nampak merajuk dengan sikap
Zarran yang seperti tidak nampak dengan kehadirannya di sana selama ini. Zarran
buat muka seolah tidal percaya.
“Ya ke! Mungkin masa
kau datang tu aku tengah busy sangat. Itu yang aku tak perasan kau datang. Janganlah
merajuk...” Zarran cuba mengambil hati Sarra kembali. Sikap Sarra yang suka
mengusik ada kalanya boleh bertukar serius. Jangan disangka orang kuat bergurau
tidak reti merajuk. Sarra rasa malas memanjangkan ceritanya. Tujuannya menerima
pelawaan Zarran tadipun bersebab.
Pakaian yang terdapat
di dalam beg kertas itu Sarra serahkan pada Zarran. Zarran nampak
tertanya-tanya dengan beg kertas yang diberikan oleh Sarra. Dia buka beg kertas
itu untuk melihatkan isinya. Dahinya berkerut sedikit. Baju pekerja kafenya
terdapat di dalam beg kertas itu. Di mana pula Sarra mendapatkannya?
“Mana kau dapat baju
pekerja aku ni?” Soal Zarran nampak ragu-ragu dengan kewujudan baju itu. Setahu
dia Sarra mana pernah bekerja di sini. Takkan lah sampai Sarra pernah bekerja
di kafenya pun dia tidak perasan. Mana boleh! Zarran menolak fikiran sangsinya
tadi.
“Baju tu kawan aku
punya. Bukan kau ke yang berhentikan dia semalam.” Sarra mencerlung tajam
matanya pada Zarran geram. Sebab Zarranlah Arya menangis teruk sangat sampai
dia rasa susah hati. Kenapalah dua manusia ini masih lagi bergaduh walaupun
mereka hampir bertahun tidak berjumpa.
Kata-kata Sarra buatkan
dia seperti tersedar sesuatu. “Sarra berkawan dengan Arya. Biar betul!” Hatinya
mula ragu. Dia lihat kembali baju yang berada di dalam beg itu dan melihat
tanda namanya. Mata Zarran membulat. Nampaknya kali ini dia benar-benar
terperanjat. Kenapa fikirannya sampai boleh berfikir sejauh ini. Zarran hirup
lagi air dalam cawan itu.
Kenyataan yang dikeluarkan
oleh Sarra buat dia jadi bertambah bingung. Selama ini Arya yang pernah
disangkannya sebagai kawan zaman sekolahnya ialah kawan Sarra pada masa
sekarang. Apa kaitan kedua-dua perkara yang sedang difikirkan itu.
Cukuplah bertahun dia
pendam rasa sedihnya setelah kematian kawan baiknya sendiri. Tetapi kenyataan Sarra
membuatkan dia mula berfikir samada Arya yang dilihat selama ini ialah Arya
Juniel yang sudah lama pergi meninggalkannya. Mungkinkah orang mati boleh hidup
semula atau dalam kata lain dia tak pernah mati tapi dirinya sedang
bersembunyi.Gila sungguh apa yang difikirkan ini. Cukuplah dia katakan gila
selama ini kerana tidak dapat menerima kenyataantentang kematian kawan baiknya
itu.
Sarra nampak perubahan
air muka Zarran apabila dia menyebut baju itu milik kawannya. Kenapa Zarran
buat muka terkejut? Dia tersilap cakapkah? “Aku tersalah cakap ke? Atau dia
masih sangka Arya dulu masih hidup!” Sarra mula rasa tidak sedap hati. Kenapalah
dia gatal sangat serahkan baju itu kepada Zarran.
Selepas setahun
kematian Arya, Zarran orang yang paling terpukul dengan pemergian kawan baik
mereka secara mengejut itu. Sarra ingat lagi bagaimana semua orang di
sekelilingnya mengatakan Zarran gila sebab Zarran pernah nampak Arya di bandar
ketika mereka pergi berjalan bersama-sama teman yang lain. Sehinggakan mama
Zarran, Maria nekad mengambil langkah menghantar anaknya belajar ke luar
negara.
“Zarran kau jangan
salah sangka. Arya yang kau kenal tu bukan Arya Juniel yang kita kenal dulu.
Dulupun aku mati-mati ingat dia orang yang sama tapi sebenarnya bukan.” Sarra
cuba membetulkan tanggapan yang difikirkan Zarran.
Dia hirup air kopi suam
dari dalam cawan itu sehingga habis. Dahaga sungguh tekaknya. Rasa kurang
berani menerpa dalam diri tidak semena-mena. Dia sedar dia telah berbohong. Sarra
berdalih dari kebenaran yang sebenar dia ketahui. Dia sangat terpaksa. Dia
tidak akan kisah jika Zarran bertindak memarahinya sekalipun jika satu hari
nanti rahsia sebenar akan terbongkar jua. Apa patut Zarran tahu cukup sekadar
sampai di sini saja.
Jika hendak bercakap
perkataan menderita, Arya orang paling menderita hidupnya akibat perbuatan
seseorang yang dia tak akan pernah lupa untuk seumur hidupnya. Sarra tidak
sanggup lagi melihat kawan baiknya itu tidak sudah-sudah hidupnya dirudum
malang. Biarkan orang lain menderita jika mahu Arya hidup aman tanpa gangguan.
Lega sedikit hatinya.
Pantas saja mulutnya menidakkan dengan apa yang sedang difikirkan oleh Zarran
tadi. Memang dia turut simpati terhadap Zarran tapi simpatinya terhadap Arya
lagi kuat.
Rasa curiga pada wajah
Zarran nampak berkurangan sedikit. Penjelasannya itu ternyata dapat mengawal
keadaan. Biarlah Zarran termakan dengan pembohongannya itu.
“Zarran aku pergi dulu.
Aku ada hal penting nak buat ni. Kopi ni kau belanjakan? Apa-apapun thanks ok.”
Sarra cepat-cepat meminta diri untuk pergi dari sana. Makin lama dia berada di
sana nanti makin banyak pula hal yang akan terbongkar. Cukuplah tadi dia hampir
terkantoi dengan sikap lurusnya. Kenapalah mulut dia gatal sangat menidakkan
apa yang Zarran sedang fikirkan? Dari situ sudah menampakkan dia sedang menipu
Zarran.
Zarran menghantar Sarra
sampai ke muka pintu sebelum Sarra beredar dengan tergesa-gesa. Setelah Sarra
menjauhi kafe itu Sarra tampar beberapa kali mulutnya.
“Yang kau bongok sangat kenapa
Sarra! Kau tahu tak kau tengah cipta bala untuk Arya sekarang ni. Kau tahukan
perangai Zarran tu macam mana. Selama ni mana pernah dia percaya cakap kau yang
suka mengutuk dia. Sarra...” sambil berjalan pergi Sarra kerap memarahi
dirinya.
Rasa curiganya masih
belum terpadam lagi. Helah apa yang cuba dimainkan oleh Sarra? Cara bercakapnya
yang nampak tidak yakin dengan apa yang dijelaskan padanya tadi buat Zarran
bertambah curiga.
Dia boleh terima kalau
Sarra tidak berkawan baik dengan bekas pekerjanya itu. Tapi apabila dia sendiri
yang mengatakan mereka berkawan baik hatinya jadi semacam ragu. Adakah Sarra
menipunya tadi? Arya yang dulu dan sekarang hampir mirip dia rasakan.
Bertahun lamanyadia menidakkan
keraguan itu sebab mengatakan orang mati mana mungkin hidup semula. Penjelasan
Sarra tadi buatkan dia sedikit yakin bahawa Arya masih hidup. Mungkin apa yang
difikirkan ini memang tidak masuk akal tetapi hatinya kuat mengatakan Sarra
cuba menyembunyikan sesuatu kepadanya. Sebelum dia berangkat ke luar negara
hampir dua tiga kali dia terserempak dengan kelibat yang mirip kawan baiknya
itu.
Apabila dia mencari,
kelibat itu lesap entah ke mana. Dia bukannya sedang bermimpi waktu itu. Pada
siapa mahu dia luah tentang apa yang dia nampak. Siapa-siapapun akan mengatakan
dia gila.
“Enn kau jaga kafe hari
ni. Aku ada hal nak selesaikan.” Zarran berjalan pantas ke luar dari kafe
setelah memaklumkan pada Enn yang berada di dapur kafe. Sarra yang agak
tergesa-gesa ke luar dari kafe menambahkan kesangsiannya. Dia kenal siapa itu
Sarra. Orang paling tidak pandai menipu sehinggalah ke detik ini.
Zarran tidak bodoh
untuk digula-gulakan oleh Sarra. Dia bukan budak kecil lagi dengan mudah
termakan cakap orang tanpa berfikir panjang. Menjadi seorang dewasa membuatkan
dia menjadi seorang yang jauh lebih matang dalam berfikir.Dalam perniagaan
sekalipun mana boleh dia menerima bulat-bulat apa pekerjanya katakan tanpa
membuat pemeriksaan atas mutu kerja mereka. Bodohlah kalau dia terlalu percaya.
Senyap-senyap Zarran
mengekori Sarra yang sedang berjalan di laluan kaki lima itu. Mungkin Sarra
tidak perasan ada orang sedang mengekorinya sejak tadi. Hampir lama berjalan
Sarra berhenti pada sebuah kedai makanan menjual ayam goreng. Ramai pelanggan datang
mengunjungi kedai itu sejak dibuka tadi.
Lama Zarran menanti di
luar kedai itu. Dia tidak boleh mengalah pada keputusan yang telah dia buat
tadi. Dia harus mengetahui kebenaran yang sepatutnya dia tahu sejak dulu lagi.
Tidak kisahlah selepas ini samada kebenaran itu hanya bakal menyakitkan dirinya
saja. Sampai bila keraguan yang selama ini dia pendam ingin disimpan seorang
diri.
Hampir setengah jam dia
menunggu di luar kedai itu. Sarra ke luar dari sana sambil membawa sebungkus
makanan yang dibelinya dari kedai itu. Selepas ini tempat mana pula Sarra ingin
singgah?“Zarran kau tak boleh mengalah. Ini peluang kau nak buktikan selama ini
apa yang kau fikirkan betul. Pedulilah apa orang nak kata.”Dia mengetuk dadanya
memberi semangat pada diri.
Hampir tiga jam dia
mengekori Sarra hasilnya masih sama lagi. “Sarra ni tak penat ke asyik berjalan.
Cakap kau berkawan baik dengan Arya tapi kenapa kau masih jalan seorang-seorang
ni. Kau tahu tak kaki aku rasa macam nak longgar dah ni... ” Keluhan besar dia
lepaskan ketika duduk tersadai pada sebuah bangku panjang di tepi laluan
pejalan kaki itu.
“Kau banyak main-main
dengan aku Sarra. Tak apa tak apa. Hari ni hari kau lain kali siap kau!” Zarran
rasa geram dengan Sarra.
Entah apalah yang dia
mahu cari lagi ni. Penat bukan mainan lagi. Benarlah kata orang kaum perempuan
ini kalau dapat pergi membeli-belah memang semua tempat dia main redah,
walaupun dia datang tempat itu semata-mata datang untuk window shopping
semata-mata. Orang yang lalu di sana ada yang memandangnya ketika dia dalam
keletihan.